suria

Dua kali kahwin, lelaki tuduh isteri-isteri curang apabila tahu DNA 5 anak tak sepadan! Lebih terkejut lepas buat ujian makmal

Kelewatan mengesan chimerism boleh mengundang implikasi dalam kehidupan seseorang. -Gambar hiasan

PERNAHKAH anda melihat seekor kucing atau anjing memiliki dua warna bulu dan mata yang berbeza?

Jika ya, fenomena tersebut dikenali sebagai chimerism iaitu keadaan genetik yang berlaku apabila satu makhluk memiliki dua set struktur DNA yang berbeza dalam tubuhnya.

Tidak hanya berlaku kepada haiwan, sejarah perubatan ada merekodkan tentang manusia chimera atau dalam erti kata lain individu yang memiliki dua atau lebih DNA dalam tubuh mereka.

Rupa paras manusia chimera rata-ratanya kelihatan normal hingga menyebabkan mereka sendiri tidak mengetahui identiti diri yang sebenarnya kecuali melalui ujian klinikal seperti pemeriksaan darah dan DNA.

Sekiranya keganjilan chimera ini lambat dikenal pasti, dikhuatiri ia bakal mengundang implikasi terhadap kehidupan individu itu sendiri serta orang-orang tersayang di sekelilingnya kelak.

Pengamal perubatan dikenali sebagai Doktor Christabel Akinola mendedahkan kisah seorang lelaki yang mengalami chimerism menyangka isterinya berlaku curang selepas mendapati anak-anak yang dibesarkannya selama ini bukanlah hasil daripada 'benih' sendiri.

Menerusi perkongsian di Instagram, si suami mula curiga terhadap isterinya selepas prosedur derma darah kepada anak perempuan mereka gagal kerana jenis darah mereka tidak sepadan.

Lelaki itu terkejut selepas mengetahui anak-anaknya mempunyai genetik milik kembarnya.

Lelaki itu nekad melakukan ujian DNA dan akhirnya hatinya berkecai selepas mendapati keempat-empat anaknya bukanlah anak kandungnya.

Kepercayaan yang dibina punah sekelip mata, lalu dia memutuskan untuk meninggalkan keluarganya dan memulakan hidup baru bersama wanita lain.

Tidak lama selepas berkahwin baharu, individu tersebut dikurniakan seorang bayi lelaki.

Dek trauma yang masih berbekas, lelaki itu menjalani ujian klinikal tanpa pengetahuan isteri baharunya dan mendapati bayi yang baru dilahirkan itu juga memiliki DNA berbeza dengannya.

Rentetan itu kebenaran akhirnya terungkai apabila mengetahui bahawa bapa kandung kepada anak-anaknya itu adalah saudara kembarnya sendiri yang 'hilang' sewaktu dia masih dalam kandungan.

Menurut Doktor Christabel, lelaki itu telah 'menelan' kembarnya sekali gus menyebabkan embrio mereka menjadi satu ketika masih dalam peringkat awal kehamilan. 

Dalam kes berkenaan, sel pembiakannya (sperma) sebenarnya berasal daripada DNA si saudara kembar yang tersembunyi dalam tubuhnya dan menyebabkan dia serta anak-anaknya tidak mempunyai DNA sepadan. 

Artikel Lain