suria

SCOL 2023 cari penyelesaian isu harga barang dan subsidi... Fokus strategi stabilkan kos sara hidup

Seorang wanita melihat carta kos sara hidup di semua negeri di Malaysia. -AZHAR MAHFOF/The Star

MEMBANTU rakyat mendepani cabaran ekonomi semasa yang tidak menentu merupakan antara agenda utama Simposium Kos Sara Hidup 2023 (SCOL 2023) yang berlangsung selama dua hari bermula Selasa.

Menurut Pengarah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Atan Sapian, SCOL 2023 adalah platform untuk membincangkan isu berkaitan kos sara hidup secara terbuka dan berskala besar.

Di samping itu, pelajar sekolah dan universiti juga berpeluang berkongsi idea dan pendapat mereka mengenai kos sara hidup menerusi ruangan khusus untuk pengucapan awam, Speakers' Corner.

"Saya bersyukur melihat penyertaan untuk pengucapan awam dalam simposium kali ini. Seramai lebih 640 orang berjaya mendaftar berbanding daripada kita sasarkan iaitu 400 orang peserta sahaja sebelum ini termasuk pelajar tingkatan 4 dan orang awam.

"Ini merupakan satu petanda baik untuk program yang dijalankan. Target sasaran kami untuk majlis pengucapan awam daripada speaker sekitar Lembah Klang sejumlah 50 orang sahaja tetapi siapa sangka seramai 54 orang yang menyertai melebihi jumlah sepatutnya.

Atan bersyukur apabila penyertaan untuk pengucapan awam disambut baik oleh orang ramai yang berkunjung.

"Sekiranya ada sesuatu pembaharuan (cadangan) insya-Allah kami akan ambil input yang dicadangkan. Selagi polisi atau dasar tidak dilaksanakan, kami tak ada garis masa nak tolak pandangan-pandangan tersebut," katanya kepada mStar.

Menerusi SCOL 2023 juga, isu-isu seperti harga barang, subsidi, dan tujuh kluster NACCOL antaranya perumahan, pendidikan, pengangkutan, utiliti, kesihatan, makanan, dan pendapatan akan menjadi fokus perbincangan.

Selain itu, SCOL 2023 menyediakan pameran kos sara hidup, dikenali sebagai Gallery Walk yang terbahagi kepada tiga segmen.

Bagi segmen pertama adalah pengenalan kepada kos sara hidup, diikuti inisiatif dan strategi kerajaan untuk menstabilkan kos sara hidup rakyat dan segmen terakhir, peranan serta tanggungjawab bersama.

Lebih menarik lagi adalah pengunjung berpeluang menebus e-dompet (e-Wallet) bernilai RM20 bagi 1,000 orang pertama yang mengunjungi pameran Gallery Walk.

Seorang pengunjung mencuba aplikasi baharu yang turut berada di pameran tersebut.

Sementara itu seorang pengunjung, Adibah Jalaluddin, 31, berpendapat program yang berlangsung ini adalah satu gerakan baik dilakukan oleh KPDN.

"Saya sangat gembira dapat hadir ke program pada hari ini. Dekat sini kita semua dapat berkongsi pandangan mengenai info berkenaan kos sara hidup.

"Simposium ini sebenarnya satu platform yang bagus untuk kita tahu berkenaan kos dan gaya hidup... jadi kita boleh berbelanja dan menguruskan perbelanjaan dengan lebih bijak," katanya kepada mStar.

Terdahulu SCOL 2023 dirasmikan pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Pameran dan Konvensyen, IOI City Mall, Putrajaya.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Wilayah, kaedah subsidi pukal yang diamalkan selama ini tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat optimum.

Adibah merupakan salah seorang pengunjung SCOL 2023.

“Pada 2022, nilai subsidi keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM91.9 bilion, satu nilai yang terlalu besar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya.

“Bagi 2023, peruntukan asal bagi keperluan subsidi adalah sebanyak RM64 bilion, namun Kerajaan mengunjurkan nilai ini mencecah RM 80.9 bilion berdasarkan perbelanjaan semasa.

“Senario berterusan sebegini tidaklah optimum dari sudut fiskal dan adalah wajar bagi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan bagi menambah baik kaedah penyampaian bantuan yang lebih bersasar kepada rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau mengakui bahawa pelaksanaan subsidi bersasar bukan sesuatu yang mudah dan mempunyai cabarannya.

"Kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakan penyasaran semula subsidi kerana ia akan memberi kesan kepada pelbagai kumpulan masyarakat dan sektor ekonomi.

"Sebelum pelaksanaan subsidi bersasar, kerajaan perlu meneliti jangkaan secara langsung terhadap kenaikan kadar inflasi melalui Indeks Harga Pengguna (IHP)," katanya sambil menambah kadar inflasi dilihat semakin mereda pada awal tahun ini dan inflasi keseluruhan mencatatkan 1.8 peratus pada Oktober 2023.

Acting Minister of Domestic Trade and cost of Living Datuk Armizan Mohd Ali delivers a speech to offically launch of the Symposium Cost of Living 2023' at IOI Mall Convention centre in Putrajaya. (28/11/2023). —AZHAR MAHFOF/The Star

Teks ucapan Zahid dibacakan oleh Armizan pada SCOL 2023.

Zahid turut menjelaskan dalam konteks ini, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan mekanisme untuk meredakan keresahan rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang mencabar.

“Kerajaan akan meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

“Selain itu, kerajaan akan meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar mulai 2024,” kata Zahid.

Untuk makluman, SCOL 2023 turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi KPDN dan YouTube rasmi SCOL KPDN bagi membolehkan orang ramai memberi komen dan pandangan mengenai isu kos sara hidup.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Dua maut akibat letupan di kilang