suria

Malas masak sambal sebab merecik? Ini 7 tip paling ‘legit’ elak tumisan kotorkan dinding dapur

Percikan sambal di dinding adalah disebabkan ketidaklarutan bahan-bahan dalam masakan, terutamanya air dan minyak. -Gambar Majalah Sains

SALAH satu masalah yang dihadapi kaum ibu atau suri rumah ketika memasak adalah tumisan sambal atau bahan kisar terpercik pada dinding.

Boleh stres jadinya melihat kesan percikan berwarna merah mengotori dinding atau jubin.

Kalau percikan tidak dibersihkan segera sehingga kering di dinding, bukan mudah untuk menyentalnya.... memang memerlukan kesabaran sehingga dinding kembali bersih.

Menurut perkongsian Majalah Sains di Facebook, percikan sambal semasa memasak berlaku adalah disebabkan ketidaklarutan bahan-bahan dalam masakan, terutamanya air dan minyak.

Ini ditambah dengan suhu yang panas yang akan meningkatkan pergerakan (kinetik) molekul-molekul dalam komponen masakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Seminggu raya masak tanpa henti? 8 tip ini jadikan dapur bersih berkilat macam baharu!

ARTIKEL BERKAITAN: Kenapa baru tahu ‘trick’ ni, makin senang kerja di dapur! Tak sangka pula tauhu boleh simpan lama, tak masam

"Namun yang paling banyak terkesan ialah molekul-molekul air dan minyak kerana kedua-duanya tidak larut bersama.

"Semakin tinggi suhu, semakin tinggi tenaga kinetik molekul-molekul ini. Maka, semakin tinggilah daya percikan kerana minyak dan air ingin menjauhi antara satu sama lain," terangnya.

sambal 2

Menggunakan kuali besar dan 'non stick' boleh membantu mengatasi masalah sambal terpercik.

Justeru untuk mengelakkan percikan tumisan daripada mengotori dinding, berikut merupakan beberapa tip yang boleh dipraktikkan ketika menumis:

1) Kisar bahan-bahan dengan minyak. Langkah ini untuk mengurangkan kandungan air dalam tumisan.

2) Kecilkan api bagi mengurangkan tenaga kinetik molekul-molekul dalam masakan. Ini kerana semakin tinggi suhu, semakin tinggi tenaga kinetik molekul

3) Pilih kuali kalis lekat (non-stick). Ini kerana selaput kalis lekat mengurangkan kadar pengaliran haba ke komponen masakan.

4) Menggunakan kuali yang lebih besar. Logiknya, saiz yang besar berupaya menampung luas permukaan percikan.

5) Jika komponen tumisan tetap mengandungi banyak air, maka tumis tanpa minyak dahulu bahan kisaran sehingga sebahagian air tersejat, kemudian baru masukkan minyak dan tumis seperti biasa.

6) Paling mudah, gunakan penutup periuk ketika percikan sudah mula kelihatan. Namun, disarankan menggunakan penutup periuk yang mempunyai lubang kecil bagi membebaskan wap air.

7) Menambahkan bahan berasid seperti asam jawa, cuka atau asam keping. Langkah ini boleh mempercepatkan kadar air meruap daripada masakan sekali gus proses 'pecah minyak' cepat berlaku.

Namun usah masukkan bahan-bahan ini secara berlebihan kerana dibimbangi mengganggu keseimbangan rasa sambal

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain