suria

Dengar kimoterapi ramai pasti takut, tapi sebenarnya ada rawatan sama cuma perlu telan pil sahaja!

Ramai pesakit takut melakukan rawatan kimoterapi kerana ia dikatakan menyakitkan selain terdapat pelbagai kesan sampingan.

APABILA bercakap mengenai rawatan kanser, kimoterapi dan radioterapi adalah kaedah rawatan konvensional paling popular dalam usaha membunuh sel kanser yang menyerang pesakit.

Bagaimanapun ramai yang gusar dan bimbang apabila doktor menyarankan kaedah itu kerana ia dikatakan menyakitkan serta terdapat pelbagai kesan sampingan yang membuatkan pesakit berada dalam keadaan tidak selesa sepanjang menjalani rawatan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Barah kolorektal popular dalam kalangan lelaki di Malaysia... Ketahui punca dan cara mencegahnya!

Namun tatkala mendengar penjelasan daripada Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway, Dr Nik Muhd Aslan Abdullah mengenai rawatan alternatif selain kimoterapi dan radioterapi ia mampu memberikan sinar kepada pesakit kanser dalam melalui proses rawatan yang tidak menyakitkan serta kesan sampingan pada tahap minimal.

"Sebenarnya terdapat pelbagai rawatan selain kimoterapi dan radioterapi yang boleh dilakukan pesakit, malahan paling penting kesan sampingan minimum serta jangka masa rawatan lebih pendek serta kadar penyembuhan lebih tinggi.

"Dengan kepelbagaian dan kecanggihan teknologi perubatan hari ini, pesakit sebenarnya boleh menjalani kehidupan seperti biasa dan tidak semestinya mereka sentiasa berada dalam keadaan tidak sihat," katanya.



Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway, Dr Nik Muhd Aslan Abdullah.

Bercakap mengenai rawatan kanser, Dr Nik Muhd Aslan memberitahu targeted therapy atau terapi sasaran adalah antara kaedah yang semakin mendapat perhatian malah menjadi pilihan utama dalam jadual rawatan barah dihidapi pesakit.

Targeted therapy katanya, lebih efektif dalam membunuh sel kanser memandangkan rawatannya mensasarkan terus kepada sel barah dibahagian yang menjadi fokus utama berbanding kimoterapi yang turut menyerang sel normal dalam badan selain terdapat pelbagai kesan sampingan kepada pesakit.

"Menerusi targeted therapy ia fokus mengikut kanser yang dihidapi seseorang pesakit. Tidak semua kanser ada sasaran yang sesuai dengan rawatan ini, namun boleh dikatakan hampir semua jenis barah boleh menggunakan rawatan ini.

"Terapi ini bekerja secara berbeza di mana ia tertumpu kepada bahagian sasaran yang menyebabkan kanser itu tumbuh selain menyerangnya agar ia tidak membiak.

"Atas sebab itu, biasanya kita akan buat pemeriksaan terlebih dahulu untuk memastikan sama ada kanser dihidapi mempunyai sasaran dan sesuai menjalani terapi ini. Selain itu doktor juga akan tengok sama ada pesakit mempunyai sejarah penyakit lain sebelum memastikan mereka sesuai dengan terapi ini," jelasnya.

Menyentuh lanjut mengenai rawatan itu, Dr Nik Muhd Aslan menjelaskan doktor akan mencadangkan penggunaan terapi itu kepada pesakit barah yang memasuki tahap tiga dan empat.



Targeted therapy menyasarkan sel kanser berbanding membunuh semua sel baik dalam badan

Ini kerana katanya, keberkesanan terapi itu melawan sel kanser lebih berkesan pada barah tahap tinggi manakala tahap awal biasanya pembedahan masih menjadi pilihan utama.

Faktor yang membuatkan terapi sasaran ini menjadi pilihan adalah pesakit tidak perlu melalui proses seperti kimoterapi atau radioterapi, sebaliknya hanya perlu mengambil ubat dalam bentuk tablet di rumah tanpa perlu ke hospital.

Dr Nik Muhd Aslan juga memberitahu seperti terapi lain, targeted therapy juga mempunyai kesan sampingan tersendiri namun ia tidak seteruk rawatan lain yang menyebabkan pesakit berasa mual, loya, muntah, pening kepala serta keguguran rambut.

Bergantung kepada pesakit, targeted therapy biasanya akan memberi kesan sampingan seperti kulit bertukar menjadi putih, rambut bertukar warna kelabu selain mengalami ruam atau jerawat.

Namun ubat tersebut perlu dimakan sepanjang hayat walaupun seorang pesakit itu sudah disahkan bebas kanser.

"Pesakit disyorkan untuk meneruskan makan ubat tersebut sepanjang hayat seperti pesakit kencing manis atau tekanan darah tinggi. Ia sebenarnya bagus, selain dapat mencegah kanser daripada berulang, ia juga mampu memberikan kehidupan lebih berkualiti kepada pesakit," ujarnya.



Pelbagai rawatan yang boleh dilakukan pesakit dengan kesan sampingan yang minimal.

Imunoterapi dan radioterapi lanjutan

Berbeza dengan targeted therapy, imunoterapi pula kata Dr Nik Muhd Aslan adalah salah satu kaedah merawat barah dengan meningkatkan daya imunisasi pesakit bagi melawan sel kanser.

Katanya, terapi ini juga masih mensasarkan kepada sel kanser mengikut jenis barah namun ubat digunakan tidak menyerang sel kanser secara terus sebaliknya ia hanya membantu tubuh pesakit melawannya.

"Ia dalam bentuk suntikan, setiap tiga minggu untuk seumur hidup. Kebiasaannya kanser yang sesuai dengan rawatan ini adalah seperti paru-paru, payudara, pundi kencing, hati, usus dan sebagainya.

"Seperti targeted therapy, imunoterapi juga cukup sesuai bagi pesakit barah tahap tiga dan empat dan kegunaan untuk tahap lebih rendah masih dalam peringkat kajian dalam kalangan penyelidik," jelasnya.

Selain itu, rawatan radioterapi lanjutan seperti Stereotactic Body Radiation Therapy (SBRT) dan Gamma Knife cukup sesuai bagi pesakit kanser otak terutamanya bagi tahap akhir.



Pesakit perlu mendapatkan informasi tepat sebelum melakukan sesuatu rawatan.

Kata Dr Nik Muhd Aslan, jika melakukan radioterapi konvensional, pesakit terpaksa berhadapan dengan kesan sampingan yang teruk termasuk pening kepala, loya, muntah, keguguran rambut dan sebagainya.

Namun menerusi kaedah terapi terkini, pesakit tidak akan mengalami kesan sampingan yang buruk selain peluang untuk pulih lebih tinggi.

Jelasnya lagi, pesakit sebenarnya tidak perlu bimbang apabila disahkan menghidap barah kerana kini terdapat pelbagai rawatan yang boleh dilakukan bagi mematikan sel kanser tanpa pembedahan.

Pilihan rawatan juga sudah pelbagai selain jangka masa rawatan lebih pendek dan peratusan sembuh juga tinggi.

"Rasa takut dan sedih itu adalah perkara normal apabila mendapat berita diri menghidap kanser tetapi dengan kecanggihan teknologi perubatan pada hari ini pesakit mempunyai pelbagai pilihan yang sesuai dan terbaik untuk diri mereka.

"Paling penting kena tahu pilihan yang ada, dapatkan khidmat nasihat dan rundingan bersama pakar bagi mendapatkan informasi tepat mengenai kanser dan rawatannya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain