suria

Barah kolorektal popular dalam kalangan lelaki di Malaysia... Ketahui punca dan cara mencegahnya!

Kanser kolorektal lebih popular dalam kalangan lelaki di Malaysia.

LAPORAN Pendaftaran Kanser Nasional Malaysia (2012-2016) mendedahkan bahawa kanser kolorektal adalah kanser kedua paling biasa di Malaysia.

Ia turut menyumbang kepada 31.5 peratus daripada keseluruhan 115,238 kes yang didaftarkan dalam tempoh tersebut. Kanser kolorektal juga paling biasa dalam kalangan lelaki di Malaysia iaitu sebanyak 16.9 peratus dan merupakan yang kedua paling kerap berlaku dalam kalangan wanita Malaysia (10.7 peratus).

Dari segi etnik, kaum Cina (1 daripada 43 lelaki Cina dan 1 daripada 57 wanita Cina) berisiko lebih tinggi menghidap kanser kolorektal diikuti oleh kaum Melayu (1 daripada 65 lelaki Melayu dan 1 daripada 89 wanita Melayu) dan India (1 daripada 70 lelaki India dan 1 daripada 95 wanita India).

ARTIKEL BERKAITAN: Satu dalam 2 rakyat Malaysia alami obesiti... Ketahui 4 petanda anda menghidap sakit jantung! - “Ia bukan lagi penyakit orang tua”

Mortaliti akibat kanser kolorektal semakin meningkat, dan kanser kolorektal merupakan penyebab kematian keempat di dunia. Kira-kira 80 peratus kes kanser kolorektal di Malaysia didiagnosis pada individu berumur lebih dari 50 tahun, dan populasi penuaan kita dapat meningkatkan prevalensinya.

Menjelaskan mengenai kanser itu, Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr. Max Hu Chuen Wei berkata, secara umumnya usus besar dan rektum manusia adalah bahagian sistem pencernaan yang menyerap air dan garam daripada makanan.



Dr. Max Hu Chuen Wei memberitahu terdapat pelbagai kaedah untuk mengesan kanser itu pada tahap awal.

Sistem pencernaan boleh terganggu dengan kehadiran polip iaitu pertumbuhan tidak normal yang terbentuk pada lapisan usus besar dan rektum.

"Jika polip tidak dikesan dan dikeluarkan, lama-kelamaan ia boleh berubah menjadi kanser. Kanser kolorektal adalah barah yang berlaku pada usus besar atau rektum," jelasnya.

Dr. Max memberitahu kaedah terbaik untuk mencari dan mengeluarkan polip daripada usus besar adalah melalui kolonoskopi dan prosedur ini dilakukan menggunakan tiub nipis fleksibel (endoskop/kolonoskop) dengan lensa kecil.

Sumber cahaya yang terpasang pada hujungnya kata Dr. Max akan digunakan untuk memeriksa bahagian dalam usus besar.

Faktor meningkatkan risiko kanser kolorektal

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai faktor kanser tersebut, Dr. Max memberitahu terdapat dua jenis faktor iaitu boleh diubah dan tidak dapat diubah.

Faktor yang boleh diubah katanya seperti merokok, pengambilan minuman beralkohol dan diet tidak sihat dapat dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit itu. Manakala risiko tidak boleh diubah adalah jantina, umur atau sejarah keluarga dan tiada cara dapat dilakukan untuk mengubahnya.



Tabiat merokok dan minuman beralkohol antara penyebab peningkatan risiko kanser ini.

"Walaupun kebanyakan kanser kolorektal dihidap oleh orang yang tidak mempunyai sejarah keluarga, hampir satu daripada tiga pesakit kanser kolorektal mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapnya.

"Risiko menghidap kanser kolorektal akan meningkat sekiranya individu tersebut mempunyai sejarah kanser kolorektal pada saudara terdekat (ibu bapa, saudara kandung atau anak) berbanding dengan rata-rata penduduk.,"ujarnya.

Risiko itu katanya akan menjadi lebih tinggi jika terdapat saudara terdekat didiagnosis menghidap kanser ketika mereka berusia dibawah 45 tahun atau jika lebih daripada seorang saudara terdekat menghidap kanser.

"Kira-kira lima peratus yang menghidap kanser kolorektal telah mewarisi perubahan gen yang menyebabkan sindrom kanser keluarga yang boleh menyebabkan mereka mendapat penyakit ini.

Sindrom diwarisi yang paling biasa dikaitkan dengan kanser kolorektal adalah sindrom Lynch (kanser kolorektal bukan poliposis keturunan, atau HNPCC) dan poliposis adenomatous keluarga (FAP), yang dapat dikesan melalui ujian genetik,"katanya.

Jelas Dr. Max lagi, faktor gaya hidup juga menyumbang kepada peningkatan risiko kanser kolorektal. Ini termasuk kekurangan aktiviti fizikal, diet kurang pengambilan buah dan sayur-sayuran, diet rendah serat dan tinggi lemak, atau diet tinggi daging yang diproses, berat badan berlebihan atau obes (BMI> 25kg/ m2), pengambilan minuman alkohol berlebihan, dan penggunaan tembakau.



Terdapat pelbagai kaedah untuk mengesan kanser kolorektal.

Saringan Kanser Kolorektal

Jelas Dr. Max, kanser kolorektal kebiasaannya dapat berkembang daripada polip pra-barah (pertumbuhan tidak normal) dalam usus besar atau rektum. Saringan bukan hanya penting untuk mengesan polip supaya ia dapat dikeluarkan sebelum ia menjadi kanser, tetapi juga dapat mengesan kanser kolorektal pada tahap awal ketika rawatan dan prognosis yang lebih baik dapat dicapai.

Namun, kajian menunjukkan bahawa lebih daripada 70 peratus kes kanser kolorektal yang dilaporkan di Malaysia dikesan pada peringkat akhir (Tahap 3 & 4).

"Anda harus memulakan saringan kanser kolorektal setelah berusia 50 tahun, dan terus menjalani saringan secara berkala. Bagaimanapun, anda mungkin perlu diuji lebih awal atau lebih kerap jika anda mempunyai faktor risiko tertentu, misalnya sejarah peribadi atau keluarga yang menghidap polip atau kanser kolorektal, penyakit radang usus seperti penyakit Crohn atau kolitis ulseratif, atau sindrom genetik seperti sindrom Lynch atau FAP," katanya.

Selain itu, pesakit juga boleh mengambil ujian Imunokimia Faecal (FIT) yang boleh dilakukan sendiri di rumah tanpa berjumpa dengan doktor.

Dr. Max memberitahu, FIT boleh digunakan untuk memeriksa pesakit yang tidak gejala tanpa perlu berjumpa doktor terlebih dahulu. Bagaimanapun, doktor akan menasihati pesakit yang mempunyai gejala untuk mendapatkan nasihat perubatan berbanding melakukan ujian FIT.

"Daripada prespektif hasil ujian FIT, (daripada data global yang biasanya menggunakan ambang darah 100 mikrogram/najis), hasil negatif menunjukkan bahawa 99 peratus pesakit yakin tidak menghidap barah kolorektal atau polip.

"Sekiranya pesakit mendapat hasil FIT positif, data menunjukkan tiga peratus menghidap barah dan 24 peratus lain mempunyai masalah polip," katanya.

Jelas Dr. Max, sebanyak 94 peratus pesakit tanpa kanser kolorektal atau polip yang menjalani ujian itu adalah negatif.

Sementara itu, bagi yang ingin mengetahui sama ada anda berisiko menghidapi kanser kolorektal, Dr. Max memberitahu Pusat Perubatan Sunway telah melancarkan SunMed Comprehensive Health Assessment Tool (C.H.A.T.) yang dapat membantu penilaian risiko anda.

Dibentuk berdasarkan garis panduan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) C.H.A.T. adalah alat atas talian yang mudah dan pintar yang boleh membantu anda menilai risiko kanser kolorektal.

"Dengan menjawab soalan-soalan berkaitan kesihatan, anda dapat menilai sendiri risiko kanser kolorektal anda sebelum berjumpa dengan pakar untuk pemeriksaan lebih lanjut.

"SunMed C.H.A.T. juga memberikan cadangan dan nasihat perubahan gaya hidup tertentu untuk mengurangkan risiko kanser anda, lalu memperkasakan diri untuk mula mengurus kesihatan anda sendiri,"ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain