suria

Awas! Diabetes bukan sahaja penyakit orang dewasa... kenali jenis, penyebab dan gejalanya pada kanak-kanak

Pemeriksaan kesihatan secara berkala dapat mengesan diabetes dalam kalangan kanak-kanak.

PENYAKIT diabetes tak hanya menyerang orang dewasa tetapi juga kanak-kanak kerana ia terjadi disebabkan oleh hormon insulin yang tidak dapat berfungsi dengan baik.

Hormon ini sangat penting bagi manusia untuk memproses gula dalam darah menjadi tenaga. Tanpanya, maka terjadi pengumpulan gula dalam darah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegang hujung lidah dan tarik, ini antara cara hilangkan sedu... cubalah!

Seramai 1.1 juta kanak-kanak di seluruh dunia menghidap diabetes melitus (DM). Peningkatan angka ini turut disebabkan masalah obesiti dan faktor pemakanan yang tidak sihat.



Terdapat pelbagai faktor penyebab kepada diabetes dalam kalangan kanak-kanak.

Jenis dan penyebab diabetes pada kanak-kanak

Ada beberapa jenis diabetes yang boleh berlaku kepada kanak-kanak. Sebahagian besar adalah DM Jenis 1. Ia terjadi disebabkan oleh kelainan autoimun yang dialami selain sistem kekebalan tubuh sudah rosak serta memusnahkan fungsi pankreas yang menghasilakn hormon insulin.

Kadar hormon insulin yang rendah boleh menyebabkan peningkatan kadar gula dalam darah dan merosakkan organ serta jaringan tubuh.

DM Jenis 1 ini boleh dihidapi sejak usia seawal enam bulan hingga dewasa. Ia kebiasaannya bersifat akut dan dapat berkembang dengan cepat.

Hingga kini masih belum diketahui faktor penyebab DM Jenis 1 pada kanak-kanak, namun ada sesetengah kes ia berkait rapat dengan sejarah keluarga, jangkitan kuman dan mengamalkan pola pemakanan tidak sihat.

Sementara itu, DM Jenis 2 pula lebih sedikit dialami oleh kanak-kanak dan kebiasaannya punca ia berlaku disebabkan tekanan insulin atau ketika sel-sel tubuh sukar untuk memproses insulin.



Ada kanak-kanak yang perlu menyuntik insulin sejak kecil.

Bagaimanapun, ia biasanya berlaku kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dan diabetes jenis ini biasanya berkembang lebih lambat pada kanak-kanak.

Seperti orang dewasa, DM Jenis 2 secara umumnya disebabkan oleh obesiti, pengambilan makanan tinggi kandungan gula dan lemak serta gaya hidup tidak sihat seperti kurang bersenam.

Kenali gejala diabetes pada kanak-kanak

Terdapat beberapa gejala jelas pada kanak-kanak yang menghidap diabetes, termasuklah;

1. Kerap buang air kecil terutamanya pada waktu malam

2. Kerap minum, makan (selera bertambah)

3. Berat badan menurun secara mendadak

4. Perubahan sikap

5. Penglihatan menjadi kabur

6. Sering berasa dahaga

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain