suria

Vaksin 6-dalam-1 untuk bayi dan kanak-kanak... Apa ibu bapa perlu tahu

Imunisasi adalah rutin untuk bayi dan kanak-kanak.

PENYAKIT berjangkit berpunca daripada mikroorganisma patogen penyebab penyakit seperti bakteria, virus, parasit atau kulat. Ia boleh merebak ke manusia melalui pelbagai cara termasuklah tersebar dari individu-ke-individu melalui sentuhan terus, bawaan air dan makanan, penyebaran zarah-zarah jangkitan di udara atau melalui serangga seperti nyamuk.

Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) merupakan satu inisiatif kerajaan dalam membendung penularan penyakit berjangkit. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan NIP sejak tahun 1950-an dengan memberikan suntikan vaksin secara percuma kepada kanak-kanak di Malaysia.

Pada masa ini, NIP melindungi kanak-kanak daripada 12 penyakit cegahan vaksin termasuk tuberkulosis, Hepatitis B, difteria, tetanus, batuk kokol (pertusis), polio, Haemophilus influenzae type b, campak, beguk, rubella, ensefalitis Jepun (JE), dan kanser yang disebabkan oleh virus papilloma manusia (HPV).

Mereka akan menerima vaksin ini dalam tempoh dua tahun pertama kelahiran, kecuali vaksin HPV yang diberikan kepada remaja perempuan pada umur 13 tahun. Dos penggalak bagi beberapa vaksin turut diberikan semasa umur persekolahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hampir setahun berdepan dugaan Covid-19, rakyat Malaysia kini sedia divaksin

Sejak NIP diperkenalkan, penambahbaikan dilakukan dari masa ke semasa, antaranya pengenalan vaksin Hepatitis B pada tahun 1989, vaksin Haemophilus influenzae type b (Hib) serta Campak-Beguk-Rubella (MMR) pada tahun 2002 dan vaksin kombinasi 5-dalam-1 pada tahun 2008, bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan perkembangan saintifik dan teknologi vaksin dan mengambil saranan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ini penting dalam memastikan imunisasi dapat memberikan perlindungan yang lengkap dan optimum kepada kanak-kanak di Malaysia.

Pada tahun ini, KKM sekali lagi membuat penambahbaikan kepada NIP dengan memperkenalkan vaksin 6-dalam-1 dan mengumumkan jadual imunisasi baharu.



Terdapat pelbagai manfaat vaksin 6-dalam-1 kepada bayi dan kanak-kanak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu pertukaran jadual imunisasi ini dilaksanakan susulan pertukaran jenis vaksin yang digunakan iaitu vaksin kombinasi 5-dalam-1 yang ditukar kepada vaksin kombinasi 6-dalam-1 di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak.

Pertukaran pelaksanaan itu kata Dr. Noor Hisham dilaksanakan secara berperingkat, yang akan bermula seawal November 2020 bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin ini di fasiliti kesihatan KKM.

Kebaikan vaksin ‘6-Dalam-1’

Ketua Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr. Jamiatul Aida Md Sani berkata, langkah pengenalan vaksin 6-dalam-1 di dalam NIP ini dibuat hasil pertimbangan secara teliti oleh Jawatankuasa Dasar dan Amalan Imunisasi Kebangsaan.

Beliau menjelaskan bahawa penggunaan vaksin 6-dalam-1 telah dilakukan di 49 negara di dunia. Sejajar dengan perkembangan di negara-negara maju yang lain, pertukaran vaksin 6-dalam-1 adalah langkah ke hadapan yang baik.

Jelasnya, sebelum ini, vaksin lima serangkai (5-dalam-1) yang mencegah penyakit difteria, tetanus, pertusis, polio dan Haemophilus influenzae type b (Hib) diberikan sebanyak empat dos kepada setiap kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan. Manakala, vaksin Hepatitis B pula diberi secara berasingan sebanyak tiga dos kepada setiap kanak-kanak selepas lahir dan pada umur satu dan enam ulan. Ini bermakna tujuh suntikan diperlukan untuk mencegah enam penyakit ini.

“Pertukaran kepada vaksin enam serangkai (6-dalam-1) yang mencegah penyakit difteria, tetanus, pertusis, polio, Haemophilus influenzae type b (Hib) dan Hepatitis B memberi manfaat kepada kanak-kanak, di mana hanya empat dos vaksin diperlukan bagi setiap kanak-kanak (2,3, 5 dan 18 bulan). Manakala, vaksin Hepatitis B secara berasingan hanya perlu diberi sebanyak satu suntikan sahaja selepas lahir. Ini bermakna, bilangan suntikan berkurang kepada lima suntikan untuk mencegah enam penyakit," katanya.



Jadual Imunisasi Kebangsaan yang dikeluarkan KKM.

Enam penyakit yang dicegah oleh vaksin 6-Dalam-1;

1. Difteria - Jangkitan pada tekak dan hidung yang boleh menyebabkan kesukaran bernafas, kegagalan jantung, lumpuh dan kematian.

2. Tetanus (Kancing Gigi) - Jangkitan pada sistem saraf yang boleh menyebabkan kekejangan otot terutama pada bahagian rahang dan leher dan sering menyebabkan kematian.

3. Pertusis (Batuk Kokol) - Jangkitan pada saluran pernafasan yang boleh menyebabkan radang paru-paru, sawan, radang otak yang membawa maut.

4. Poliomyelitis - Jangkitan pada sistem saraf yang boleh menyebabkan kelumpuhan kekal dan boleh membawa maut.

5. Hepatitis B - Jangkitan pada hati yang boleh menyebabkan kerosakan hati yang teruk dan mengakibatkan kanser hati.

6. Haemophilus influenzae type b - Jangkitan yang menyebabkan radang pada selaput otak, jangkitan kuman dalam darah dan radang paru-paru serta boleh membawa maut.

Ketua Penolong Pengarah Kanan di Unit Imunisasi, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga KKM, Dr. Rozita Ab Rahman berkata terdapat beberapa kelebihan dalam penggunaan vaksin 6-dalam-1 ini. Yang paling utama, bilangan suntikan diperlukan serta temujanji imunisasi oleh seseorang bayi di Klinik Kesihatan dapat dikurangkan.

“Kebaikan kedua adalah dari sudut keselesaan bayi itu sendiri. Suntikan meskipun sekejap, ia menyakitkan untuk bayi. Jika kurang suntikan, kuranglah episod kesakitan dan tangisan. Ketiganya, kakitangan kesihatan akan mempunyai lebih banyak masa semasa temu janji berkala untuk menjalankan penilaian-penilaian kesihatan dan perkembangan bayi yang lain seperti tumbesaran, perkembangan deria dan intelek mereka," katanya.



Dr. Rozita Ab Rahman (kiri) dan Norleen Mohamad Ali menjelaskan vaksin 6-dalam-1 adalah selamat kepada bayi dan kanak-kanak.

Vaksin 6-dalam-1 Selamat Untuk Anak

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Farmakovigilans di Pusat Komplians & Kawalan Kualiti, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Norleen Mohamad Ali menjelaskan vaksin 6-dalam-1 itu bukan sahaja selamat digunakan malah ia turut melalui beberapa fasa ujian klinikal sebelum digunakan secara komersial bagi menjamin keberkesanan dan keselamatan vaksin berkenaan kepada penerimanya.

“Di Malaysia, sebelum vaksin tersebut boleh dipasarkan dan digunakan, ia perlu melalui proses pendaftaran yang ketat dan teliti oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia. Setelah vaksin berkenaan didaftarkan, barulah vaksin tersebut boleh digunakan dalam NIP.

“Vaksin ini bukanlah baharu digunakan di Malaysia. Sehingga Oktober 2020, terdapat dua produk vaksin 6-dalam-1 yang berdaftar di Malaysia dan penggunaannya bertambah saban tahun. Kedua-dua vaksin ini masing-masing telah digunakan di fasiliti-fasiliti kesihatan swasta pada tahun 2006 dan 2013, ” jelasnya.

Norleen turut menyatakan di Malaysia, majoriti laporan kesan advers susulan immunisasi atau lebih dikenali sebagai AEFI yang diterima bagi vaksin ini adalah ringan dan boleh sembuh dalam beberapa hari dengan atau tanpa rawatan.

“Pola laporan kesan advers bagi vaksin ini adalah sama seperti vaksin-vaksin lain. Namun begitu, tidak dapat dinafikan ada juga AEFI serius, akan tetapi ianya sangat jarang berlaku. Ibu bapa adalah digalakkan untuk melaporkan kesan sampingan yang dialami selepas menerima suntikan vaksin walaupun ianya kesan sampingan ringan seperti demam, bengkak dan kemerahan pada tempat suntikan, ” ujarnya.

Tambahnya, seperti vaksin lain, pihak NPRA sentiasa menjalankan pemantauan yang teliti ke atas vaksin 6-dalam-1. Ibu bapa boleh membuat laporan sama ada melalui anggota kesihatan atau boleh terus melaporkan kepada NPRA melalui pelaporan atas talian di laman web NPRA, www.npra.gov.my, dengan klik pada tab “Pengguna” dan seterusnya pilih “ConSERF pelaporan atas talian”.

“Kebaikan dan manfaat vaksin dalam mencegah penyakit adalah lebih tinggi berbanding dengan risiko mendapat AEFI yang lazimnya ringan dan tidak memudaratkan,” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain