Satu dalam 2 rakyat Malaysia alami obesiti… Ketahui 4 petanda anda menghidap sakit jantung! - “Ia bukan lagi penyakit orang tua”

Penyakit berkaitan kardiovaskular cukup berkait rapat dengan masalah obesiti.

SEPULUH tahun lalu kita mungkin jarang mendengar golongan muda meninggal dunia akibat penyakit jantung, namun hari ini ia seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan.

Situasi itu semakin membimbangkan apatah lagi data Jabatan Perangkaan Malaysia 2019 melaporkan penyakit kardiovaskular menduduki tempat teratas dan kekal sebagai pembunuh nombor satu rakyat Malaysia bagi tempoh 14 tahun berturut-turut, iaitu dari 2005 hingga 2018.

Dalam tahun 2018 sahaja, seramai 18,267 pesakit meninggal dunia akibat penyakit dan serangan jantung. Apakah penyebab dan punca kepada peningkatan tersebut?

Pakar Kardiologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Mohd Kamal Mohd Arshad memberitahu obesiti adalah salah satu penyebab kepada peningkatan angka pesakit kardiovaskular di Malaysia.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 kata Dr Mohd Kamal, satu dalam dua rakyat dewasa di negara ini mempunyai masalah berat badan dan obesiti.



Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Sunway, Dr. Mohd Kamal Mohd Arshad.

Lebih memburukkan, laporan World Population Review 2019 turut menyenaraikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara dengan masalah obesiti.

"Tidak hanya golongan dewasa tetapi kanak-kanak berumur di antara lima ke 17 tahun di negara ini juga menunjukkan peningkatan drastik dalam masalah obesiti," katanya kepada mStar.

Kaitan obesiti dan penyakit kardiovaskular

Secara umumnya, lelaki dengan lemak badan lebih 25 peratus manakala wanita dengan lemak badan lebih 35 peratus dianggap mengalami obesiti. Selain daripada peratus lemak badan, Indeks Jisim Badan (BMI) adalah salah satu cara untuk mengklasifikasikan berat badan seseorang.

Dr Mohd Kamal memberitahu, individu dengan lebih berat badan atau obes bukan sahaja berisiko untuk mengalami masalah jantung tetapi juga penyakit yang lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolestrol tinggi serta angin ahmar.



Satu daripada dua rakyat Malaysia mengalami masalah berat badan atau obesiti.

Jelasnya lagi, terdapat beberapa faktor luaran yang menyebabkan seseorang itu mengalami lebihan berat badan atau obes termasuklah pemakanan dan kurang bersenam.

"Faktor paling popular adalah pengambilan makanan berlemak tinggi seperti makanan segera, minuman bergas. Ini kerana makanan dan minuman tersebut mengandungi gula dan kalori yang sangat tinggi.

"Ramai memilih untuk menikmati makanan segera dan tidak sihat mungkin disebabkan ia mudah didapati selain harganya lebih murah.

"Malas bersenam juga adalah faktor popular, dengan teknologi dan kemudahan sekarang ramai di antara kita yang malas bergerak," ujarnya.



Faktor pemakanan dan gaya hidup yang menyebabkan masalah jantung.

Bahaya obesiti, plak terkumpul di dalam arteri

Sementara itu, Dr Mohd Kamal berkata, apabila seseorang itu mengalami lebihan berat badan, jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan.

Situasi itu boleh memberi tekanan dalam salur darah dan menyebabkan ia menjadi lebih laju dan mampu mengubah struktur jantung.

Keadaan boleh bertambah parah apabila lemak atau plak yang terkumpul di dalam arteri dalam tempoh waktu yang panjang boleh menyebabkan ia menjadi sempit.

Keadaan itu kata Dr Mohd Kamal boleh menyebabkan sel darah merah yang mempunyai oksigen tidak mampu sampai ke jantung lalu menyebabkan sakit dada yang dikenali sebagai angina.



Individu dengan berat badan berlebihan akan menyebabkan jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan.

"Situasi boleh jadi berbahaya apabila plak ini pecah dan membentuk darah beku pada kawasan yang terkesan. Darah beku ini akan menghalang aliran darah ke jantung dan boleh menyebabkan serangan jantung," jelasnya.

Tambah Dr Mohd Kamal, risiko angina iaitu sakit pada dada serta serangan jantung juga boleh disebabkan oleh gaya hidup tidak sihat seperti merokok serta gagal mengawal penyakit lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolestrol.

"Sebenarnya bukan individu obes sahaja boleh terkena penyakit berkaitan jantung tetapi individu dengan berat badan normal juga berdepan risiko sama sekiranya mereka tidak menjalani gaya hidup sihat.

"Terdapat juga kes seseorang yang dilihat 'sihat' terkena serangan jantung namun apabila pemeriksaan dilakukan, individu itu mempunyai pelbagai penyakit lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi yang tidak disedari," ujarnya.

"Terdapat juga kes seseorang yang dilihat 'sihat' terkena serangan jantung namun apabila pemeriksaan dilakukan, individu itu mempunyai pelbagai penyakit lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi yang tidak disedari".

DR MOHD KAMAL MOHD ARSHAD

PAKAR KARDIOLOGI, PUSAT PERUBATAN SUNWAY

Dalam perkembangan sama, Dr Kamal memberitahu terdapat beberapa petanda seseorang itu mungkin mempunyai sakit atau serangan jantung termasuklah;

1. Sakit dada yang mengencang atau menekan dibahagian kiri atau tengah dada.

2.Sakit dada yang bertambah teruk ketika bekerja atau melakukan aktiviti namun ia berkurangan apabila berehat.

3. Sakit yang merebak ke bahagian rahang, leher atau lengan (kebiasaannya lengan kiri)

4. Sakit disertai sesak nafas, loya, berpeluh atau pengsan



Sakit seperti dtekan pada bahagian dada adalah tanda sakit atau serangan jantung.

Atas sebab itu kata Dr Mohd Kamal adalah sangat penting bagi setiap individu memulakan gaya hidup sihat terutamanya dalam kalangan golongan muda bagi mengelak penyakit berkaitan kardiovaskular.

Terdapat beberapa langkah penting yang boleh diambil bagi mencegah penyakit itu termasuklah;

1. Saringan

Bagi individu berusia 30 tahun ke atas, Dr Mohd Kamal menyarankan agar membuatkan saringan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan keadaan jantung berada dalam keadaan sihat selain terhindar daripada sebarang penyakit lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

Individu yang mempunyai masalah kardiovaskular pula, dinasihatkan untuk melakukan saringan kesihatan berjadual.

2. Berhenti merokok

Ramai di antara pesakit mempunyai sejarah merokok tanpa menyedari bahawa ia adalah antara punca kepada penyakit berkaitan jantung.

Ini kerana asap rokok sahaja mengandungi lebih 4,000 jenis bahan kimia beracun antaranya nikotin, karbon moniksida dan tar. Nikotin mampu merosakkan saluran darah dan menggangu pengaliran darah dalam badan.

Ia juga boleh mengecutkan saluran darah serta mengurangkan bekalan oksigen ke jantung dan badan. Selain itu, ia turut meningkatkan kadar denyutan jantung.

3. Pemakanan sihat

Pemakanan adalah faktor paling penting dalam menjaga kesihatan dan kita disarankan untuk tidak berlebih-lebihan dalam menikmati makanan selain memperbanyakkan pengambilan bijiran dan kekacang selain sayur-sayuran serta buah-buahan.

Sebaik-baiknya, elak makanan yang mengandungi kandungan gula dan garam yang tinggi terutamanya bagi golongan berisiko.

4. Senaman

Kita sangat dianjurkan untuk bersenam sebanyak tiga kali seminggu dengan melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, berjoging, berbasikal, senamrobik atau bermain futsal.

Paling penting apabila bersenam ia dapat membakar kalori serta mengawal berat badan sekaligus merendahkan risiko penyakit.

Oleh itu, semua pihak perlu mempertingkatkan peranan masing-masing untuk mencegah penyakit jantung memandangkan banyak faktor risiko yang menyebabkan pembunuh nombor satu ini.

"Kita harus ingat bahawa penyakit berkaitan jantung ini bukan lagi penyakit orang tua tetapi ia sudah menjadi kebiasaan pada golongan muda.

"Masih belum terlambat untuk mengubah gaya hidup kerana ia dapat memberi pelbagai manfaat serta mengurangkan risiko pelbagai penyakit," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Klik

Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar ketika tempoh PKP.

Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

KESELAMATAN dan kesihatan dalam kalangan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Wow! Usahawan dedah bagaimana SOP mampu jadikan bisnesnya lebih power

FRASA 'SOP' (Prosedur Operasi Standard) telah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Malaysia sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dimulakan pada bulan Mac 2020.

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

AUSTRALIA bukan sahaja mempunyai pelbagai lokasi menarik tetapi menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Artikel Lain