Bukan mudah jaga orang sakit namun tip daripada pakar ini mungkin boleh membantu - Famili | mStar

Bukan mudah jaga orang sakit namun tip daripada pakar ini mungkin boleh membantu

Bukan tugas mudah... Emosi pesakit biasanya tidak menentu sehingga ada yang cepat melenting, cemas dengan situasi tertentu serta kemurungan yang memberikan cabaran kepada keluarga menguruskan mereka. Gambar Sekadar Hiasan

BERDEPAN tanggungjawab menjaga ahli keluarga yang terlantar sakit akibat penyakit kronik seperti kanser harus diakui bukan tugas mudah.

Ini kerana emosi pesakit biasanya tidak menentu sehingga ada yang cepat melenting, cemas dengan situasi tertentu serta berlaku kemurungan yang memberikan cabaran kepada keluarga untuk menguruskan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Mulut jangan 'main lepas', cukup setakat 15 minit! Patuhi 7 adab ini ketika ziarah orang sakit

Hal ini sudah tentu memberi kesan juga kepada ahli keluarga menjaga pesakit - yang mana boleh menyebabkan mereka berada dalam keadaan serba salah dan tertekan apabila perlu berhadapan dengan kerengsaan emosi pesakit.

Keadaan biasanya bertukar tegang kerana individu yang menjaga pesakit sedemikian tidak memahami perasaan mereka yang melalui detik sukar dalam hidup.

Ada juga penjaga yang bertindak kasar apabila pesakit menunjukkan emosinya seperti marah, merajuk, banyak merungut dan tidak selesa apabila diminta makan ubat atau perkara lain.

Pakar Perunding & Perubatan Paliatif, Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Sheriza Izwa Zainuddin berkata, situasi itu adalah senario biasa yang berlaku namun sebenarnya amat penting bagi ahli keluarga memahami terlebih dahulu situasi pesakit apabila mereka disahkan menghidap penyakit kronik.

Perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan ahli keluarga kepada pesakit amat penting. - Gambar Sekadar Hiasan

Ini kerana kata Dr. Sheriza, ia adalah tamparan hebat kepada pesakit untuk berhadapan dengan hakikat yang sekali gus memberi impak kepada emosi mereka.

Pun begitu katanya, terdapat dua aspek boleh membantu ahli keluarga terutamanya dalam memahami situasi pesakit dalam usaha mengurangkan tekanan kepada mereka yang perlu menjaga pesakit.

Memberi perhatian kepada aspek seperti fizikal, emosi, psikososial dan spiritual pesakit

Menurut Dr. Sheriza, pesakit biasanya akan menanggung kesakitan dan kesan sampingan daripada proses rawatan yang menyebabkan mereka memerlukan bantuan daripada orang sekeliling seperi untuk bergerak dan menjalani aktiviti harian.

Perubahan ini memberikan kesan bukan sahaja kepada fizikal tetapi juga psikososial dan emosi pesakit. Perasaan marah, malu, rendah diri, berasa sebagai bebanan kepada keluarga dan bimbang tentang masa hadapan merupakan perkara sering menggangu pesakit.

"Keadaan inilah menyebabkan berlakunya ketidakstabilan emosi pesakit dan jika tidak diberi perhatian sewajarnya ia akan menambah penderitaan kepada pesakit dan keluarga.

Perbincangan dan mendapat informasi lengkap daripada doktor mengenai keadaan pesakit

Sudah menjadi peranan doktor untuk meneliti setiap aspek keadaan pesakit dan sebagai ahli keluarga (mereka) juga perlu melibatkan diri dengan bertanya tentang situasi sebenar seperti kaedah rawatan dan sebagainya.

Dengan cara itu ahli keluarga mendapat gambaran lebih jelas tentang apa sedang dilalui pesakit selain dapat memahami penderitaan apabila mereka menunjukkan emosi tidak stabil.

Sebagai ahli keluarga mereka juga perlu sentiasa peka dengan keadaan, keperluan dan penjagaan pesakit namun jangan mengabaikan diri sendiri.

DR SHERIZA IZWA ZAINUDDIN

Pakar Perunding & Perubatan Paliatif, Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan Universiti Malaya

"Persoalan seperti 'kenapa saya yang perlu hadapi kanser?' atau 'Kenapa bukan orang lain?' serta 'Kenapa suami saya?' akan wujud bukan sahaja dalam kalangan pesakit tetapi juga ahli keluarga.

"Keadaan inilah menyebabkan berlaku ketidakstabilan emosi pesakit dan jika tidak memberi perhatian kepada dua aspek itu dengan sewajarnya ia mampu menambah penderitaan kepada kedua-dua belah pihak," jelasnya.

Sementara itu, Dr Sheriza berkata, sebagai ahli keluarga mereka juga perlu sentiasa peka dengan keadaan, keperluan dan penjagaan pesakit.

Keperihatinan dan komunikasi yang baik di antara kedua belah pihak juga dapat memudahkan pesakit melalui semua proses rawatan.

Pun begitu, ia bukan bererti mereka perlu mengabaikan diri sendiri sehingga menyebabkan diri sendiri tertekan sebaliknya aspek itu juga perlu diberi perhatian.

Antara perkara yang boleh dilakukan oleh mereka yang menjaga pesakit kronik termasuklah;

Kumpulan sokongan boleh membantu ahli keluarga berkongsi masalah dan pengalaman.  - Gambar Sekadar Hiasan

1. Jangan melihat menjaga pesakit sebagai bebanan sebaliknya anggap ia tanggungjawab yang bakal membolehkan anda memperoleh ganjaran dari Tuhan.

2. Sertai kumpulan sokongan kerana dengan cara itu dapat meringkan beban apabila dapat berkongsi masalah dan pengalaman menjaga pesakit kronik.

3. Tidak salah untuk mencari masa untuk diri sendiri - Lakukan perkara yang anda suka seperti biasa seperti bersenam kerana ia mampu mengurangkan tekanan menjaga pesakit.

4. Ambil peluang tersebut untuk mengeratkan lagi hubungan dengan pesakit yang mungkin (ibu bapa atau pasangan) serta mencipta memori baharu bersama.

5. Jangan malu untuk dapatkan bantuan seperti ahli psikologi sekiranya tekanan menjaga pesakit menjejaskan emosi dan kehidupan seharian serta mendekatkan diri kepada Allah.