suria

Geli, hilang nafsu! Wanita mengeluh suami punca tandas hancing, ini penjelasan hukum kencing berdiri

Air kencing yang terpercik dan tidak dibersihkan boleh menyebabkan tandas berbau busuk. -Gambar hiasan AI

SEORANG pelayar X berkongsi kisah suaminya yang suka kencing berdiri sehingga menyebabkan tandas kediamannya berbau busuk.

Menurut pengadu, dia bagaikan sudah hilang sabar kerana suaminya tidak menjaga kebersihan tandas.

"Saya muak dengan sikap suami. Dia kencing berdiri hingga terpercik, menyebabkan tandas hancing.

"Setiap pagi saya kena cuci. Saya sampai tahap dah hilang rasa hormat. Normal ke macam ni?" luah wanita itu.

Perkongsian wanita itu turut menerima pelbagai maklum balas netizen.

"Jenis kencing berdiri ni susah nak betulkan balik sebab biasanya habit ni dah dilakukan sejak kecil lagi.

"Geli. Hilang nafsu terus dekat orang macam ni. Hal najis jangan main-main," antara komen netizen.

Hukum 

Menurut semakan di laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat dua pandangan sama ada yang melarang ataupun membolehkannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:

Maksudnya: Sesiapa yang bercerita kepada kalian semua bahawasanya Rasulullah S.A.W itu kencing berdiri maka janganlah kalian mempercayainya. Tidaklah Rasulullah S.A.W itu kencing melainkan dalam keadaan duduk. [Riwayat al-Tirmizi]

Kebersihan tandas mencerminkan sikap penghuni sesebuah kediaman. -Gambar hiasan AI

Juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah Ibn al-Yaman R.A beliau berkata:

Maksudnya: Nabi SAW mendatangi tempat buangan sampah sebuah kaum, kemudian baginda kencing secara berdiri. Kemudian baginda meminta air lalu aku membawanya dan baginda pun berwuduuk. [Riwayat al-Bukhari]

Kedua-dua hadis di atas dilihat seakan-akan saling bercanggahan di antara satu sama lain. 

Akan tetapi, kami menyebut di sini berkenaan cara mengharmonikan di antara kedua-dua dalil tersebut adalah dengan mengatakan: 

Dibolehkan kencing secara berdiri berdasarkan hadis Huzaifah, manakala yang lebih afdal adalah kencing secara duduk kerana itulah yang paling kerap dilakukan oleh Rasulullah SAW bahkan inilah sunnah baginda sendiri.

Kata Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah: 

"Yang zahirnya baginda melakukannya (kencing secara berdiri) adalah untuk menjelaskan akan keharusannya dan dalam banyak keadaan baginda membuang air kecil secara duduk.

"Kami juga menyatakan para ulama yang mengharuskan perbuatan kencing berdiri turut menyebutkan beberapa perkara seperti berikut:

- Hendaklah ia dilakukan di tempat yang sembunyi dari penglihatan manusia lainnya supaya auratnya terpelihara.

- Hendaklah berhati-hati supaya air kecil tidak terpercik ke pakaian."

 

Artikel Lain