suria

Pastikan perjalanan ke destinasi pelancongan bukan lagi mimpi... Pulau, pantai Top 10 tarikan pelancong ke Malaysia

Pulau-pulau yang indah dan pantai berpasir di negara ini adalah tarikan utama yang dipercayai oleh responden akan menarik pelancong untuk melancong ke Malaysia.

SEGALANYA bagaikan terhenti buat industri pelancongan apabila wabak Covid-19 melanda dunia.

Penerbangan dibatalkan dan percutian juga terpaksa ditunda, malahan orang ramai diarahkan duduk di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan.

Kini, keadaan semakin pulih bagaikan wujudnya sinar harapan untuk menghidupkan semula industri pelancongan di negara ini.

Satu permulaan yang meyakinkan apabila perjalanan domestik dan rentas negeri mula dibenarkan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan pada 10 Jun lalu.

Menurut Tourism Malaysia, langkah seterusnya adalah untuk negara ini mewujudkan 'gelombang perjalanan' dengan zon bebas Covid-19, satu langkah bagi membolehkan perjalanan dua hala antara Malaysia dengan destinasi yang tidak lagi dibelenggu wabak itu.

Namun, ia dijangka bermula dengan negara-negara jiran terlebih dahulu, kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

"Ia masih lagi satu perjalanan yang jauh buat kita kerana sempadan antarabangsa masih ditutup. Namun kita sangat bersyukur apabila perjalanan domestik dibenarkan semula.

"Melihat kepada semangat rakyat negara ini, kekangan ini akan berakhir tidak lama lagi.

Perjalanan domestik dan rentas negeri mula dibenarkan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan pada 10 Jun lalu.

"Strategi seterusnya adalah untuk merangsang pelancongan rentas sempadan yang mana kita mengalu-alukan kedatangan pelancong luar dari negara Asean menerusi terma gelembung perjalanan," ujarnya lagi.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri pernah berkata bahawa gelembung perjalanan membolehkan penerbangan tertentu dilakukan ke destinasi dalam zon hijau yang merekodkan sifar kes aktif Covid-19.

Dengan adanya langkah ini, pelancong dapat melawat destinasi yang mereka mahukan sekaligus dapat merancakkan kembali industri pelancongan.

Untuk mempersiapkan gelembung perjalanan seperti itu, Tourism Malaysia sebagai cabang pemasaran kementerian akan memanfaatkan ejen pelancongan dalam talian bagi mempromosikan pakej baucar perjalanan.

Pakej sedemikian akan mensasarkan pelancong muda, pelancong bebas dan juga segmen pelancongan Muslim.

"Baru-baru ini, kami didorong oleh perjanjian di antara Malaysia dan Singapura untuk melaksanakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA)," ujar Musa.

Dengan perjanjian itu, perjalanan merentas sempadan antara Malaysia dan Singapura di Tambak Johor akan dibenarkan bermula 17 Ogos, tetapi hanya untuk tujuan rasmi, perniagaan dan kerja.

Malah, masih banyak yang perlu dilakukan Malaysia sementara menunggu sempadan dibuka untuk negara lain.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof.

Dengan pandemik yang memberi kesan serius kepada sektor pelancongan, Tourism Malaysia tampil dengan kaedah tersendiri iaitu Strategi Pemulihan dan Pelan Tindakan untuk membantu industri ini.

Salah satu strategi di bawah rancangan ini adalah untuk mengembalikan keyakinan dalam perjalanan dan meyakinkan orang ramai bahawa Malaysia kini selamat untuk tujuan perjalanan, kata Musa.

"Ini dilakukan melalui pelbagai tindakan dan inisiatif termasuk menerapkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan menyebarkan kemas kini terbaharu melalui laman web rasmi serta platform media sosial kami.

“Bukan itu sahaja, meningkatkan kebersihan dan keselamatan pada skala terbaik juga penting untuk menarik pelancong serta mendapatkan kepercayaan pelancong.

"Sebagai contoh, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) baru-baru ini melancarkan label kebersihan dan keselamatan pertama yang disebut "Malaysia Bersih dan Selamat".

"Ini adalah program pensijilan yang dirancang khusus untuk hotel dan resort mematuhi kedua-dua syarat peraturan tempatan serta piawaian antarabangsa," jelas Musa.

Tourism Malaysia juga merancang untuk meningkatkan sumber secara maksima melalui kolaborasi, termasuk dengan kementerian, agensi, dan kerajaan negeri untuk meningkatkan promosi produk khusus seperti golf, homestay, aktiviti berbasikal, memancing dan menyelam.

Pelancongan Domestik

Ia mungkin memerlukan masa yang lebih lama sebelum rakyat Malaysia dapat mengemas beg mereka untuk pergi ke tempat-tempat di dalam gelembung perjalanan seperti yang dicadangkan.

Jadi buat masa ini, pelancongan domestik terus menjadi fokus utama, sebagai tumpuan Tourism Malaysia dalam strategi pemulihan jangka pendeknya.

Negara ini mahu mewujudkan 'gelombang perjalanan' dengan zon bebas Covid-19, satu langkah bagi membolehkan perjalanan dua hala antara Malaysia dengan destinasi yang tidak lagi dibelenggu wabak itu.

Malah, mereka akan melakukan tinjauan dan analisis tingkah laku untuk mengkaji faktor-faktor yang memberi motivasi, selain mempengaruhi pelancong untuk melakukan perjalanan ke dalam negeri.

"Ini membolehkan kita membuat unjuran atas permintaan dan membahagikan data tersebut kepada pemain industri agar mereka dapat memenuhi keperluan tersebut," kata Musa.

Kini, selepas perjalanan antara negara dibenarkan dan sekatan juga dilonggarkan, Musa berkata terdapat perubahan daripada segi perilaku apabila kebanyakan pelancong domestik memilih tempat yang kurang sesak dan jauh dari bandar.

Tetapi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, pemain industri harus berusaha lebih dari sebelumnya dalam menawarkan pakej menarik untuk membolehkan rakyat Malaysia menikmati percutian yang berpatutan.

Promosi dan pakej ditawarkan melalui kerjasama dengan pemain utama seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pelancongan Malaysia (Matta), Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo Air, dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Tourism Malaysia berperanan sebagai perantara untuk memastikan inisiatif dan pakej ini disampaikan kepada rakyat Malaysia agar mereka dapat merebut peluang yang tersedia.

"Kami juga bekerjasama dengan penyedia sistem untuk memasarkan produk dan pakej pelancongan melalui aplikasi dalam talian," tambah Musa.

Melalui platform digitalnya sendiri, Tourism Malaysia juga telah mempromosikan tarikan pelancongan melalui webinar dan program langsung dalam talian.

Pelancongan domestik terus menjadi fokus utama Tourism Malaysia dalam strategi pemulihan jangka pendeknya.

“Salah satu program maya kami adalah siri Sembang Santai, platform promosi yang dibuat khas untuk pengendali pelancongan, pemandu pelancong dan media untuk berkongsi pengetahuan juga pengalaman mereka di destinasi terpencil.

"Empat sesi telah diadakan pada bulan ini, memaparkan keajaiban Lembah Bujang, Kenyir, Kota Belud, dan Selama.

"Siri ini akan diteruskan dengan lebih banyak destinasi termasuk Perlis dan Bung Jagoi Sarawak, ” jelas Musa.

Siri ini mendapat sambutan menggalakkan dengan setiap sesi mempunyai purata kira-kira 5,000 tontonan.

Selain itu, Tourism Malaysia juga aktif mengkoordinasikan sesi Xchange yang mana pemain industri dialu-alukan untuk menggunakan platform agensi untuk promosi produk mereka.

Kewujudan dunia digital juga membolehkan Malaysia menjangkau khalayak global walaupun terdapat sekatan perjalanan.

"Banyak pameran pelancongan antarabangsa juga memilih untuk dilakukan secara dalam talian.

"Baru-baru ini, Tourism Malaysia telah menyertai Festival Impian Perjalanan Maya Pertama Asia Pasifik, sebuah acara perdagangan pelancongan global yang menawarkan forum maya, bilik pameran digital, dan pengalaman langsung.

Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, pemain industri harus berusaha lebih dari sebelumnya, kata Tourism Malaysia.

"Tidak dapat dinafikan, pelancongan maya adalah antara norma baharu yang harus kita biasakan.

"Walaupun tidak ada yang mengalahkan interaksi dunia nyata, pelancongan maya juga memiliki kelebihan, terutama semasa krisis ini," kata Musa.

Undian teratas

Pada April lalu, Tourism Malaysia melakukan tinjauan dalam talian mengenai persepsi perjalanan domestik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pulau-pulau yang indah dan pantai berpasir di negara ini adalah tarikan utama yang dipercayai oleh responden akan menarik pelancong untuk melancong ke Malaysia.

Dari 13,797 responden, 76.8 peratus memilih pulau dan pantai sebagai salah satu daripada 10 perkara teratas yang akan menarik pelancong untuk melancong ke Malaysia.

Ia diikuti oleh makanan tempatan yang lazat (72.2 peratus) dan nilai untuk wang sebagai destinasi pelancongan (67.8 peratus).

Tourism Malaysia tampil dengan Strategi Pemulihan dan Pelan Tindakan untuk membantu industri ini.

Dan biarpun tempoh ini begitu getir sekali, Malaysia masih menjadi permata dalam sektor pelancongan dengan memiliki pelbagai daya tarikan dan kemegahan.

Mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan mereka, Musa berkata Tourism Malaysia sangat gembira melihat pantai, resort, taman, dan restoran negara menerima banyak tempahan ketika perniagaan beroperasi semula.

"Di tengah-tengah semua itu, saya juga ingin mengingatkan semua orang untuk mematuhi SOP yang ditempatkan untuk terus mengekang penyebaran Covid-19.

"Kami telah membuktikan bahawa tidak mustahil untuk bangkit semula daripada pandemik yang memilukan ini, tetapi kita juga harus membuktikan bahawa kita dapat melawan Covid-19 secara total dan akhirnya menjadikan negara kita bebas wabak ini," katanya.

Bagi warga luar yang ingin mengunjungi Malaysia suatu hari nanti, Musa berharap Malaysia dapat mengalu-alukan kedatangan mereka tidak lama lagi.

"Marilah kita bersama-sama memerangi wabak itu, di mana pun kita berada bagi membolehkan dunia sembuh dari keadaan yang dahsyat ini dan kembali ke dunia yang mana perjalanan bukan lagi sekadar mimpi," tambahnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain