suria

Teringin nak cuba panggung drive-in? 6 sebab ini alasan terbaik tengok wayang dalam kereta

Setiap kenderaan hanya dihadkan dua orang sahaja.

KERAJAAN mungkin sudah membenarkan panggung wayang dibuka namun ramai di antara kita berasa bimbang untuk ke tempat awam tambahan pula peningkatan semula ke Covid-19 di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Namun itu bukan bererti kita tidak boleh berhibur bagi menenangkan fikiran kerana kini terdapat pilihan menonton wayang dengan lebih selamat tanpa perlu bersesak atau bimbang tentang penjarakkan fizikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Pastikan perjalanan ke destinasi pelancongan bukan lagi mimpi... Pulau, pantai Top 10 tarikan pelancong ke Malaysia

Jika ingin merasai suasana menonton wayang di dalam kereta, Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction mungkin adalah jawapannya.



Rasai pengalaman menonton wayang di dalam kereta.

Bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), ia sudah pun mula beroperasi sejak 1 Ogos lalu dan pelanggan boleh memilih untuk menonton filem kegemaran menerusi dua slot yang disediakan iaitu pukul 6 petang dan 9 malam.

Caj dikenakan adalah RM99 bagi setiap kereta (maksimum dua orang) untuk pakej standard manakala RM159 setiap kereta (maksimum dua orang) untuk pakej VIP. Dua hidangan juga disediakan untuk setiap kenderaan.

Tapi apa yang membuatkan pengalaman menonton di Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction ini menarik?



Hanya 50 kenderaan untuk setiap sesi.

1. Tempat terhad

Bagi memastikan semua pelanggan mendapat pengalaman menonton maksimum, pihak pengurusan hanya memuatkan maksimum 50 kereta pada setiap sesi.

Jika anda memandu kenderaan besar seperti SUV, anda perlu meletakkan kereta di bahagian belakang supaya tidak menghalang pemandangan penonton yang datang dengan kereta sedan.



Pembesar suara dan kipas tangan turut disediakan.

2. Jangan bimbang kipas disediakan

Sedari Malaysia adalah sebuah negara tropika dan sentiasa panas, pihak pengurusan juga akan menyediakan dua kipas tangan untuk digunakan ketika menonton.

Bukan tak boleh menghidupkan enjin, tetapi bunyi kenderaan mungkin akan mengganggu orang sekeliling selain dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida. Cara paling baik untuk menyelamatkan bumi!

Fakta dan angka berkaitan dengan pemanasan global juga ditayangkan sebelum filem bermula untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu itu.

3. Pembesar suara pun ada!

Setiap kenderaan akan dibekalkan dengan sebuah pembesar suara yang boleh diletakkan di atas dashboard. Kesan bunyinya mungkin tidak sehebat menonton di panggung wayang tetapi ia masih memberi kepuasan.



Paparan skrin LED bagi merasai pengalaman menonton yang luar biasa.

4. Paparan skrin LED

Bagi mendapat pengalaman menonton sebenar, skrin LED, 4 meter X 9 meter digunakan namun lebih seronok sekiranya ia lebih besar.



Pemandangan indah Kuala Lumpur turut menjadi santapan.

5. Lokasi

Penganjur memilih lokasi strategik kerana anda juga boleh menikmati pemandangan indah Kuala Lumpur pada waktu malam. Dari Matic, anda boleh nampak KLCC dan Menara KL dengan jelas.



Petugas akan memeriksa suhu badan sebelum dibenarkan masuk.

6. SOP terbaik!

Bagi mengurangkan risiko penularan dan jangkitan Covid-19, pihak pengurusan hanya membenarkan dua penonton setiap kereta dan sebelum memasuki ruang parkir, suhu badan akan dibuat terlebih dahulu.

Untuk mengurangkan risiko kontak dan kesesakan laluan, pembayaran tanpa tunai melalui sistem dalam talian turut disediakan, dimana makanan dan minuman akan dihantar terus ke kereta penonton.

Sementara itu, Pengarah MD Events Asia, Jack Gill berkata, pihaknya turut menetapkan pelbagai langkah kebersihan dan peraturan keselamatan yang ketat.

"Sebagai penganjur acara yang bertanggungjawab, fokus kami adalah untuk memastikan semua pelanggan selamat dan mereka dapat merasai pengalaman menyeronokkan," ujarnya.

Acara ini hanya akan berlangsung selama tiga bulan dan untuk tempahan peribadi serta korporat boleh melayari www.mjunction.my atau hubungi 03-2282 6413.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain