Permulaan yang tidak mengecewakan untuk ‘Captain Marvel’ - Wayang | mStar

Permulaan yang tidak mengecewakan untuk ‘Captain Marvel’

Walaupun pada awalnya pemilihan Brie Larson sebagai Captain Marvel dianggap kurang sesuai, tetapi bekas pemenang Oscar itu membuktikan watak itu adalah miliknya.

Filem: Captain Marvel

Pengarah: Anna Boden & Ryan Fleck

Pelakon: Brie Larson, Samuel L. Jackson, Ben Mendelsohn, Jude Law, Djimon Hounsou, Gemma Chan, Clark Gregg dan Annette Bening

Genre: Aksi/Fantasi

Durasi: 124 minit

Pengedar: Walt Disney Pictures

Tarikh Tayangan: 6 Mac 2019

BERMULA dengan filem Iron Man yang ditayangkan pada tahun 2008, Marvel Studios tidak menunggu lama untuk mencipta fenomena tersendiri dalam budaya pop moden hari ini.

Selama sedekad mencipta jenama dan legasi seninya, sebanyak 20 buah filem sudah diterbitkan oleh Marvel Studios sehingga menjadikan studio di bawah payung Walt Disney Pictures itu antara yang paling berjaya ketika ini.

Kejayaan itu juga telah meletakkan Marvel Studios dengan jenama Marvel Cinematic Universe (MCU) sebagai francais filem paling berjaya dalam sejarah perfileman dunia dengan jumlah kutipan keseluruhan menghampiri AS$20 billion (RM80 billion).

Sepanjang 10 tahun juga, MCU sudah melalui tiga fasa dan kini, francais filem tersebut sudah bersedia untuk memasuki dekad kedua dengan permulaan baharu menerusi karya terkini terbitan mereka, Captain Marvel.

Mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 6 Mac lalu (dua hari awal daripada Amerika Syarikat), Captain Marvel sudah pun mencatatkan kejayaan luar biasa apabila mengutip kutipan pembukaannya sebanyak AS$456.7 juta (RM1.86 billion) di seluruh dunia.

Justeru, dengan rekod baharu yang dicipta itu, memang tidak mustahil untuk Captain Marvel akan menjadi salah sebuah filem terlaris tahun ini dan sekali gus terus mengukuhkan kedudukan MCU sebagai francais filem yang diminati.

Filem Captain Marvel adalah permulaan baharu untuk dekad kedua Marvel Studios di bawah jenama Marvel Cinematic Universe.

Pun begitu, ulasan dan kritikan terhadap Captain Marvel menjadi bercampur-baur lalu membuatkan sesetengah pihak tidak begitu yakin dengan kemampuan filem tersebut untuk menjadi terbaik seperti sebahagian besar filem MCU yang lain.

Namun, untuk penulis sendiri yang telah menonton Captain Marvel beberapa hari lalu, tidak merasakan filem ini terlalu teruk seperti mana yang didakwa oleh segelintir pihak yang barangkali kecewa kerana meletakkan harapan cukup tinggi.

Penulis melihat filem Captain Marvel yang diarahkan oleh pengarah duo, Anna Boden dan Ryan Fleck yang sebelum ini dikenali dengan filem-filem indie dan berbajet kecil ini berada dalam kedudukannya tersendiri.

Mungkin untuk sesetengah peminat mahupun penggemar filem, watak Captain Marvel itu terlalu asing dan tidak begitu dikenali jika hendak dibandingkan dengan watak-watak adiwira ciptaan Marvel dan mendiang Stan Lee sendiri.

Akan tetapi, sebagai permulaan, Captain Marvel tidak mengecewakan dan masih boleh ditonton memandangkan ia adalah filem pertama untuk watak itu. 

Lantas, ia dijadikan sebagai salam pembukaan buat mereka yang mungkin tidak begitu mengenali watak adiwira wanita berkenaan.

Benar. Ramai yang meletakkan harapan untuk melihat Captain Marvel menjadi hebat dan memiliki acuan yang serupa dengan filem MCU yang lain tetapi penulis percaya sebagai penerbit, Kevin Feige ada haluannya sendiri untuk Captain Marvel.

Lantaran itu, Captain Marvel dibikin untuk membawa penonton melihat bagaimana permulaan segala-galanya sebelum The Avengers dibentuk oleh Nick Fury (lakonan Samuel L. Jackson) di bawah agensi S.H.I.E.L.D.

Brie Larson (kanan) dan Jude Law dalam satu babak filem Captain Marvel.

Dari satu aspek, penulis mengakui bahawa visual Captain Marvel tidak begitu gah dan ekstravaganza seperti filem-filem MCU yang lain dengan permainan warna dan efek visual yang begitu mengesankan.

Ia adalah disebabkan kerana pemilihan latar belakang tahun 90-an yang menjadi tunjang kepada penceritaan dan maka itu, milieu tahun 90-an divisualkan sebegitu rupa.

Pemilihan warna dan aspek sinematografinya dilihat mahu membawa penonton mengimbau kenangan pada zaman berkenaan yang seringkali dilabelkan sebagai dekad terbaik untuk sebahagian besar daripada kita yang membesar pada era tersebut.

Tetapi semuanya itu bersebab kerana Captain Marvel mahu memulakan segala-galanya yang baharu untuk MCU selepas memasuki dekad kedua tahun ini.

Dalam masa yang sama, penulis lebih melihat baik Feige mahupun Boden dan Fleck, mereka mahu Captain Marvel menjadi sebuah filem yang berada dalam skala sederhana sebagai permulaan sebelum memasukkan gear seterusnya untuk filem-filem akan datang.

Dari sudut penceritaan yang mana cerita asalnya ditulis oleh Boden dan Fleck di samping tiga penulis lain, Captain Marvel sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk difahami dan dihadam sepenuhnya.

Dilabelkan sebagai adiwira yang paling berkuasa dan terhebat dalam sejarah penerbitan komik Marvel, Boden dan Fleck mahu melihat Captain Marvel sebagai perlambangan wanita masa hadapan yang memiliki kekuatan tersendiri dan tidak lagi lemah serta ditindas terutama oleh kaum lelaki.

Disebabkan itu watak Carol Danvers atau kemudiannya dikenali sebagai Vers (Brie Larson), digambarkan sedemikian rupa di mana pada awalnya, dia adalah seorang gadis lemah yang seringkali diperlekehkan.

Ben Mendelsohn (kanan) memegang watak sebagai makhluk asing bernama Talos.

Apatah lagi, Feige dan Marvel Studios sendiri mahu mempelbagaikan naskhah komik yang mengangkat wanita sebagai teraju utama seiring dengan semangat kebangkitan wanita tatkala ini yang mahu suara mereka didengari.

Pada awalnya, penulis memang cukup skeptikal dengan pemilihan Larson yang juga bekas pemenang Oscar itu sebagai watak protagonis utama filem ini.
Sebagai lelaki, pastinya penulis ada tanggapan berkenaan kerana melihat kepada personaliti dan fizikal Larson yang menepati konotasi wanita yang berpersonaliti lembut.

Sementelah Larson sendiri jarang membintangi filem aksi dan lebih memfokuskan kepada filem-filem komedi ringan dan drama membuatkan pemilihannya sebagai Captain Marvel sedikit diragui.

Tanggapan itu ternyata silap kerana Larson memberi satu personaliti berbeza terhadap watak adiwira wanita yang jauh berbeza dengan watak-watak wanita serupa yang lain. Barangkali ia juga adalah satu perubahan yang mahu dilakukan oleh Marvel Studios dalam menggambarkan watak adiwira wanita.

Dalam erti kata lain, pemilihan Larson bukanlah semata-mata mahu dijadikan sebagai objek seks seperti lazimnya terhadap representasi wanita dalam filem tetapi lebih menonjolkan kemampuannya membawakan watak Captain Marvel.

Larson tidak memiliki ciri-ciri wanita yang mampu dipandang secara seksual tetapi kelembutan dan ketegasannya terserlah menerusi bahasa tubuh serta tutur katanya yang membuatkan dia berdiri dengan cukup megah.

Filem Captain Marvel turut membawa penonton kepada watak Nick Fury lakonan Samuel L. Jackson dan permulaan kepada penubuhan The Avengers.

Sebagai permulaan, Larson telah memberikan persembahan yang secukup rasa – tidak lebih mahupun tidak kurang kerana semuanya berada pada skala yang sewajarnya.

Malah, keserasiannya dengan Jackson juga cukup terserlah dan menjadikan watak mereka hidup di skrin. Begitu juga gandingannya bersama Lashana Lynch yang membawakan watak sahabat baiknya, Maria Rembeau juga menampakkan keseimbangan antara dua karakter itu.

Sesuatu yang cukup menarik dalam Captain Marvel apabila kemunculan seekor kucing berwarna oren yang memegang watak sebagai Goose di mana wataknya juga menjawab beberapa persoalan yang barangkali pernah bermain di minda peminat dan penonton sebelum ini.

Seperti mana Larson, Jackson juga berjaya mencipta keserasiannya dengan kucing berkenaan dan berjaya menyuntik elemen humor dalam Captain Marvel.

Walau apa pun – suka ataupun tidak, Captain Marvel akan menjadi satu jenama besar di masa akan datang dan tanpa ragu, akan ada beberapa buah filem sekuel yang menyusul kelak selepas Captain Marvel dikhabarkan memainkan peranan besar dalam Avengers: Endgame.


Lashana Lynch (kiri) dan Brie Larson dalam satu babak filem Captain Marvel.

Bagi mereka yang belum menonton Captain Marvel, sudah menjadi resam dalam mana-mana filem MCU untuk anda terus berada di tempat duduk sehingga habis tayangan kerana ada dua adegan pasca kredit menanti anda.

Kedua-duanya itu ibarat sebagai hidangan pembuka selera untuk anda menanti dengan penuh sabar kemunculan filem Avengers: Endgame yang akan ditayangkan lebih kurang sebulan sahaja lagi.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga ialah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.


Artikel Lain