suria

‘Bikers Kental 2’ tidak cukup hebat untuk perkukuh portfolio Helmi Yusof

Pelakon utama filem Bikers Kental 2 (dari kiri) Kaewkorravee, Zizan Razak dan Afdlin Shauki.

Filem: Bikers Kental 2

Pengarah: Helmi Yusof

Pelakon: Zizan Razak, Datuk Awie, Datuk Afdlin Shauki, Meau Julallangtip, Kaewkorravee, Amerul Affendi, Hushairi Husain dan Bront Palarae

Genre: Komedi/Aksi

Durasi: 94 minit

Pengedar: TGV Pictures

Tarikh Tayangan: 14 Mac 2019

HANYA tidak sampai seminggu, filem Bikers Kental 2 telah pun berjaya mencatatkan kutipan tiket lebih daripada RM3 juta.

Angka itu ternyata berjaya mengatasi rekod filem terdahulu, Bikers Kental (2013) yang menamatkan tayangannya dengan kutipan sebanyak RM2.72 juta.

Dengan kejayaan Bikers Kental 2, secara kasarnya membuktikan bahawa kuasa dan nilai bintang para pelakonnya iaitu Zizan Razak, Datuk Awie dan Datuk Afdlin Shauki (ketiga-tiganya adalah bekas calon dan pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia) masih lagi ampuh.

Ditambah pula dengan konsep dan tema ceritanya yang lebih mendekati generasi muda yang gemarkan cerita sedemikian selain kaum Adam khususnya, maka, tidak mustahil untuk Bikers Kental 2 menjadi salah sebuah filem pecah panggung tahun ini.

Apatah lagi, untuk tiga bulan pertama ini, rekod kutipan filem tempatan yang boleh dikategorikan sebagai membanggakan hanya dicipta oleh dua buah filem sahaja iaitu Banglasia 2.0 dan Misteri Dilaila.

Justeru, dengan kehadiran Bikers Kental 2 dan kutipan pecah panggungnya, sekurang-kurangnya ia menambahkan lagi bilangan filem yang mencatatkan kutipan yang sering kali menjadi kayu pengukur kepada perkembangan sinema tempatan.

Pun begitu, kelemahan yang dimiliki oleh Bikers Kental 2 tidak berupaya untuk meletakkannya sebagai salah sebuah karya yang dapat dibanggakan untuk tahun 2019 setakat ini.

Pastinya kelebihan dan keistimewaan ini adalah terletak kepada teraju utamanya yang memiliki kelompok peminat tersendiri.

Secara kasarnya, tema dan acuan filem seperti ini bukanlah baharu kerana ia sering kali dijadikan subjek dengan mempertaruhkan genre komedi baik filem tempatan mahupun antarabangsa.

SHAZRYN MOHD FAIZAL

PENGULAS FILEM

Namun, kekurangan filem ini terletak kepada penceritaan dan pengolahannya tidak meninggalkan impak lalu menjadikan Bikers Kental 2 bukan sebuah filem yang akan dikenang untuk jangka masa lama.

Secara kasarnya, tema dan acuan filem seperti ini bukanlah baharu kerana ia sering kali dijadikan subjek dengan mempertaruhkan genre komedi baik filem tempatan mahupun antarabangsa.

Cerita lemah

Cerita yang ditampilkan dalam Bikers Kental 2 boleh dikategorikan sebagai lemah dan tidak mempunyai hala tuju yang jitu untuk membuatkan penonton fokus dari awal hingga akhir.

Zizan Razak sebagai Bidin Al Zaifa dalam filem Bikers Kental 2 yang kini sedang ditayangkan dan mendapat sambutan hangat.

Struktur ceritanya berada dalam keadaan berterabur dan tidak kemas sehingga membuatkan penulis sendiri tertanya apakah fokus utama Bikers Kental 2 ini.

Di awalnya, penulis melihat premis Bikers Kental 2 dapat menjanjikan sesuatu yang menarik apabila ia mengenengahkan cerita tentang Bidin Al Zaifa (lakonan Zizan) yang berjaya membina semangatnya untuk melamar teman wanitanya, Cherry Porntit (Meau Julallangtip).

Apabila fokus itu diutamakan kepada cerita tentang hubungan Bidin dan Cherry, pastinya ia akan mampu dikembangkan dengan elemen humor selain sub plot yang lebih terperinci untuk menguatkan lagi ceritanya.

Ini dapat dilihat menerusi cerita hubungan antara Bidin dan Ananda (Pont Cranium), seorang juara sukan Muay Thai bertubuh sasa yang juga merupakan abang Cherry.

Tetapi, kisah itu tidak dikembangkan dengan baik walhal ia berpotensi untuk menjadi sebuah cerita yang dapat memberikan sesuatu yang lebih besar dengan suntikan humornya.

Tambahan pula, dengan kehadiran Eddie Cuardo (Awie) dan Aidid (Afdlin Shauki), ia boleh menambahkan lagi impak kepada cerita itu sendiri jika perkara itu dapat dilihat oleh Helmi Yusof selaku pengarah.

Semuanya itu sudah tersedia tetapi tidak dilakukan dengan sepatutnya kerana Helmi seolah-olah mahu menyumbat semua elemen sehingga menjadikan Bikers Kental 2 hanya sebuah karya biasa sahaja.

Lantaran itu, peluang untuk meneroka dan mendalami setiap watak itu tidak dilakukan dengan sebaik mungkin lalu dilihat para pelakonnya seperti membawa watak diri masing-masing sahaja.

Penulis berpendapat adalah lebih baik sub plot Bidin yang masih lagi dikejar dan diburu oleh penjahat bernama Alburque D Al Capon (Amerul Affendi) itu diletakkan kerana ia tidak memberikan sebarang kepentingan kepada naratif Bikers Kental 2.


Pengarah filem Bikers Kental 2, Helmi Yusof. – Foto www.cinema.com.my

Tetapi, jika hendak dimasukkan juga, seharusnya ia memiliki satu impak yang kuat dengan pemikiran di luar kotak untuk menjadikannya sebagai sebuah filem komedi aksi yang ada naik turun momentumnya.

Sementelah untuk menghasilkan sebuah filem sekuel, seharusnya penulis cerita dan lakon layar Bikers Kental 2 lebih mengutamakan cerita baharu untuk menjadikan ia lebih segar seiring dengan jarak masa enam tahun untuk dihasilkan.

Penambahan watak baharu seperti Ananda dan Aidid itu sudah kelihatan cantik dan menarik tetapi malangnya ia tidak bergerak seiring dalam menjadikan Bikers Kental 2 sebagai sebuah naskhah yang kuat.

Pun begitu, walaupun Bikers Kental 2 bukanlah sebuah karya yang hebat tetapi penulis wajar memberikan pujian kepada Helmi kerana sebagai seorang pengkarya, beliau ada visi dan misinya sendiri.

Dalam konteks ini, Helmi yang juga bekas calon untuk Sinematografi Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) dua kali (Histeria, 2009 dan Misteri Jalan Lama, 2011) ini cukup selesa dengan konsep filem bertemakan bromance (hubungan erat dan akrab antara dua sahabat lelaki tanpa ada hubungan seksual atau perasaan sesama sendiri).

Mungkin ada yang terlupa, selain dua buah filem Bikers Kental, Helmi pernah mengarahkan sebuah lagi filem berkonsepkan serupa iaitu Bo-Peng (2016) yang menampilkan Nabil Ahmad dan Johan As’ari sebagai teraju utama.

Awie meneruskan kesinambungan wataknya Eddie Cuardo dalam Bikers Kental 2.

Disebabkan itu penulis mengatakan Helmi cukup selesa dengan tema bromance itu sehinggakan slanga, terma dan nama watak pelakon Thailand yang digunakan dalam Bikers Kental 2 itu menghubungkan watak-watak utamanya selain dengan audiens juga.

Dari sudut persembahan lakonan pula, seperti mana yang penulis sebutkan, tiada yang menarik untuk diperkatakan tentang teraju utama Bikers Kental 2.

Sebagai Bidin, Zizan masih menjadi dirinya walaupun komikal yang ada pada dirinya itu kelihatan berkurangan. Begitu juga dengan Awie yang masih menjadi dirinya walaupun penulis harus memberikan pujian buat beliau yang melakonkan babak aksi dengan berkesan sekali.

Meskipun watak Aidid di tangan Afdlin juga tiada apa yang memberangsangkan, tetapi untuk melihat bekas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik FFM tiga kali itu melakonkan adegan aksi dan berlawan dengan tangkas adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Setidak-tidaknya Helmi membuka ruang buat pelakon berbadan comel seperti Afdlin untuk menonjolkan sisi berbeza dan membuktikan bahawa babak aksi tidak semestinya dilakonkan oleh mereka yang bertubuh sasa dan segak.

Apatah lagi kali terakhir menonton Afdlin melakonkan babak sedemikian adalah menerusi Berani Punya Budak (2012), justeru, ia dapat menyegarkan semula ingatan peminat dan audiens bahawa Afdlin bukan sekadar mampu membawakan watak komedi dan drama.

Antara momen yang paling penulis suka adalah satu babak di awal filem ini yang menemukan tiga bekas pemenang Pelakon Lelaki dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM iaitu Bront Palarae, Amerul Affendi dan Hushairi Husain – masing-masing membawakan watak antagonis.

Salah satu babak aksi filem Bikers Kental 2.

Tetapi sayangnya, ia tidak dikembangkan untuk menjadi lebih hebat kerana penulis percaya jika ceritanya juga diolah dengan baik untuk tiga pelakon itu, Bikers Kental 2 akan lebih bertenaga dan memberikan santapan menarik buat audiens.

Tambahan pula, jika mereka bertiga dipertemukan dalam satu babak dengan tiga watak protagonis, penulis percaya dengan olahan cerita dan sinergi antara sinematografi dan suntingan, ia mampu menjadi antara babak penting diingati dalam sinema tempatan.

Filem Bikers Kental 2 tidak akan menjadi sebuah karya yang dapat memperkukuhkan portfolio Helmi tetapi penulis masih percaya bahawa beliau mampu untuk terus melahirkan karya bertemakan bromance di masa akan datang.

Cuma, Helmi harus berani menongkah arus dan menghasilkan cerita yang lebih segar, matang serta dekat dengan masyarakat untuk membuatkan mereka dapat berada dalam milieu itu.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain