suria

‘Bella & Jamie’ miliki kelemahan tetapi tidak mengecewakan

Liyana Jasmay (kiri), Dynas Mokhtar dan Juliana Evans masing-masing memegang watak sebagai Jamie, Mastura dan Bella dalam filem Bella & Jamie. – Foto Instagram @liyanajasmay

Filem: Bella & Jamie

Pengarah: Fairul Nizam Ablah dan Ghaz Abu Bakar

Pelakon: Liyana Jasmay, Che Puan Juliana Evans, Izzue Islam, Khir Rahman, Sharifah Nadia, Datin Dynas Mokhtar dan Bell Ngasri

Genre: Komedi/Keluarga

Durasi: 90 minit

Pengedar: United Studios Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 31 Januari 2019

SEBELUM penulis meneruskan ulasan filem Bella & Jamie ini, penulis hanya mahu menzahirkan rasa ralat dan tumpang simpati kepada penerbit filem ini, Mermaid Studios Sdn. Bhd. dengan nasib yang menimpa filem ini.

Pertamanya, penulis melihat tarikh tayangan yang diberikan kepada Bella & Jamie adalah satu pemilihan yang kurang tepat kerana pada waktu itu turut menyaksikan hampir lima buah filem Cina yang ditayangkan serentak bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ditambah pula dengan filem Hollywood, Alita: Battle Angel yang juga menemui penonton tempatan dalam tempoh yang sama membuatkan Bella & Jamie terpaksa bekerja keras mencari tangki oksigen untuk terus bernafas di pawagam.

Kemudiannya, penulis merasakan pawagam tidak bersikap adil kepada filem kecil seperti Bella & Jamie kerana ditarik tayangannya kurang dalam tempoh seminggu terutama di rangkaian pawagam besar.

Sudahnya, ia menjadi satu kesukaran buat peminat filem Melayu yang barangkali mahu menonton Bella & Jamie di pawagam seperti mana penulis alami minggu lalu.

Mujurlah, bukan hanya penulis seorang di dalam panggung tetapi bersama tiga penonton lain yang sempat menontonnya di salah sebuah pawagam terkemuka di ibu negara.

Permasalahan ini bukanlah kepada filem Bella & Jamie sahaja tetapi untuk semua filem tempatan yang berhadapan dengan situasi ini dan nampaknya tidak pernah berkesudahan sejak sekian lama.

Tidak ada salahnya untuk memberikan slot tayangan di dewan kecil untuk filem Melayu khususnya walaupun terpaksa bersaing hebat dengan filem antarabangsa dan berbahasa lain.

Mungkin filem Bella & Jamie bukan sebuah filem bertaraf antarabangsa atau filem berbajet besar tetapi hakikatnya, usaha penerbitnya iaitu Liyana Jasmay dan kakaknya, Adriana wajar dipuji.

Tiga pelakon utama filem Bella & Jamie iaitu (dari kiri) Juliana Evans, Izzue Islam dan Liyana Jasmay. – Foto Instagram @izzueislam

Meskipun penulis tidak mengkategorikan Bella & Jamie sebagai sebuah karya terbaik kerana ada cacat celanya, namun, sebagai percubaan pertama menerbitkan filem, Liyana dan Adriana seharusnya boleh berbangga dengan karya arahan Fairul Nizam Ablah dan Ghaz Abu Bakar ini.

Jujurnya, penulis memang meletakkan harapan tinggi untuk menjadi Bella & Jamie menjadi sebuah chick flick yang berjaya dan memberikan satu dimensi baharu terhadap nilai penerbitannya.

Apatah lagi dengan zaman moden tatkala ini yang memperlihatkan generasi baharu ini berada dalam satu dunia yang jauh berbeza dengan generasi terdahulu, Bella & Jamie seharusnya menjadi lebih dekat dengan generasi millennial ini.

Lebih-lebih lagi selepas terperap selama tiga tahun, pastinya ia menjadi satu nilai tambah untuk melihat Bella & Jamie dihasilkan dalam satu acuan yang lebih segar dan menarik dalam pelbagai aspek.

Juliana Evans memegang watak sebagai Bella.

Pujian harus diberikan untuk Bella & Jamie kerana mahu menampilkan kelainan dengan menyelitkan elemen karikatur dan animasi walaupun tidak menyeluruh.
Secara harafiahnya, apa yang ditampilkan itu bukanlah sesuatu yang baharu kerana filem Mat Gelap (1990) arahan Zarul Albakri sudah pun mengaplikasikan teknik itu.

Namun, kelemahan Bella & Jamie adalah dari sudut penceritaan yang merupakan gabungan idea asal Liyana dan Fairul Nizam apabila ia tidak berupaya untuk mencengkam jiwa seperti mana seharusnya ia mampu dilakukan.

Untuk sebuah filem chick flick seperti Bella & Jamie ini, suntikan unsur humor dan dramatik itu seharusnya ada terutama dalam babak-babak membabitkan usaha serta rancangan Jamie (lakona Liyana) dan Bella (Juliana Evans) yang tidak mahu bapa Jamie, Badrul (Khir Rahman) dan ibu Bella, Maryam (Sharifah Nadia) disatukan.

Akan tetapi, apa yang seharusnya dimanfaatkan itu tidak dieksploitasi sepenuhnya lalu menjadikan babak-babak yang mampu meninggalkan impak tidak berupaya menjadi sedemikian.

Tidak hanya bertindak sebagai penerbit bersama, Liyana Jasmay turut memegang watak utama sebagai Jamie dalam filem Bella & Jamie.

Pada hemat penulis sebaik sahaja filem ini bermula, ia sudah memberi satu gambaran bahawa Bella & Jamie akan menjadi sebuah karya yang menghiburkan dan menyakinkan.

Tambahan pula, dengan gandingan yang cukup serasi oleh Liyana, Juliana dan juga Izzue Islam sebagai Reza, Bella & Jamie tidak memiliki masalah untuk memberikan hiburan yang selesa buat penonton.

Barangkali kekurangan yang dirasai penulis untuk meletakkan Bella & Jamie sebagai karya terbaik adalah dari sudut penceritaan dan konflik yang penulis sifatkan sedikit kurang matang.

Ia tidak membawa konotasi negatif sebaliknya punca keretakan persahabatan antara Bella dan Jamie hanya disebabkan oleh lelaki adalah sesuatu yang sudah biasa dilihat.

Bahkan, rancangan mereka untuk meruntuhkan masjid yang mahu dibina oleh Badrul dan Maryam di samping mewujudkan karakter wanita yang memiliki perilaku moral kurang baik, Mastura (Dynas Mokhtar) sebagai perosak itu dilihat sedikit keterlaluan dan mengikut acuan filem Barat.

Dari sudut teknikal pula, banyak juga kelemahan yang kelihatan terutama dari aspek sinematografi, suntingan dan pengarahan yang tidak menampakkan satu milieu yang seharusnya menjadi kekuatan untuk Bella & Jamie.

Dengan mempertaruhkan dua pengarah di mana salah seorangnya, Ghaz Abu Bakar yang cukup dikenali dengan kreativitinya seperti mana yang dilakukannya dalam banyak telefilemnya sebelum ini, Bella & Jamie sepatutnya mampu mencipta impak tersendiri.

Pelakon berpengalaman, Bell Ngasri bersama salah seorang pengarah filem Bella & Jamie, Ghaz Abu Bakar (kanan). – Foto Instagram @belladanjamie

Menyentuh tentang lakonan pula, tidak banyak yang dapat diulas memandangkan Bella & Jamie adalah sebuah karya ringan yang tidak memerlukan para pelakonnya mendalami watak masing-masing dengan bersungguh.

Cuma penulis berasa sedikit ralat dengan watak Jay (Bell Ngasri) yang tidak diterokai sewajarnya dan diberikan peluang untuk mencuri perhatian penonton kerana sebagai pelakon berpengalaman, Bell mampu menghadirkan satu lakonan yang dapat dikenang.

Pun begitu, penulis lebih selesa untuk bersikap positif dan menerima segala kelemahan Bella & Jamie memandangkan ia adalah filem pertama terbitan Mermaid Studios.

Tetapi, pujian wajar diberikan kepada Liyana dan Adriana kerana bijak memilih tema dan genre yang tepat sebagai pertaruhan kepada khalayak filem tempatan.

Walaupun Bella & Jamie sebenarnya tidak lebih seperti sebuah telefilem biasa yang ditonton di kaca televisyen, tetapi Mermaid Studios sudah menampakkan hala tuju genre sasaran mereka dalam penerbitan filem.

Setidak-tidaknya, Bella & Jamie hadir dengan sebuah pendekatan yang berbeza sekaligus memberikan santapan berbeza setelah lelah dan muak dengan hidangan yang serupa untuk beberapa ketika.

Jika ada yang terlepas menontonnya di pawagam, sudah pasti platform lain akan menayangkan filem ini kelak tanpa ragu.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain