suria

Permulaan 2019 dihidangkan dengan ‘Felina’, cerita seram yang lemah

Raja Ilya sebagai 'Felina' yang tidak memberikan lakonan memberangsangkan.

Filem: Felina

Pengarah: Sandosh Kesavan

Pelakon: Raja Ilya, Shafiq Jamil, Nur Qistina Raisah, Kamal Rezuan, Nashra Shah, Clarence Kuna, Sehamonica dan Zaidi Omar

Genre: Seram Cemas/Misteri

Durasi: 82 minit

Pengedar: Janu Talkies Sdn. Bhd

Tarikh Tayangan: 17 Januari 2019

RASANYA masih belum terlewat untuk penulis mengulas filem Felina selaku filem pembukaan untuk tahun 2019 yang mula ditayangkan sejak 17 Januari lalu.

Jika ulasan ini diterbitkan selepas Felina ditamatkan tayangannya di pawagam sekalipun, ia bukanlah satu masalah besar.

Pastinya, filem ini akan terus dipanjangkan hayatnya ke medium tontonan lain yang dapat dinikmati oleh khalayak filem tempatan yang terlepas menonton Felina di pawagam.

Untuk penulis, tiada istilah basi atau ketinggalan dalam soal kritikan filem kerana ia adalah sesuatu yang pasti akan dicari oleh pembaca dan peminat yang mahukan input dari sudut pandang berbeza dalam jangka masa panjang.

Berbalik kepada Felina yang merupakan filem cereka Melayu keempat arahan Sandosh Kesavan selepas Operasi X (2018), Biasan (2015) dan Gong (2006), penulis sebolehnya tidak mahu menjadi prejudis sebelum menontonnya.

Pelakon baharu, Shafiq Jamil bersama pengarah filem Felina, Sandosh Kesavan (kanan).

Tambahan pula, selepas Sandosh menghasilkan sebuah karya yang kurang memberangsangkan menerusi Operasi X tahun lalu, penulis menjadi skeptikal bahawa filem baharu arahannya ini juga akan berada dalam kelompok serupa.

Dan, ternyata telahan penulis itu tidak silap kerana Felina sememangnya bukanlah sebuah filem yang boleh dibanggakan.

Filem Felina yang diterbitkan oleh Janu Talkies Sdn. Bhd. ini terlalu banyak kelemahannya dari segenap aspek sehingga penulis hanya mampu menggelengkan kepala usai menontonnya tempoh hari.

Barangkali mungkin ada yang mengatakan penulis tidak adil untuk menghukum Felina sehingga tiada yang positif tentangnya walaupun sekelumit.

Dalam konteks tema, penulis boleh berikan kredit kerana selaku penulis skrip, Atiqah Jani (penulis yang serupa menghasilkan Operasi X), penulis faham apa yang cuba hendak diketengahkan menerusi filem ini.

Penulis mengakui Raja Ilya memiliki bakat lakonan tersendiri tetapi persembahannya dalam filem Felina belum layak untuk dianugerahkan dengan sebarang trofi terbaik.

SHAZRYN MOHD. FAIZAL

Pengulas Filem

Secara kasarnya, Felina cuba hendak lari daripada acuan tipikal filem tempatan apabila mahu menjadikan isu pemerdagangan manusia terutama kanak-kanak sebagai fokus penceritaannya.

Namun, terjemahan yang cuba divisualkan menerusi Felina itu kosong dan membuatkan penulis sendiri tertanya-tanya apakah sebenarnya misi dan visi filem ini kepada penonton?

Jika misinya adalah tentang isu berat seperti mana yang diuar-uarkan oleh pihak produksi, maaf, ia langsung tidak menepati sasarannya.

Penulis lebih melihat Felina sebagai sebuah filem yang tiada arah tujuannya dari mula filem ini membuka tirainya sehinggalah tamat yang membuatkan penulis hanya ketawa sinis.

Seperti mana yang penulis pernah sentuh sebelum ini, apabila mengambil nama watak sebagai fokus penceritaan dan titik tumpu kepada keseluruhan filem, watak tersebut perlu diperkukuhkan dari awal hingga akhir.

Namun, watak Felina yang dipegang oleh bekas calon Pelakon Baharu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (2016), Raja Ilya langsung tidak memberi kesan dan menghadirkan satu tanda soal yang besar siapakah Felina ini sebenarnya.

Lebih menyedihkan, watak Felina itu sendiri longgar dan goyah dari awal untuk mengaitkan dirinya dengan tema penceritaan seperti mana yang cuba hendak disampaikan oleh Sandosh dan Atiqah.

Dalam erti kata lain, semuanya kabur dan tidak jelas tentang watak Felina dan keseluruhan cerita ini yang sememangnya dibuat seperti melepaskan batuk di tangga.

Seharusnya dari awal, watak Felina itu sudah mampu memberi gambaran kepada audiens tentang permasalahan dan konflik yang bakal dihadapinya sepanjang perjalanan filem ini.

Sebagai contoh, daripada pemahaman dan pengamatan penulis, Felina digambarkan sebagai seorang jurugambar profesional tetapi tidak jelas apa tujuannya ke Taiping bersama kekasih atau barangkali tunangnya, Adam (lakonan Shafiq Jamil).

Kamal Rezuan membawakan watak Mutalib.

Apakah hanya sekadar hendak menikmati permandangan di dalam hutan, mengambil gambar ala kadar dan melaungkan rasa cinta sesama sendiri di tebing gunung sambil ditemani seorang renjer hutan, Mutalib (Kamal Rezuan)?

Sebagai penulis skrip dan Sandosh selaku penulis lakon layar, bukankah lebih baik jika watak Felina itu dapat dijadikan sebagai satu perlambangan wanita masa kini yang mahu dilihat sebagai kuat, berdikari dan positif.

Contohnya, mengapa tidak divisualkan Felina itu mungkin sebagai seorang wartawan jenayah terkenal yang memiliki kelebihan deria keenam selain sering mendapat petunjuk menerusi mimpi terhadap kes-kes jenayah yang ditugaskan kepadanya.

Penulis berpendapat demikian kerana melihat kesinambungan dan hubungan yang berkait rapat antara watak Felina dan tema pemerdagangan manusia itu sendiri.

Namun, apa yang dipersembahkan dalam Felina terutama watak utama itu sendiri adalah remeh dan terlalu mudah. Bukan itu sahaja, babak-babak yang dipersembahkan juga banyak yang tidak masuk akal.

Salah satu babak membabitkan lakonan Sehamonica (kiri) sebagai Suri dan Clarence Kuna (Munni) yang langsung tidak melucukan.

Salah satunya yang membuatkan penulis tertanya sendirian dan pada hemat penulis apabila secara jelasnya, Adam dan Mutalib telah digambarkan sebagai penyumbaleweng (pervert).

Buktinya apabila mereka berdua memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bilik Felina dengan alasan mereka mahu melihat aksi Felina dirasuk dan mahu menjadikan ia sebagai bahan bukti.

Tetapi, bukankah bilik hotel yang diinap Felina itu dianggap sebagai ruang yang cukup peribadi untuk seorang wanita dan memasang CCTV tersebut cukup tidak masuk akal kerana ia sudah dianggap sebagai menceroboh privasi.

Lainlah kalau ia dipasang pada ruang yang lebih terbuka, maka, itu tidak menjadi satu masalah dan dipersoalkan.

Menyentuh tentang persembahan lakonan, jika skrip, cerita dan lakon layarnya sudah lemah, apa lagi yang boleh dibanggakan dengan lakonan setiap pelakon filem Felina ini.

Tiga pelakon yang membintangi filem 'Felina' iaitu Nashra Shah (dari kiri), Shafiq Jamil dan Sehamonica.

Penulis mengakui Raja Ilya memiliki bakat lakonan tersendiri tetapi persembahannya dalam filem Felina belum layak untuk dianugerahkan dengan sebarang trofi terbaik.

Begitu juga dengan pelakon lain seperti Shafiq dan Kamal yang sememangnya lemah dan perlu terus berusaha untuk memperbaiki diri masing-masing jika mahu terus dikenali dan dihargai oleh khalayak.

Lebih menjengkelkan adalah watak Munni (Clarence Kuna) dan Suri (Sehamonica) yang sebenarnya dipertaruhkan untuk memberikan suntikan humor. Tetapi, lakonan mereka gagal sehingga membuatkan penulis rimas dan rengsa melihat aksi mereka.

Dari sudut teknikalnya juga, kelemahan Felina cukup ketara terutama suntingan dan sinematografi yang membuatkan filem ini tidak bermaya.

Malah, kesinambungan filem ini juga tidak diperhalusi sebaiknya apabila satu babak yang melihatkan watak Munni itu dengan jelas menyarung kemeja T secara terbalik sekaligus membuktikan bahawa penghasilan filem ini tidak diberikan perhatian serius.

Secara keseluruhannya, biarpun masih terlalu awal, penulis sudah meletakkan Felina sebagai calon filem terburuk untuk tahun ini. Bahkan, sekumpulan kecil penonton yang turut berada di pawagam yang sama bersama penulis turut melampiaskan rasa kecewa mereka dan mempersoalkan pelbagai perkara.

Sudah tiba masanya pembikin filem di negara ini lebih serius, ikhlas, jujur dan berdedikasi menghasilkan karya untuk khalayak tempatan kerana pemikiran generasi penonton hari ini cukup berbeza.

Kita bakal memasuki tahun 2020 dan sampai bila mahu terus memberikan karya dengan kualiti yang sebegini rupa. Penulis hanya mampu tumpang kasihan.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain