suria

Tiada syarat tetap lancarkan lagu raya, Syamel dan Ernie Zakri raikan setiap karya baharu

Syamel berpendapat tidak mempunyai masalah untuk melancarkan lagu raya awal.

PASANGAN penyanyi Syamel dan Ernie Zakri menganggap lambakan lagu raya yang dilancarkan sempena sambutan Syawal tahun ini sebagai satu perkara biasa dalam industri seni.

Menurut Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 32, ia bukanlah satu isu besar selagi karya yang dihasilkan masih menghormati bulan Ramadan.

“Tidak dinafikan, Ramadan kali ini ramai artis melancarkan lagu raya. Ada yang berpendapat tindakan itu kurang sensitif kerana belum tiba Syawal, lagu raya sudah berkumandang di sana sini.

Syamel dan Ernie akan berhati-hati dalam promosi lagu raya supaya tidak melampaui batas. 

“Bagi saya, semua orang bebas berkarya dan melakukan apa sahaja asalkan masih menghormati bulan Ramadan dan tidak melampaui batas,” katanya kepada mStar.

Syamel berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu mereka berjudul Suasana Raya yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya, pada Jumaat.

Mengulas mengenai penglibatan pempengaruh yang turut tampil dengan lagu raya, Syamel menyifatkan situasi itu sebagai petanda industri hiburan kini semakin terbuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Syamel dan Ernie Zakri terbang ke Hong Kong, teruja rakam muzik video Suasana Raya satu keluarga

ARTIKEL BERKAITAN: Syamel sudah siap pesan makanan di restoran, terpaksa bungkus bawa pulang raikan bersama Bintang Paling Popular

“Kalau pempengaruh mahu mengeluarkan lagu, kita raikan sahaja. Tiada syarat khusus untuk seseorang itu berkarya.

“Cuma apabila terlalu banyak lagu dilancarkan, mungkin pendengar akan berasa pening untuk memilih. Namun, bagi kami, selagi karya itu bagus, teruskan.

“Jika ada yang dirasakan tidak sesuai atau melanggar batas, kemukakan aduan melalui saluran yang betul. Kita negara yang bebas bersuara,” ujarnya.

Namun, bagi kami, selagi karya itu bagus, teruskan

SYAMEL 

PENYANYI 

Sementara itu, Ernie pula memilih untuk bersikap positif apabila ditanya sama ada dia gusar dengan penerimaan terhadap lambakan lagu raya baharu mereka.

Baginya, apa yang lebih penting ialah setiap mesej yang baik sampai kepada pendengar.

“Walaupun tiada peraturan khusus dalam menghasilkan lagu raya, tetap perlu ada garis panduan. Lagu raya perlu ada elemen yang apabila orang dengar, terus terasa suasana Hari Raya.

Ernie dan Syamel duet bersama bagi lagu raya terbaru mereka bertajuk Suasana Raya.

“Cuma pada zaman sekarang, kita tidak boleh menentukan sama ada sesebuah lagu itu akan menjadi malar segar atau tidak. Generasi yang melalui zaman ini ialah anak-anak kita.

“Jadi, soal malar segar itu banyak bergantung pada generasi pendengar. Apa yang penting, mesej dan cerita dalam lagu raya itu sampai,” luahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain