suria

‘Polis Evo 2’ lebih serius, cemerlang sebagai filem sekuel terbaik

Hasnul Rahmat (tengah) cemerlang sebagai watak antagonis bersama Hafsyam Jauhari atau Saif.

Filem: Polis Evo 2

Pengarah: Joel Soh & Andre Chiew

Pelakon: Zizan Razak, Shaheizy Sam, Raline Shah, Hasnul Rahmat, Erra Fazira, Tanta Ginting, Mike Lucock, Syafie Naswip dan Riz Amin

Genre: Drama/Aksi

Durasi: 125 minit

Pengedar: Astro Shaw

Tarikh Tayangan: 22 November 2018

UNTUK menghasilkan filem sekuel sememangnya bukan satu tugas yang wajar dipandang mudah.

Apatah lagi, jika filem pertamanya mendapat perhatian cukup meluas dan mencatatkan kutipan pecah panggung luar biasa, ia adalah satu tanggungjawab besar kepada semua pihak terlibat.

Disebabkan itu, filem sekuel selalunya adalah projek yang boleh dikatakan berisiko tinggi atas beberapa faktor terutamanya penerimaan pengkritik dan penonton untuk melihatnya mampu mencapai standard dengan filem pertama.

Jika tidak memiliki premis cerita yang menarik dan jauh lebih baik daripada filem pertama, harapan untuk melihatnya mencatatkan kecemerlangan seperti filem pertama tidak akan menjadi kenyataan.

Dua bekas calon Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (2016), Shaheizy Sam dan Zizan Razak kembai menggegarkan panggung dengan Polis Evo 2.

Sehubungan itu, apabila filem pecah panggung 2015, Polis Evo kembali dengan filem susulannya bermula 22 November lalu, ramai mahu melihatkan ia kembali mencipta fenomena seperti mana tiga tahun lalu.

Benar. Tiada siapa dapat menidakkan populariti filem Polis Evo yang ketika itu menjadi buah mulut masyarakat sehingga melayakkan ia mencatatkan kutipan sebanyak RM17.7 juta.

Bahkan, Polis Evo yang diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar itu juga dianggap sebagai revolusi penghasilkan filem aksi tempatan yang secara tidak langsung mengubah lanskap filem tempatan secara amnya.

Lalu, apakah filem Polis Evo 2 yang kini sudah mencatatkan kutipan melebihi RM10 juta hanya dalam tempoh seminggu tayangannya, boleh dianggap sebagai salah filem sekuel terbaik di negara ini selepas Munafik 2?


Pelakon Indonesia, Mike Lucock (kanan) turut membintangi Polis Evo 2 sebagai watak antagonis bernama Najr.

Penulis yang berkesempatan menontonnya beberapa hari lalu mengakui bahawa Polis Evo 2 sememangnya berada dalam kelas tersendiri dan menepati cita rasa penonton masa tempatan masa kini yang gemarkan filem aksi seperti ini.

Biarpun Polis Evo 2 tidak lagi diarahkan oleh Ghaz kerana berpindah milik kepada dua orang pengarah, Joel Soh & Andre Chiew, namun, ia tidak menjejaskan acuan filem ini yang sudah dibentuk dari awal.

Tidak keterlaluan dikatakan, penghasilan Polis Evo 2 lebih kemas, teliti dan menampakkan peningkatan daripada filem pertamanya terutama dari aspek teknikal dan cerita yang lebih serius.

Namun, itu tidak bermakna apa yang telah Ghaz yang juga bekas calon Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 (2016) untuk Polis Evo tidak memberikan hasil kerja terbaik.


Tiga bintang senior yang cukup popular satu ketika dahulu sebagai pelakon filem iaitu Hairie Othman (kiri), Erra Fazira dan Rusdi Ramli berkongsi babak dalam Polis Evo 2.

Seperti mana yang penulis sebut di awal, filem sekuel perlu lebih baik daripada filem pertama atau sekurang-kurangnya setaraf tetapi dalam konteks Polis Evo 2, ia menunjukkan peningkatan ketara.

Penulis lebih selesa untuk melihat Polis Evo yang pertama sebagai sebuah filem pengenalan kepada penonton menerusi karakter dan hubungan antara Inspektor Khai (lakonan Shaheizy Sam) dan Inspektor Sani (Zizan Razak).

Lantaran itu, apabila asasnya sudah dibina dengan kukuh menerusi filem pertama, ia tidak menyukarkan penonton untuk menikmati dan merasai pengalaman menonton filem Polis Evo 2.

Disebabkan itu, untuk mana-mana penerbit yang mahu mencipta satu jenama dan francais filem, filem pertama dalam siri itu perlu dihasilkan dengan terbaik agar tidak berhadapan dengan masalah untuk filem-filem seterusnya.

Seperti mana filem pertamanya, umpan dan tarikan utama penonton untuk ke panggung menonton Polis Evo 2 adalah babak-babak aksi yang dapat memompa adrenalin mereka untuk terus melekat di kerusi.

Babak-babak aksi Polis Evo 2 dibikin dengan kemas, teliti dan menepati acuan sebuah filem aksi. Penulis menolak tepi isu kelogikan yang menjadi perdebatan masyarakat kerana hakikatnya itu sudah termaktub dalam mana-mana filem aksi.

Teknik suntingan dan sinematografi cukup memberangsangkan seolah-olah penulis menonton sebuah filem barat yang mana lokasinya seperti di padang pasir walhal ia dilakukan di sebuah pulau dan perkampungan kecil.

Mengulas dari sudut penceritaan pula, penulis lebih melihat Polis Evo 2 menekankan isu yang lebih serius meskipun isu ajaran sesat dan militan ini bukan sesuatu yang baharu.

Gandingan mantap pasukan Polis Evo yang dianggotai oleh (dari kiri) Mat Dan (Syafie Naswip), Khai (Shaheizy Sam), Sani (Zizan Razak) dan Lah (Riz Amin).

Walaupun sebelum Polis Evo 2 memulakan tayangannya sudah dicemari dengan isu kononnya imej Islam diperkotak-katikkan tetapi penulis sarankan kepada mereka yang memiliki pandangan itu, tonton dan nilaikan sendiri.

Penulis menyifatkan permasalahan dalam Polis Evo 2 bersifat sejagat kerana isu yang diketengahkan sememangnya sudah berlaku sejak dulu lagi terutama pada watak antagonis, Saif atau Hafsyam Jauhari (Hasnul Rahmat).

Menyentuh tentang Hasnul, penulis harus katakan bahawa lakonan bekas pemenang Bintang Harapan Lelaki FFM16 (2003) menerusi filem KL Menjerit itu telah menenggelamkan watak Khai dan Sani kali ini.

Bukan sekadar pujian dan omongan kosong, tetapi Hasnul membuktikan bahawa dia seorang aktor yang sering dipandang sepi meskipun bakatnya berada dalam liga tersendiri.

Sebagai Saif, lakonan Hasnul memberikan satu indikasi bahawa jika mahu menjadi jahat dan kejam, lakukan ia dengan sepenuh jiwa dan bukannya separuh masak. Lalu, membuatkan Saif begitu digeruni di sebalik kelembutan wajah dan ketenangan yang ditonjolkannya.

Malah, penulis melihat Hasnul adalah calon utama untuk memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik FFM akan datang meskipun hakikatnya adalah sesuatu yang cukup stereotaip untuk mana-mana pelakon yang membawakan watak antagonis menerima pengiktirafan.

Khai (Shaheizy Sam), Rian (Raline Shah) dan Sani (Zizan Razak) dalam salah satu babak filem Polis Evo 2.

Jika trofi itu menjadi milik Hasnul kelak, maka, francais filem Polis Evo telah mencipta rekod sendiri apabila kedua-dua watak pembantu dan antagonisnya diiktiraf sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Pada FFM28, Husyairi Hussin yang membawakan watak Izrail dalam Polis Evo yang pertama telah menerima pengiktirafan itu.

Apabila penulis berkata lakonan Hasnul telah membayangi Sam dan Zizan, itu tidak bermakna, lakonan dua jejaka yang pernah dicalonkan untuk Pelakon Lelaki Terbaik FFM28 bagi filem Polis Evo tidak mencapai piawaian.

Sebaliknya, penulis merasakan seperti ada lompang dalam hubungan Khai dan Sani kali ini tidak diperhebatkan dengan lebih mendalam lagi kerana nadi Polis Evo terletak kepada persahabatan Khai dan Sani.

Tetapi, disebabkan premis cerita itu dilakukan sedemikian rupa, maka, pecahan watak dan jiwa Polis Evo itu terbahagi dua untuk memperlihatkan watak Khai dan Sani berdiri atas paksi dalam mempamerkan kekurangan dan kelebihan masing-masing.

Ini dapat dilihat bagaimana Sani cuba untuk memperkemaskan hubungannya dengan Mat Dan (Syafie Naswip) manakala Khai dengan Rian (Raline Shah) terutama dalam berhadapan situasi tegang yang menampakkan kesan realistik kepada penonton.

Dengan kehadiran Rian, ia dilihat untuk memberikan keseimbangan kepada Polis Evo 2 sekali gus bagaikan memberi bayangan bahawa besar kemungkinan watak Rian itu akan diteruskan dalam filem seterusnya.

Salah satu babak aksi filem Polis Evo 2.

Seperkara yang membuatkan penulis merasakan impak Polis Evo 2 apabila tiga bintang senior yang pernah mencipta kegemilangan mereka di layar perak iaitu Erra Fazira, Hairie Othman dan Rusdi Ramli berkongsi babak.

Walaupun Erra lebih menyerlah sebagai SAC Datuk Azizat Mansor, namun, kehadiran mereka bagaikan memberi satu imbasan nostalgia bahawa ketiga-tiganya adalah nama besar yang pernah mewarnai pasaran filem Melayu sebagai teraju utama.

Dari satu aspek lain, meskipun Polis Evo 2 cukup menyerlah dan dikategorikan antara karya terbaik tahun ini, kekurangan yang penulis rasai menerusi filem ini apabila kurangnya suntikan humor seperti filem pertama.

Pastinya menerusi Polis Evo, penonton dapat merasai keseimbangan antara momen serius dan lelucon terutama pada watak Sani dan juga Mat Yam (Amerul Affendi) untuk meredakan ketegangan yang terbit dalam filem itu.

Tetapi, penulis faham bahawa Polis Evo 2 tidak mahu mencipta acuan yang serupa kerana tidak mahu dilihat sterotaip. Walaupun unsur humor itu ada kali ini, tetapi ia hanya sekadar buat penulis tersenyum seketika sahaja.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain