suria

‘Mahaguru’ rampas takhta ‘Badang’ sebagai filem terburuk 2018

Segala-galanya tentang filem Mahaguru termasuk posternya adalah teruk.

Filem: Mahaguru

Pengarah: Z. Lokman

Pelakon: Mokhtaruddin, Alif Razali (AF6), Mie Raja Lawak, Zarina Mohd. Nor (Raja Lawak 5), Aman Shah, Sabree Fadzil, Eliza Mustafa dan Jueliana

Genre: Drama

Durasi: 90 minit

Pengedar: Bismi Adira Production Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 15 November 2018

PENULIS hanya mampu mengeluh panjang dan menggelengkan kepala usai menonton filem terbaharu arahan pengarah yang penulis kategorikan sebagai pengarah filem legenda, Z. Lokman berjudul Mahaguru kelmarin.

Sementelah tayangan yang penulis tonton itu adalah yang terakhir dan Mahaguru pun hanya sempat melalui seminggu tayangan di pawagam, maka, penulis akan mengulas sekadar yang mampu.

Ditambah pula, penulis telah mengulas kesemua filem Melayu untuk tahun ini, lalu adalah tidak lengkap jika Mahaguru tidak diulas seandainya ada yang mahu merujuk dan membacanya di masa hadapan.

Barangkali akan ada yang bertanya mengapa perlu mengulas filem Mahaguru memandangkan respons awal yang diberikan pun sudah mendapat reaksi yang cukup negatif. Tambahan pula, poster filemnya juga tidak membangkitkan selera kepada masyarakat.

Hanya dengan trailer yang dimuat naik di laman sosial, ramai sudah menjangka bahawa Mahaguru sememangnya tidak layak untuk diangkat sebagai sebuah filem cereka.

Penulis sendiri sudah tahu akan kewujudan filem Mahaguru daripada seorang teman ketika kami bertemu beberapa bulan lalu. Namun, sangka penulis, pembikinan filem tersebut hanyalah sebagai gurauan.

Bekas bintang Akademi Fantasia 6, Alif Razali bersama bekas peserta Raja Lawak 5, Zarina Mohd. Nor yang membintangi filem Mahaguru.

Gurauan yang penulis maksudkan barangkali mungkin berbentuk parodi atau cubaan sesetengah pihak untuk membuat gurauan nakal.

Tetapi nampaknya, filem Mahaguru benar-benar wujud dan mula menemui penonton sejak 15 November lalu. Tetapi sayangnya, ia hanya mampu bertahan seminggu sahaja di pawagam.

Bukan mahu menunjuk baik atau memiliki pemikiran suci, tetapi, penulis melangkah ke pawagam menonton Mahaguru dengan minda dan hati yang cukup terbuka.

Apatah lagi, filem arahan Z. Lokman yang terakhir penulis tonton di pawagam adalah No Problem (2001) yang sememangnya antara kenangan ‘lucu’ penulis bersama teman-teman lain yang turut sama menontonnya ketika itu.

Sehinggakan salah seorang pelakon filem No Problem sanggup untuk membayar semula harga tiket yang penulis dan rakan-rakan laburkan menonton filem itu sewaktu penulis menceritakan pengalaman itu kepadanya ketika menjadi wartawan hiburan dahulu.

Justeru, penulis mahu melihat sejauh manakah evolusi Z. Lokman yang cukup dikenali sebagai pengarah filem-filem komedi tahun 80-an selepas kali terakhir muncul dengan filem Mendidih Bro tahun lalu.

Bekas peserta Raja Lawak 1, Mie bersama bekas calon Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali, Mokhtaruddin yang merupakan pelakon filem Mahaguru.

Percaya atau tidak, penulis sendiri masih menonton filem-filem komedi Z. Lokman itu seandainya ia diulang siar di saluran televisyen berbayar kerana pada hemat penulis, Z. Lokman telah mencipta legasi seninya sendiri.

Berbalik kepada filem Mahaguru, penulis harus katakan bahawa Z. Lokman perlu serius memikirkan hala tujunya dan kedudukannya sebagai seorang pengarah filem.

Dalam erti kata lain, sama ada beliau perlu bersara atau serius memperbaiki dirinya kerana tidak syak lagi, Mahaguru sememangnya filem terburuk untuk tahun 2018.

Lantaran itu, filem Badang yang menduduki tangga juara carta filem terburuk tahun ini nampaknya dengan senang hati melepaskan kedudukan itu untuk memberi laluan kepada Mahaguru.

Penulis tidak mahu memperincikan kelemahan filem Mahaguru secara mendalam tetapi segala-galanya dalam keadaan yang cukup teruk kerana ia membawa penulis menonton sebuah filem yang berada dalam era 80-an.

Seperti mana penulis katakan di awal tadi, bukan mahu mengeji, menghina atau merendahkan sesiapa, tetapi produk akhir filem Mahaguru tidak layak langsung untuk diangkat sebagai sebuah filem cereka.

Z. Lokman (tengah) bersama Sabree Fadzil dan para pelakon lain yang membintangi filem Mahaguru.

Apatah lagi, untuk dijadikan bahan tontonan di televisyen kerana kualitinya cukup menyedihkan. Penulis cukup yakin dan percaya penerbitan karya pelajar jurusan filem jauh lebih berkualiti daripada Mahaguru.

Entah mengapa, dari sudut lain pula, penulis lebih melihat Mahaguru seperti satu penghormatan Z. Lokman buat dirinya sendiri yang pernah berada dalam kelompok pengarah filem popular tahun 80-an.

Sudahlah skrip yang dihasilkan begitu teruk, ditambah pula dengan persembahan para pelakonnya yang tiada jiwa dan langsung tidak menyakinkan, membuatkan penulis tertanya apakah sebenarnya tujuan Z. Lokman dan Bismi Adira Production mahu menghasilkan Mahaguru.

Lebih menyedihkan, nama-nama besar yang cukup sinonim dengan filem Melayu satu ketika dahulu seperti Mokhtaruddin (bekas calon Pelakon Filem Lelaki Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak dua kali) dan Sabree Fadzil (Bintang Harapan FFM Ketujuh) turut tidak memberikan lakonan yang sepatutnya mereka mampu berikan.

Penulis tidak menolak bahawa Mahaguru memiliki premis yang dapat diolah dan digarap dengan baik untuk menjadikan ia sebagai sebuah karya yang berkualiti sekaligus memberikan variasi kepada penonton.

Lebih-lebih lagi, pada zaman moden hari ini, tema yang mengangkat unsur persilatan itu sememangnya sudah jarang diketengahkan, lalu Mahaguru berpotensi untuk mengangkatnya pada kedudukan selayaknya.

Eliza Mustafa (kiri) dan Zarina Mohd. Nor sewaktu menjalani penggambaran filem Mahaguru.

Malang sekali perkara itu tidak berlaku kerana Mahaguru sememangnya terlalu jauh menyimpang sehingga penulis sendiri tidak tahu apakah sebenarnya hala tuju filem ini kerana terlalu banyak subplot yang langsung tidak memberikan makna.

Sudahlah dengan sinematografinya yang berada di bawah par untuk sebuah filem cereka, ditambah pula dengan teknik suntingan yang cukup lemah, sememangnya tidak ada apa yang perlu hendak diulas lebih lanjut tentang Mahaguru.

Dalam konteks ini, mungkin Profesor Datuk A. Razak Mohaideen boleh menarik nafas lega kerana Mahaguru telah mengambil alih kedudukan Badang sebagai filem terburuk 2018 dan seterusnya sebagai salah sebuah filem Melayu terburuk sepanjang zaman.

Melihatkan kepada portfolio Z. Lokman sebagai pengarah filem, penulis juga tidak menolak dan boleh menerima jika Mahaguru dijadikan sebagai sebuah filem spoof comedy memandangkan genre itu juga jarang sekali dihasilkan di negara ini.

Jika ada sekalipun, seingat penulis adalah filem Aku No. 1 (2004) yang membariskan Datuk Aznil Nawawi, Azwan Ali, Jeslina Hashim, Kathy Fauziah dan Jaafar Onn sebagai teraju.

Usia bukan satu penghalang untuk sesiapa menjadi pengarah filem. Di Hollywood, pengarah legenda, Martin Scorsese masih lagi berkarya dan menghasilkan filem berkualiti pada usianya sudah mencecah 76 tahun.

Z. Lokman (tengah) bersama barisan pelakon dan krew filem Mahaguru pada sidang media yang berlangsung sekitar awal tahun.

Sehubungan itu, Z. Lokman juga boleh meneruskan kariernya sebagai pengarah filem tetapi sampai bila mahu menghasilkan filem yang tidak berkualiti?

Sebagai seorang yang cukup senior, Z. Lokman tidak boleh menyalahkan penonton jika mereka tidak mahu menonton filem-filem arahannya di panggung kerana semuanya itu memerlukan wang.

Penonton mahu produk yang terbaik agar ia berbaloi dengan apa yang dilaburkan oleh mereka untuk menikmati hiburan. Jadi, apakah salah penonton jika mereka langsung tidak berselera menonton filem arahan beliau di panggung?

Mereka yang menonton filem Mahaguru misalnya, sama ada memang peminat filem Melayu tegar, pengkritik filem mahupun mereka yang hanya sekadar mahu menonton untuk menjadikan ia bahan jenaka.

Ini kerana pada tayangan akhir Mahaguru kelmarin, hanya terdapat lima orang penonton sahaja termasuk penulis ketika itu.

Selepas Mahaguru, penulis mendapat perkhabaran terdapat sekurang-kurangnya lima buah filem Z. Lokman lagi yang sedang menunggu tayangan, sedang menjalani penggambaran dan berada dalam pra produksi.

Persoalannya kini, adakah senarai filem itu akan ada sekurang-kurangnya sebuah filem yang dapat mengangkat kedudukan Z. Lokman pada tahap tertinggi sekaligus diberikan penghormatan yang sering didambakannya? Sama-sama kita nantikan kelak.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Mahaguru, Z. Lokman, Wayang

Artikel Lain