Pengisian tersirat di sebalik keseraman ‘Tujuh’ - Wayang | mStar

Pengisian tersirat di sebalik keseraman ‘Tujuh’

Empat pelakon yang membintangi filem Tujuh iaitu (dari kiri) Cristina Suzanne, Johan As’ari, Siti Saleha dan Pekin Ibrahim.

Filem: Tujuh

Pengarah: Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin

Pelakon: Johan As’ari, Cristina Suzanne, Pekin Ibrahim, Siti Saleha, Riz Amin, Dee Dee Nash, Wan Hanafi Su, Marsha Milan dan Faizal Hussein

Genre: Seram

Durasi: 90 minit

Pengedar: Primeworks Studios Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 8 November 2018

SEBELUM kehadiran filem Tujuh yang memulakan tayangannya pada 8 November lalu, pengarahnya, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin atau Raja Mukhriz terlebih dahulu muncul dengan dua buah filem, Ophilia (2014) dan Harmonika (2016).

Bahkan, menerusi filem Ophilia, Raja Mukhriz telah dihadiahkan dengan trofi Pengarah Harapnan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 (2015) atas kecemerlangannya menghasilkan filem cereka kedua arahannya itu.

Namun, disebabkan filem Tujuh yang merupakan filem pertama Raja Mukhriz diperap selama lima tahun, maka, Ophilia dilihat sebagai karya sulung pengarah fotografi terkenal yang juga bekas pemenang Sinematografi Terbaik FFM sebanyak tiga kali itu lagi.

Sehinggakan penulis sendiri hampir terlupa bahawa filem Tujuh pernah menjalani penggamabaran dan sangkaan penulis bahawa filem berkenaan tidak akan menemui khalayak filem tempatan.

Akan tetapi, itu bukan satu halangan buat Tujuh kerana nasibnya juga lebih kurang seperti Dukun yang terperap selama 10 tahun tetapi impaknya besar dan menjadi salah sebuah filem pecah panggung untuk tahun ini dengan kutipan menghampiri RM10 juta.

Siti Saleha membawakan watak remaja lesbian bernama Tina.

Seperti mana yang penulis katakan di perenggan atas, kehadiran Tujuh selepas lima tahun bukanlah satu masalah kerana usai menonton Tujuh beberapa hari lalu, penulis harus katakan bahawa percubaan pertama Raja Mukhriz sebagai pengarah filem cereka tidak mengecewakan.

Hasilnya, ia telah mencatatkan kutipan kasar sebanyak RM600,000 hanya dalam tempoh lima hari tayangannya dan itu boleh dianggap sebagai pencapaian yang memuaskan.

Biarpun tayangannya tergendala selama lima tahun, Tujuh masih dilihat sebagai sebuah naskhah yang relevan tanpa menampakkan karya ini ketinggalan zaman dari pandangan lahiriahnya.

Barangkali pemilihan latar belakang cerita yang berlaku pada era 70-an membuatkan penulis cerita asalnya, Ellyna Ahmad kelihatan bijak bagi memastikan acuannya terpelihara tanpa kelihatan canggung.

Dari sudut penceritaannya, Tujuh memiliki premis yang menyakinkan dengan mengenengahkan elemen seram yang menjadi umpan buat penonton hadir ke panggung kerana realitinya, ia merupakan salah satu genre yang digemari ramai.

Benar, jika dilihat secara sekali imbas, apa yang dipertaruhkan oleh Tujuh sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu kerana sentuhan sebegini juga pernah dihasilkan sebelum ini.

Tetapi, Tujuh hadir dengan satu pendekatan berbeza dan keyakinan bahawa filem seram dan thriller seperti ini bukanlah sebuah filem kosong semata-mata yang pernah ditayangkan sebelum ini.

Watak Suri lakonan Marsha Milan yang menjelma menjadi makhluk menyeramkan untuk membalas dendam.

Dalam erti kata lain, Tujuh tidak memerlukan skor muzik yang jelik, membingitkan dan merimaskan untuk membangkitkan rasa seram dan cemas itu seperti mana yang acapkali dilakukan dalam filem-filem seram sebelum ini.

Sebaliknya, mutu pengarahan, suntingan dan sinematografi telah banyak membantu untuk melancarkan perjalanan Tujuh dari awal hingga akhir.

Perspektif dan sudut pandang penulis dalam meneliti tema serta mesej yang diketengahkan dalam Tujuh sebenarnya juga lebih terarah kepada unsur Islamik yang barangkali tidak dilihat secara mata kasar.

Unsur Islamik yang penulis lihat itu lebih kepada isu yang banyak didebatkan dan diperkatakan ramai ketika ini dan disebabkan itu penulis mengatakan Tujuh sebenarnya cukup relevan dengan persekitaran masyarakat hari ini.

Dalam konteks ini, penulis lebih melihat kepada sikap diri manusia yang lalai dan ingkar kepada perintah Allah SWT yang kemudiannya membawa kepada sebuah pengakhiran yang memberikan satu indikasi bahawa kematian tidak mengenal usia.

Sebagai contoh, tujuh remaja yang dipaparkan sebagai yang menganuti agama Islam dan dilahirkan sebagai orang Melayu terpengaruh dengan budaya negatif yang pernah menggemparkan tahun 70-an.

Penulis tidak menafikan perkara itu kerana ia pernah menular dalam masyarakat Melayu beragama Islam pada dekad itu dan sehingga ke hari ini pun, masih ada lagi mereka yang mengamalkan budaya Barat dalam kehidupan mereka meskipun Islam dan Melayu itu hanyalah sekadar di atas kertas sahaja.

Bekas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (2016), Pekin Ibrahim memegang watak sebagai Mus.

Tetapi, disebabkan hanya satu kesilapan yang berpunca daripada diri mereka sendiri, kehidupan mereka yang memiliki latar belakang pendidikan cemerlang dibazirkan begitu sahaja sehingga riwayat hidup mereka ditamatkan dengan penuh sadis.

Justeru, mereka tidak diberikan peluang untuk memperbaiki diri dan kehidupan masing-masing kerana terus hanyut dengan kenikmatan dunia yang akhirnya membawa padah buat mereka.

Pepatah yang sering diperkatakan tentang waktu usia muda adalah tiket untuk melakukan apa sahaja dengan mengikut hawa nafsu sebenarnya membuktikan bahawa ia tidak relevan dan soal itu sebenarnya disentuh oleh Raja Mukhriz dan Ellyna Ahmad selaku penulis lakon layar Tujuh.

Bukan hanya dari aspek agama, tetapi Tujuh turut menyentuh soal adat dan budaya yang perlu dihormati seperti mana yang telah dididik oleh ibu bapa sejak kecil waima di mana bumi dipijak kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi.

Sebagai contoh, watak Ray (lakonan Riz Amin) dan Mus (Pekin Ibrahim) dipaparkan sebagai mereka yang biadap dan kurang ajar kerana mempelekehkan dan mempermainkan budaya orang Asli sewaktu mengikut Sam (Johan As’ari) bertemu dengan Tok Batin (Wan Hanafi Su).

Sudahnya, ketiga-tiga mereka menerima pembalasan setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan tanpa memikirkan implikasi yang menanti hanya dalam waktu terdekat.

Riz Amin dan Aeril Zafrel turut membintangi filem Tujuh yang masih ditayangkan di pawagam.

Aspek inilah yang membuatkan penulis menyenangi Tujuh kerana ia bukan sebuah filem yang bersifat anti klimaks di mana selalunya filem sebegini, mereka yang bersalah akan diberi peluang untuk menebus kesilapan mereka di pengakhirannya.

Tetapi, apa yang berlaku dengan semua ketujuh mangsa dalam filem ini adalah satu pembalasan buat mereka melakukan kesalahan dan disebabkan itu, siapa yang bersalah, harus menerima hukumannya walaupun hanya sekadar niat yang tidak dipandang serius (dalam konteks kesalahan Yasmin lakonan Cristina Suzanne).

Lantaran itu, mesej tersirat seperti inilah yang menjadikan Tujuh berada dalam acuan seramnya yang tersendiri walaupun secara kasarnya, elemen seram itu tidak begitu dirasai.

Pun begitu, penulis tidak mengatakan bahawa filem Tujuh adalah sebuah karya terbaik dan cemerlang kerana hakikatnya filem ini juga tidak sempurna dari beberapa aspek.

Aspek utama yang cukup merimaskan penulis adalah tata rias yang dikenakan kepada pelakon lelaki filem ini terutama penggunaan rambut palsu cukup tidak menyakinkan dan langsung tidak dititik beratkan.

Begitu juga dengan pelakon wanitanya yang membuatkan penulis tertanya apakah hanya itu sahaja imej tahun 70-an yang realistik kerana setiap kali naskhah yang berlatarkan dekad itu, imejnya begitu stereotaip.

Faizal Hussein dan Cristina Suzanne dalam salah satu babak filem Tujuh.

Bukan itu sahaja, penggunaan bahasa Orang Asli oleh Suri juga menimbulkan keraguan apakah Suri ini keturunan Orang Asli di Pahang atau anak angkat Tok Batin dari Sabah berdasarkan pengucapan dialognya.

Biarpun penulis mengatakan bahawa menyenangi apa yang telah dipersembahkan dalam Tujuh, tetapi lakon layarnya juga mengalami kelompongan terutama corak pembalasan Suri kepada mangsanya.

Apakah ia berlaku di dalam realiti ataupun di dalam mimpi dan disebabkan itu, fokus berhubung perkara itu tidak jelas. Jika ia berlaku di dalam mimpi, maka, ia tidak dipaparkan dengan kemas dan membuatkan penulis tertanya sendirian.

Ditambah pula dengan kesemua tujuh watak dipaparkan tidak tidur selama berhari-hari kerana bimbang diserang Suri di dalam mimpi tetapi hakikatnya, tiada faktor kukuh untuk diterangkan kepada penonton berhubung permasalahan itu.

Apabila persoalan ini bermain di fikiran, ia membuatkan penulis dengan pantas teringat akan corak filem A Nightmare On Elm Street (1984) tetapi Tujuh tidak menggunakan kelebihan itu.

Bekas calon Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 (2015), Wan Hanafi Su memegang watak sebagai Tok Batin.

Jika Raja Mukhriz dan Ellyna Ahmad lebih memperincikan cara serangan Suri itu dengan teliti dan kemas, penulis percaya Tujuh akan menjadi lebih baik dan menjadikan ia sebagai sebuah karya seram berbeza.

Begitu juga dengan plot sampingan yang melibatkan watak Inspektor Azmi (Faizal Hussein) yang tidak memberikan sebarang impak kepada keseluruhan jalan cerita sehinggakan dia dilihat tidak kelihatan serius dan kurang menyakinkan menjalankan tugasnya sebagai seorang anggota polis.

Dalam masa yang sama, Tujuh juga tidak terlepas daripada acuan stereotaip yang menjadikan wanita sebagai objek seksual dan dalam konteks ini, watak Suri adalah mangsanya yang bukan hanya dipandang penuh nafsu oleh Ray dan Mus tetapi juga Tina (Siti Saleha).

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Lebih Artikel