suria

Maaf Beyonce! ‘A Star Is Born’ sememangnya untuk Lady Gaga

Tanpa ragu, filem 'A Star Is Born' membawa tuah buat Bradley Cooper (kiri) dan Lady Gaga.

Filem: A Star Is Born

Pengarah: Bradley Cooper

Pelakon: Bradley Cooper, Lady Gaga, Sam Elliott, Andrew Dice Clay, Rafi Gavron, Anthony Ramos dan Dave Chappelle

Genre: Drama

Durasi: 135 minit

Pengedar: Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan: 18 Oktober 2018

PENULIS bukan peminat Lady Gaga. Malah, muziknya juga tidak sampai ke jiwa penulis untuk menikmatinya biarpun dia dianggap sebagai salah seorang pelaku seni yang diiktiraf kerana kreativitinya dari segenap aspek.

Tetapi itu tidak bermakna penulis menolak mentah-mentah untuk tidak mengambil tahu tentang kerjaya seni bekas pemenang anugerah Grammy sebanyak enam kali itu.

Sehubungan itu, apabila Lady Gaga dipilih untuk menerajui filem pembikinan semula, A Star Is Born, ia membangkitkan rasa teruja kepada penulis.

Keterujaan itu lebih kepada untuk melihat sisi berbeza Lady Gaga sebagai seorang pelakon. Apatah lagi, untuk seseorang seperti Lady Gaga yang masih lagi dianggap mentah dalam bidang lakonan, bukan mudah untuk menjadi pelakon utama dalam sebuah filem cereka.

Filem A Star Is Born membuktikan bahawa Bradley Cooper dan Lady Gaga memiliki keserasian sebagai pasangan lakon.

Tambahan pula, Lady Gaga atau nama sebenarnya, Stefani Joanne Angelina Germanotta bukanlah pilihan pertama untuk membintangi filem cereka sulung arahan bekas calon Oscar, Bradley Cooper ini.

Sebaliknya, nama Beyonce Knowles yang sudah dicanang sekian lama sejak projek filem ini mula diuar-uarkan hampir sedekad lalu dengan pelakon dan pengarah legenda Hollywood, Clint Eastwood yang berminat untuk mengarahkan filem ini.

Justeru, selepas menonton A Star Is Born beberapa hari lalu, persepsi penulis terhadap Lady Gaga terus berubah dan mengakui bahawa lakonannya dalam filem tersebut sememangnya cemerlang.

Lady Gaga bukan seorang pelakon tetapi sebagai Ally, beliau telah memberikan sebuah persembahan yang membuktikan bahawa Lady Gaga sememangnya berbakat besar.

Seperti mana yang diramal ramai pengkritik filem, lakonan Lady Gaga mampu melayakkan dirinya dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam anugerah Oscar akan datang.

Walaupun masih baharu dan mentah dalam dunia lakonan, Lady Gaga menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan dan menampakkan bahawa skil lakonannya setaraf dengan pelakon berpengalaman.

Salah satu babak filem A Star Is Born yang menggandingkan Lady Gaga dan Bradley Cooper sebagai teraju utama.

Pun begitu, penulis tidak menolak persepsi bahawa watak Ally itu untuk Lady Gaga mudah dibawakan kerana ia adalah tentang seorang wanita yang memiliki cita-cita dan bakat untuk bergelar seorang bintang terkenal.

Akan tetapi, ia bukan sesuatu yang wajar dipandang enteng kerana menerusi watak Ally, penulis dapat melihat bagaimana terjemahan watak berkenaan melalui beberapa fasa sekaligus menunjukkan bahawa watak Ally itu tidak bersifat satu dimensi.

Penonton dapat menjiwai watak Ally ketika dia suka, marah, gembira mahupun bersedih. Ketegasannya dalam memerangi konflik rumah tangga bersama suaminya, Jackson Maine (lakonan Cooper) yang merupakan kaki botol juga jelas menampakkan prinsip hidupnya meskipun dia harus berperang dengan kehendak dirinya sendiri.

Malah, Ally juga memiliki sifat manja dan keanak-anakan dan itu dapat dilihat dengan jelas sewaktu Ally melawat Jackson di pusat pemulihan yang penulis sifatkan babak yang cukup menampakkan keserasian Lady Gaga dan Cooper dalam sifat yang cukup semula jadi sebagai pasangan.

Watak Ally bergerak dalam graf yang seiring dengan perjalanan ceritanya sehinggalah ke klimaks di mana babak akhir sewaktu Ally mempersembahkan lagu selamat tinggal berjudul I’ll Never Love Again yang penulis sifatkan penutup terbaik buat A Star Is Born.

Penulis sifatkan impak persembahan Lady Gaga untuk lagu berkenaan menyamai babak sewaktu mendiang Whitney Houston mempersembahkan lagu I Have Nothing dalam filem The Bodyguard (1992) sekali gus menjadikan ia antara babak muzikal yang akan diingati sepanjang zaman.

Bradley Cooper sebagai Jackson Maine dalam salah satu babak dramatik filem A Star Is Born.

Justeru, percaturan meletakkan Lady Gaga sebagai teraju utama dan penulis sendiri tidak dapat membayangkan seandainya Beyonce yang akan memegang watak berkenaan di samping bekas pemenang Oscar, Leonardo DiCaprio seperti perancangan awalnya. Sememangnya ditakdirkan watak Ally memang untuk Lady Gaga.

Tidak cukup dengan itu, Lady Gaga juga berpotensi untuk bukan hanya dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik tetapi mampu membolosi senarai pencalonan untuk Lagu Tema Asal Terbaik sekurang-kurangnya untuk dua buah lagu.

Bukann hanya kecemerlangan lakonan Lady Gaga tetapi sebagai pengarah dan pelakon lelaki utama A Star Is Born, Cooper membuktikan bahawa dia adalah aktor terbaik dalam generasinya (jika tidak, masakan dia mampu dicalonkan untuk Oscar sebanyak empat kali).

Bukan hanya sebagai pelakon, A Star Is Born juga telah menampakkan sisi berbeza Cooper yang mungkin selama ini dicungkil sepenuhnya iaitu sebagai seorang penyanyi kerana watak Jackson Maine sememangnya meninggalkan kesan.

Bahkan, menonton lakonan Cooper membuatkan penulis teringatkan lakonan Kris Kristofferson dalam filem A Star Is Born versi tahun 1976 dengan imej selekeh sebagai seorang pemuzik yang semakin pudar sinaran bintangnya selain mempunyai masalah pendengaran.

Filem A Star Is Born terus memperkukuhkan portfolio seni Bradley Cooper dan Lady Gaga.

Meskipun menggalas tiga portfolio untuk A Star Is Born, Cooper telah melunaskan tanggungjawabnya dengan begitu cemerlang dan dilihat sebagai salah sebuah filem yang akan memberi saingan hebat dalam musim anugerah akan datang.

Malah, Cooper berpotensi besar untuk mendapat pencalonan berganda pada acara Oscar kelak untuk Filem Terbaik (selaku salah seorang penerbit), Pengarah Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik (juga sebagai salah seorang penulisnya) dan Pelakon Lelaki Terbaik.

Apa yang membuatkan penulis meletakkan A Star Is Born ini sebagai salah sebuah filem terbaik untuk tahun ini apabila tema dan penceritaannya dilihat relevan merentasi masa.

Meskipun versi Cooper ini merupakan adaptasi filem keempat daripada judul yang sama, tetapi naskhahnya tidak mengikut acuan yang serupa daripada tiga filem sebelum ini. Apa yang sama hanyalah intipatinya sahaja.

Untuk pengarah yang kali pertama mengarahkan filem cereka, Cooper menzahirkan seluruh jiwanya untuk A Star Is Born dan telah memberikan hasil kerja yang cemerlang.

Meskipun baharu dalam dunia lakonan, Lady Gaga telah memberikan persembahan lakonan yang cemerlang menerusi A Star Is Born./p>

Sebagai pengarah, Cooper bijak untuk mengimbangi lakon layarnya agar cerita dan graf lakonan para pemainnya bergerak dengan kemas lalu meninggalkan impak buat keseluruhan ceritanya.

Sehinggakan ada ketika dan menerusi beberapa babak, penulis merasakan Cooper seperti tidak mahu terlalu menonjolkan dirinya sebaliknya membiarkan Lady Gaga mencuri perhatian sepenuhnya.

Kecemerlangan itu turut dibantu dengan keberkesanan sinematografinya oleh bekas calon Oscar, Matthew Libatique (Black Swan, 2010) dalam memberikan nyawa A Star Is Born untuk terus bersinar selama hampir dua jam setengah.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Lady Gaga

Artikel Lain