suria

Kelemahan sinematografi seharusnya tidak berlaku dalam ‘Tangisan Akinabalu’

Keunikan dan keindahan di sekitar Gunung Kinabalu menjadi taruhan filem 'Tangisan Akinabalu'.

Filem: Tangisan Akinabalu

Pengarah: Datuk Jurey Latiff Rosli

Pelakon: Yuri Mejal, Phanthegerow, Yus Waisar, Syaiful Zero, Hosiani Keewon, Marlin Malalin dan Datuk Yusof Haslam

Genre: Drama

Durasi: 92 minit

Pengedar: Skop Productions Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 27 September 2018

HARUS diakui, nama Datuk Jurey Latiff Rosli agak asing dalam kalangan peminat filem tempatan memandangkan selama beliau bergelar seorang pengarah, hanya tiga buah filem yang sudah diarahkannya.

Bermula dengan filem Libas pada tahun 2011 dan kemudiannya dengan filem keduanya, Malay Regiment yang mengundang kontroversi tahun lalu, ia masih belum menguatkan portfolio Jurey sebagai pengarah filem cereka.

Meskipun filem Libas pernah menghadiahkan Jurey dengan trofi Pengarah Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia (FF Ke-24 (2011), ternyata ia belum mampu membuka mata khalayak dengan kemampuan Jurey.

Tidak mahu menunggu lama selepas filem Malay Regiment yang bercorak patriotik dan sejarah, Jurey kembali mempertaruhkan filem ketiganya berjudul Tangisan Akinabalu.

Lebih mencabar apabila Tangisan Akinabalu ditayangkan serentak dengan sebuah lagi filem, Paskal The Movie minggu lalu sekali gus menyaksikan pertembungan yang agak ‘luar biasa’ setelah sekian lama tiada filem tempatan bersaing sebegitu.

Jika diperhatikan kepada naskhah Tangisan Akinabalu, secara lahiriahnya, ia sememangnya cukup menarik dan penulis tidak menafikan perihal itu.

Mana tidaknya. Kemunculan Tangisan Akinabalu memberikan satu variasi kepada penonton yang sudah terlalu kerap disajikan dengan genre seram, aksi dan komedi.

Apatah lagi, filem tersebut diinspirasikan daripada kisah benar di sebalik kejadian gegaran gempa bumi yang pernah melanda Sabah sekitar tahun 2015.

Disebabkan itu, penulis tidak menolak kenyataan bahawa itu adalah tarikan untuk penonton ke pawagam menonton filem Tangisan Akinabalu dan melihat cerita yang berlaku di sebalik kejadian tersebut.

Dalam masa yang sama, penulis juga menyifatkan Tangisan Akinabalu adalah percaturan berani Jurey dan pihak penerbit, New Line Film kerana tidak langsung mengenegahkan wajah-wajah komersial masa kini.

Pelakon utama filem Tangisan Akinabalu, Yuri Mejal memegang watak sebagai malim gunung bernama Raymond.

Sebaliknya, teraju utamanya adalah para pelakon kelahiran Sabah yang kurang dikenali melainkan pelawak terkenal, Syaiful dari kumpulan Zero dan Yus Waisar.

Secara keseluruhannya, penulis tidak memiliki masalah dengan cerita dan tema filem ini kerana secara kasarnya, ia dipersembahkan dalam cara tersendiri tentang pasca gegaran tersebut yang penulis sifatkan memang untuk memberikan kesan dramatik.

Filem Tangisan Akinabalu menceritakan pelbagai kisah dari sudut pandang berbeza menerusi beberapa watak tentang apa yang berlaku dalam kehidupan masyarakat Sabah selepas tragedi yang berlaku itu.

Menerusi watak protagonis utamanya, Raymond atau Ray (lakonan Yuri Mejal), ia membawa penonton untuk menyelami konflik yang berlaku pada dirinya sebagai seorang malim gunung selepas abangnya maut dalam kejadian tersebut.

Ditambah pula dengan keadaan ibunya yang kurang sihat kerana diserang angin ahmar membuatkan Ray berbelah bagi sama ada mahu meneruskan pekerjaan yang diminatinya itu atau sebaliknya.

Dalam masa yang sama, semangat Ray banyak disokong dan dibantu oleh dua sahabatnya, Nikki (Phanthegerow) dan Pitrus (Syaiful) yang juga merupakan malim gunung serta memiliki kelebihan masing-masing dalam menguruskan pelancong asing.

Namun, Nikki juga berhadapan dengan masalah apabila bapanya tidak merestui pekerjaannya itu kerana percaya akan kuasa mistik yang masih belum reda kemarahannya selepas apa yang berlaku dan bimbang tragedi sama berulang kembali.

Pelakon yang diberi jolokan Selena Gomez Sabah, Phanthegerow memegang watak sebagai Nikki.

Sementara itu, Pitrus seorang yang berperwatakan ceria dan komikal memiliki hasrat untuk menyunting seorang jururawat di sebuah klinik desa meskipun berlainan pegangan agama yang ternyata bukan satu halangan buat Pitrus.

Pun begitu, walaupun Tangisan Akinabalu diletakkan sebagai sebuah cerita yang menarik tetapi realitinya, ia bukanlah sebuah naskhah terbaik. Ternyata, banyak kelemahan terutama olahan dan garapan lakon layarnya yang kurang memberangsangkan untuk terus memantapkan kualitinya.

Sebagai contoh, penulis tidak melihat kewajaran mengapa perlu diselitkan babak-babak cinta antara Ray dan Nikki secara imbas semula yang langsung tidak mendatangkan sebarang kepentingan dalam keseluruhan jalan cerita.

Bahkan dari awal sejak watak Ray dan Nikki diperkenalkan sudah cukup untuk menjelaskan hubungan mereka menerusi bahasa tubuh dan gaya pertuturan mereka.
Sudahlah kualiti sinematografi untuk babak berkenaan cukup menyedihkan dan kelihatan seperti hasil kerja amatur dan hanya menambahkan lagi kekurangan filem ini.

Bukan hanya untuk babak itu, tetapi hampir keseluruhannya, sinematografi untuk Tangisan Akinabalu memang bermasalah dan tidak kemas sekali gus tidak memberikan keyakinan untuk melengkapi filem ini.

Lebih mengecewakan ia merupakan hasil kerja salah seorang pengarah sinematografi terkemuka negara yang juga merupakan bekas pemenang Sinematografi Terbaik FFM18 (2005), Indera Che Muda.

Salah seorang anggota kumpulan lawak terkenal, Syaiful dari kumpulan Zero turut membintangi filem Tangisan Akinabalu.

Kelemahan lakon layarnya juga ketara pada babak-babak cemas dan dramatik selepas kejadian gegaran yang berlaku di Gunung Kinabalu yang juga tidak meninggalkan kesan yang besar kepada penonton.

Barangkali pemilihan lokasi untuk babak-babak berkenaan juga dilihat tidak begitu menyakinkan untuk penonton merasai suasana yang seperti benar-benar berlaku ketika itu.

Namun, satu aspek yang penulis puji untuk Tangisan Akinabalu apabila ia tidak hanya melihat daripada perspektif watak utama mahupun tambahan tetapi juga dari sudut pandang seekor anjing milik Nikki yang turut bercerita yang membuatkan penonton faham apa yang sedang berlaku.

Penulis memuji tindakan penerbit yang mahu mengutamakan pelakon kelahiran Sabah untuk menerajui Tangisan Akinabalu kerana ia dilihat lebih mudah untuk memberikan mood dan feel penceritaannya.

Tetapi, kualiti persembahan lakonan sebahagian besar daripada mereka memang berada pada tahap yang biasa-biasa sahaja dan memang wajar untuk mereka terus memperbaiki skil lakonan masing-masing.

Yus Waisar (kanan) turut membintangi filem Tangisan Akinabalu.

Lakonan Yuri Mejal dan Phanthegerow yang diberi jolokan Selena Gomez Sabah selaku teraju utama masih banyak kelemahannya.

Mereka sebenarnya berpotensi untuk mengembangkan bakat masing-masing jika mereka serius mahu bertahan dalam dunia seni kerana baik Yuri Mejal mahupun Phanthegerow, masing-masing ada kelebihan kerana memiliki paras rupa dan bentuk fizikal yang menarik.

Jika ada sekalipun, lakonan Syaiful boleh diberikan kredit tetapi itu tidak bermakna lakonannya adalah terbaik. Dia masih membawakan watak dirinya sendiri dengan suntikan humor seperti mana yang sering dipersembahkannya dalam persembahan lawak jenakanya.

Seperti mana yang penulis jelaskan, Tangisan Akinabalu memiliki premis dan cerita yang kuat untuk dijual kepada khayalak tetapi disebabkan masalah garapan serta lakon layarnya, maka, ia tidak berupaya menjadi sebuah filem yang baik.

Adalah lebih baik jika Tangisan Akinabalu dihasilkan dalam bentuk telefilem sahaja kerana sebagai seorang yang cukup mahir dalam pengarahan drama dan pernah memenangi anugerah, Jurey lebih faham nilai estetika untuk sebuah telefilem berbanding filem cereka.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas seorang bekas wartawan hiburan. Penulis juga adalah graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Akinabalu, Jurey Latiff

Artikel Sebelum

Artikel Lain