suria

Pontianak Vs orang Minyak: Lawak Nabil dan Johan Menghiburkan

FILEM: Pontianak Vs Orang Minyak (Ponti vs Omi)

ARAHAN: Afdlin Shauki

LAKONAN: Johan Raja Lawak, Nabil Ahmad, Sharifah Shahirah, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Lana Nordin, Khir Rahman

GENRE: Komedi Seram

DURASI: 1 jam 43 minit

TERBITAN: Ismail Holdings & Vision Works Sdn. Bhd

EDARAN: Alternate Pictures

TAYANGAN: 22 November 2012

TINGGAL seminggu sahaja lagi tayangan filem arahan Afdlin Shauki, Pontianak Vs Orang Minyak (Ponti vs Omi) di pawagam dan jumlah kutipan yang di kumpul setakat 29 November 2012 hanyalah Rm840,000.

Di mana silapnya pada filem ini, saya kurang pasti. Berdasarkan apa yang telah ditonton, Ponti vs Omi memiliki unsur-unsur komedi yang ringan dan berbeza, seperti yang digemari oleh para penonton tempatan.

Dan selalunya, pengarah kreatif ini tidak pernah menghampakan penggemar filem Melayu dengan setiap karya yang dihasilkan dan filem ini membuktikan antara genre komedi ringan yang terbaik.

Idea filem ini cukup pro-fiksyen apabila menyampaikan perjalanan cerita yang lebih realistik.

Cuma, mitos orang minyak yang dikatakan tidak berbaju diberikan pakaian dan pontianak yang selama ini merupakan daripada golongan wanita diselitkan seorang lelaki.

Inspirasi yang diambil daripada filem seniman negara, Tan Sri P.Ramlee iaitu Pontinak dan Orang Minyak sedikit sebanyak menarik perhatian buat penggemar filem lama itu untuk menyaksikan 'versi' baru pula.

Menggunakan dua pelawak berbakat besar iaitu Johan (Raja Lawak) sebagai orang minyak yang dipanggil Omi dan Nabil Ahmad sebagai Pontianak (Ponti), kisah mereka bermula sebagai manusia biasa di mana kedua-duanya meninggal dunia disebabkan tragedi yang berbeza.

Filem ini lebih mengisahkan kejadian selepas mereka mati dan muncul di alam ghaib. Menariknya Ponti diketengahkan sebagai seekor pontianak lelaki yang dibenci pontianak lain yang terdiri daripada wanita.

Manakala Omi pula adalah orang minyak berhati lembut dan personalitinya membuatkan orang lain berasa menyampah dengan sifatnya yang naif.

Gara-gara ingin dihormati makhluk-makhluk lain, masing-masing diuji dengan kemahiran yang telah diajar oleh ketua mereka dimana mereka dikehendaki menakutkan penduduk Kampung Puaka yang masyarakatnya tidak takut dengan hantu.

Bagaimanapun, ujian mereka sering diakhiri dengan kegagalan apabila penduduk kampung kebanyakannya berketurunan bomoh dan ada juga yang asalnya merupakan makhluk halus yang sudah insaf atas perbuatan silam mereka.

Walaupun plot filem ini sedikit perlahan, namun penyampaian lawak Johan dan Nabil yang bertalu-talu membuatkan penonton akan terhibur dengan jenaka yang disampaikan.

Klimaks plot filem ini lebih menjadi apabila Ponti dan Omi bergandingan untuk cuba mengganggu penduduk kampung sehingga ke akhir cerita dan lebih menghiburkan, apabila unsur cinta turut diselitkan sebagai penambah perisa dalam filem ini.

Selain itu, lakonan Khir Rahman dan lana Nordin turut membuatkan penonton tidak kering gusi apabila lkaonan mereka yang bersahaja memberikan aura lucu pada penonton.

Dalam pada itu, kewujudan pelakon seperti Farah Fauzana, Dira Abu Zahar, Ozlyn, Noh Hujan dan Vanidah Imran yang hanya dijadikan sebagai 'cameo' sahaja memberikan kesan meskipun kehadiran mereka dalam tempoh waktu yang singkat. Secara keseluruhannya, filem komedi ringan ini wajib ditonton kerana ia benar-benar terhibur bagi sesiapa yang menyaksikannya.

Malah, disamping membeli tiket filem tersebut, penonton sekaligus membuat kebajikan dan amal jariah dimana sebahagian keuntungannya akan disalurkan ke tabung bantuan rakyat palestin bagi membantu rakyatnya di Semenanjung Gaza yang teraniaya akibat kekejaman rejim Zionis.

Artikel Sebelum

Artikel Lain