PENGARAH dan penyanyi kontroversi, Namewee, direman selama enam hari bermula Rabu bagi membantu siasatan kes kematian pempengaruh wanita warga Taiwan, Hsieh Yun Hsi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata, perintah reman tersebut dikeluarkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Selasa.
“Perintah reman terhadap Namewee bermula 5 November hingga 10 November,” katanya kepada media.

Namewee direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan model Taiwan.
Sebelum ini, Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 42, hadir menyerah diri di IPD Dang Wangi pada awal pagi Selasa bagi membantu siasatan berhubung kematian Hsieh, 31, yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR).
Bagaimanapun, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan kes bunuh.
Mayat Hsieh ditemui dalam tab mandi di bilik air sebuah hotel mewah di Jalan Conlay, kira-kira pukul 1.40 petang pada 22 Oktober lalu.
Menurut Sazalee Adam, kematian Hsieh kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh selepas siasatan lanjut mendapati terdapat elemen mencurigakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Namewee serah diri bantu siasatan kes bunuh model Taiwan, nafi cuba lari... "Saya sentiasa tampil secara sukarela"
ARTIKEL BERKAITAN: Namewee ditahan di hotel, positif empat jenis dadah... Mengaku tak bersalah atas dua pertuduhan
Sebelum ini, polis mengesahkan Namewee merupakan individu terakhir yang dilihat bersama mangsa sebelum kematiannya disedari.
Pada 4 Oktober lalu, polis memaklumkan mereka gagal mengesan keberadaan Namewee selepas kematian personaliti media sosial dari Taiwan itu.
Difahamkan, Hsieh bertemu Namewee di hotel berkenaan bagi membincangkan penggambaran video bersama, namun kemudian ditemui mati di bilik mandi hotel tersebut.

Namewee serah diri pada polis sebelum ditahan reman.
Terdahulu, Namewee pernah ditahan polis pada 22 Oktober di hotel sama selepas penemuan sembilan biji pil biru yang disyaki dadah jenis ekstasi.
Hasil ujian air kencing mendapati dia positif amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.
Susulan itu, dia telah didakwa atas tuduhan memiliki dan mengambil dadah, namun mengaku tidak bersalah.
Mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


