suria

Namewee ditahan di hotel, positif empat jenis dadah... Mengaku tak bersalah atas dua pertuduhan

Namewee dilaporkan positif empat jenis dadah.

PENGARAH dan penyanyi kontroversi, Namewee ditahan polis di sebuah hotel di ibu negara selepas disyaki memiliki dan menggunakan dadah bulan lalu. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur sekitar jam 4.30 petang pada 22 Oktober lalu.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel tersebut, polis menemui sembilan biji pil berwarna biru dipercayai pil ekstasi seberat 5.12 gram,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Namewee (kiri) dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan.

Menurut Fadil, ujian saringan awal air kencing turut dilakukan terhadap pengarah terbabit dan keputusan menunjukkan dia positif empat jenis bahan terlarang iaitu amphetamine, methamphetamine, ketamin dan THC.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 42, kemudian direman selama dua hari bagi membantu siasatan sebelum dituduh di mahkamah pada 24 Oktober lalu.

Tambah Fadil, bagi pertuduhan pertama, suspek didakwa di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

ARTIKEL BERKAITAN:Namewee Pilih Kerja Sosial, Bukan Hukuman Penjara

ARTIKEL BERKAITAN: Namewee Bebas Tahanan Reman

Manakala bagi pertuduhan kedua, suspek dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil bahan terlarang.

Bagaimanapun dalam kedua-dua pertuduhan tersebut, Namewee mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.

Kes berkenaan akan disebut semula di mahkamah pada 18 Disember ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain