suria

Isu pH air... Ilya, Ropie dan Ajak mohon maaf secara terbuka - “Ia jadi pengajaran buat kami”

Kumpulan Rare mengaku kesal atas keterlanjuran mereka dalam persembahan di MLM2019.

SELEPAS dua minggu isu pelawak Ilya Buang didakwa disekat daripada membuat persembahan di Shah Alam, kumpulan Rare akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka atas keterlanjuran mereka yang dianggap telah menyindir kerajaan.

Kumpulan yang turut dianggotai oleh Ajak Shiro dan Ropie menyatakan kekesalan mereka ketika membuat persembahan di final Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 pada 10 Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: PH air punya hal... Ilya, Ropie dakwa dilarang buat persembahan di Shah Alam

ARTIKEL BERKAITAN: Nabil Ahmad sedih, terkesan Ilya digam - “Dia masuk MLM nak guna duit untuk rawatan kencing manis”

Ilya juga berharap selepas ini tiada lagi mana-mana pihak yang menyimpan perasaan kurang senang terhadap mereka.

“Kami ingin menyatakan kekesalan dengan apa yang berlaku pada malam MLM 2019 dan ingin memohon maaf secara terbuka kepada pihak MBSA serta penonton.

“Harap-harap tiada lagi pihak yang memendam rasa dengan kumpulan Rare. Kami juga mahu isu ini berakhir dengan aman dan turut mengambil iktibar dari kejadian yang berlaku.

“Insya-Allah kami akan lebih berhati-hati di masa akan datang. Semoga ini menjadi pengajaran buat kami bertiga,” kata Pak Ya kepada mStar.

Kumpulan Rare ditemui ketika sidang media khas bersama mStar di Tropicana City Mall, Petaling Jaya pada Jumaat.

Harap-harap tiada lagi pihak yang memendam rasa dengan kumpulan Rare.

ILYA

PELAWAK

Sebelum ini, Pak ya atau nama sebenarnya Ilya Buang meluahkan rasa terkilan apabila namanya didakwa disekat pihak tertentu daripada membuat kemunculan dalam dua episod sitkom Sepahtu Reunion Live 2020 yang bersiaran secara langsung di Royal Teater, Shah Alam.

Pada malam final MLM 2019 lalu, kumpulan Rare muncul dengan lawak sindiran apabila melakonkan babak komedi di mana Ropie menggunakan penapis air kononnya untuk menapis kadar neutral dan kadar kandungan pH (air).

Ilya kemudian bertanya jika pH air itu okay, bagaimanapun Ropie memberi jawapan 'teruk'.

PH dalam pengertian politik merujuk kepada Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Ilya juga berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan apa yang terjadi pada kumpulan mereka.

Kumpulan Rare, MLM2019, Ilya, Ajak Shiro, Ropie

Artikel Lain