PERKONGSIAN pelakon Faizal Hussein sebelum ini berkaitan membantu isteri dalam urusan rumah tangga mendapat pujian ramai sehingga dia sebagai lelaki green flag.Bukan satu perkara asing baginya, menurut Faizal, 58, kerja rumah bukan semata-mata tanggungjawab wanita, malah lelaki turut perlu memainkan peranan. “Dari dulu sebenarnya, bukan sekarang. Cuma ada lelaki boleh buat dan ada rasa benda itu bukan tugas mereka. Saya tidak menentang lelaki sebegitu kerana mungkin itu memang sifat masing-masing.Bagi Faizal kerja rumah adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya pada isteri.“Tetapi bagi lelaki penyayang dan mengambil berat tentang keluarga, kita akan rasa semua perkara itu sebahagian daripada tanggungjawab. Kalau dulu tilam nipis dan ringan, sekarang tilam spring tebal, memang berat untuk diangkat.“Sebab itu sejak mula berkahwin sehingga hari ini, saya anggap rumah sendiri seperti ‘room service’. Saya uruskan tempat tidur, tukar cadar dan pastikan semuanya selesa,” katanya. Faizal ditemui ketika sesi temu bual drama terbaharu lakonannya berjudul Sumpah Ayahku yang berlangsung di Balai Berita, Bangsar, Kuala Lumpur pada Selasa. Dia mengulas perkara tersebut selepas kenyataannya sebelum ini yang gemar menukar cadar bilik tidur sendiri dan anak-anaknya mendapat pujian ramai di media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Faizal Hussein terima ribuan mesej, peminat bergurau nak jadi menantu... Tak letak syarat jodoh untuk anak gadisARTIKEL BERKAITAN: Watak ‘Walid’ meledak hingga ke Indonesia, ramai DM Faizal Hussein untuk ajak berkahwinTambah pelakon ini, perkara tersebut turut diterapkan kepada anaknya supaya lebih bertanggungjawab terhadap keluarga. “Saya mengajar anak dengan cara membiarkan mereka melihat. Tidak perlu banyak bercakap kerana sudah ada seorang yang selalu mengajar, iaitu ibu mereka. Saya pula tunjuk melalui perbuatan.“Kalau saya buat, mereka akan nampak dan ikut. Bagi saya, kita kena mulakan dahulu sebelum mengharapkan anak melakukan perkara sama. “Kalau betul-betul sayang keluarga, kita akan buat perkara sebegini tanpa menganggapnya sebagai beban. Kerja rumah bukan ukuran lelaki atau perempuan. Kalau boleh membantu, bantulah,” ujarnya.Faizal amalkan tunjuk contoh teladan buat kerja rumah agar diikuti oleh anak-anaknya. Berkongsi lanjut, Faizal juga membantu beban isteri di rumah dalam hal penyedian makanan. “Kalau saya ada di rumah, saya tidak mahu isteri penat memasak. Saya boleh beli lauk atau anak lelaki saya akan pesan makanan. “Saya sudah ajar dia, kalau ayah tiada di rumah kerana penggambaran, jangan biarkan ibu dan kakak lapar,” kongsinya. Untuk rekod Faizal mendirikan rumah tangga dengan pelakon Suhaila Sulaiman pada 3 Julai 2004. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Fazryn, 21, dan Fazrick, 18.Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube