suria

Watak ‘Walid’ meledak hingga ke Indonesia, ramai DM Faizal Hussein untuk ajak berkahwin

Ada peminat ajak Faizal berkahwin.

WATAK Walid lakonan Faizal Hussein dalam drama Bidaah menjadi satu fenomena sehingga turut mendapat perhatian dalam kalangan penonton di Indonesia. 

Kata Faizal atau Mohd Faizal Hussein disebabkan karakter itu juga dia banyak menerima mesej daripada peminat wanita yang mahu menjadi isterinyanya di dunia realiti. 

“Ramai yang mesej nak jadi isteri saya, tapi yang minta begitu, peminat di Indonesia. Ada juga yang minta mendoakan dia sebab anggap saya ini Walid. 

Nama Faizal menjadi sebutan di Indonesia.

“Ada juga yang berseloroh, tapi kita tahu mana yang serius dan tidak. Tapi yang ajak berkahwin itu, ramai. Ada yang mesej katakan, kawannya mahu jadi isteri saya. Tapi saya baca sajalah, saya tak balas,” katanya kepada mStar.

Faizal berkongsi perkara itu ketika ditemui sesi previu eksklusif Walid bersama media di Saloma Kuala Lumpur.

Dia bagaimanapun bersyukur apabila isterinya Suhaila Sulaiman tidak melenting dengan mesej yang diterima selain memahami tuntutan kerjayanya sebagai anak seni.

Malah isterinya juga sentiasa memberi keizinan untuk Faizal membawa watak romantis dalam sesebuah karya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Faizal Hussein sokong anak ceburi bidang seni, bangga melihat Fazryn di pentas runway... Sejak kecil minat berdiri depan kamera

ARTIKEL BERKAITAN: Faizal Hussein tolak banyak tawaran lakonan, tak mahu terima watak tidak penting

“Isteri saya tak hairan, dia tahu semua itu. Isteri saya jenis yang ‘sporting’ sebab dia dia faham dan tahu macam mana industri ini. Kiranya saya sudah dapat ‘lesen’ besar daripada dia. Dia sudah tahu suami dia macam mana, jadi tiada masalah.

“Tapi kalau ada adegan romantis, sebelum terima, saya tanya dia juga, boleh tak berlakon cerita ini sebab ada peluk dan sebagainya. Dia kata buat sajalah, sebab dia pun faham. 

“Tapi di Malaysia, apa sajalah yang kita boleh buat untuk membuatkan penonton memahami soal watak,” ujarnya.

Dalam masa sama, Faizal teruja drama Bidaah membuatkan dia lebih dikenali dalam kalangan generasi muda.

Watak Walid memberi kesan besar buat karier Faizal.

Dia turut berharap drama Walid yang merupakan sambungan Bidaah juga mendapat perhatian ramai.

“Selepas watak Walid meledak di Indonesia, mereka siasat siapa pelakon yang membawakan watak itu jadi mereka kenal saya. Jadi ada yang pada awalnya tak suka saya, tapi bila sudah kenal saya, pengikut saya pun makin bertambah.

“Malah pengikut akaun laman sosial anak-anak saya pun bertambah. Alhamdulillah, maknanya impak watak ini bagus, apatah lagi ada beberapa ‘walid’ di sana juga ditangkap. Itulah yang saya mahu buat sebenarnya sebab dalam kerja saya, saya mahu berdakwah juga,” katanya.

Selain Faizal, drama Walid turut menampilkan Vanidah Imran, Aqasha, Olla Ramlan dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

Walid merupakan arahan Pali Yahya bakal temui penonton secara eksklusif di Viu mulai 26 Februari 2026.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain