suria

“Memang ada dalam keluarga sebelah ayah” - Noki bimbang warisi penyakit keturunan

Noki belum jalani pemeriksaan kesihatan secara terperinci.

PENYANYI Noki K-Clique mendedahkan keluarganya mempunyai penyakit keturunan yang mungkin boleh menyerang pada bila-bila masa.

Noki atau Ahmad Ikhwan Aji, 32, berkata ayahnya juga meninggal dunia akibat penyakit berkenaan kira-kira empat tahun lalu.

Menurut Noki, penyakit itu menyerang otot badan bapanya sehingga menyebabkan tangan dan kaki semakin lemah dan  memerlukan bantuan keluarga untuk bergerak.

Noki berharap penyakit bapa tidak lagi diwarisi oleh sesiapa.

“Ayah macam separuh lumpuh, penyakit itu makan otot badan. Lama-lama tangan dan kaki jadi kecil dan ayah memang perlukan bantuan kami untuk bergerak.

"Kami dah cuba macam-macam memang tiada ubat,” katanya kepada mStar.

Jelasnya,  penyakit itu juga menjejaskan kesihatan beberapa adik-beradik bapanya, walaupun tidak seteruk dialami arwah. 

ARTIKEL BERKAITAN: Noki terkena tendangan pelakon Korea Selatan, bimbang jari patah ketika penggambaran filem

ARTIKEL BERKAITAN: Pengorbanan berlakon cerita aksi... Noki K-Clique minum air darah sendiri gara-gara bibir koyak, jari hampir patah

“Penyakit itu memang ada dalam keluarga sebelah ayah. Saya harap ia tidak menyerang saya atau adik-beradik lain,” katanya lagi.

Mengakui bimbang dengan penyakit tersebut, Noki bagaimanapun  belum melakukan pemeriksaan terperinci untuk mengetahui sama ada dia mewarisi atau tidak masalah sama. 

Bagaimanapun, dia terus berdoa agar penyakit itu tidak berlaku kepadanya dan keluarganya.

“Setakat ini saya belum rasa apa-apa, tapi saya doa harap-harap penyakit itu tidak terjadi pada kami,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain