suria

Berhijab bukan kerana fesyen, Isyariana sentiasa betulkan niat

Isyariana berhati-hati dalam pemilihan gaya.

SELEPAS membuat keputusan untuk tampil berhijab sejak Ramadan tahun lalu, pelakon Isyariana mengaku ada ketika dia berdepan ujian apabila hatinya terdetik untuk membuka tudung.

Bagi pemilik nama penuh Isyariana Che Azmi, 36, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang asing kerana dia yakin setiap manusia tidak dapat lari daripada godaan serta dugaan. 

Namun, dia percaya iman yang baik dan doa ikhlas akan sentiasa membuatkan dirinya teguh dengan pendirian supaya kekal berhijab.

Isyariana mohon doa agar kekal istiqamah. 

"Ia berbalik kepada hati dan saya sentiasa berdoa agar Tuhan tidak mengembalikan saya kepada diri yang dahulu. Saya juga selalu memohon petunjuk walaupun ada ketika hati ini goyah,"katanya. 

Tambah Isyariana, keputusan untuk berhijab juga tidak seharusnya dibuat semata-mata mengikut fesyen semasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Isyariana mengaku masih solo, impi lelaki ‘berharta’... “Bekas teman lelaki saya pun taraf kami sama saja” 

ARTIKEL BERKAITAN: Isyariana pernah trauma sampai lupa lirik, kini rancang kembali aktif menyanyi

Malah, dia juga sentiasa berhati-hati dalam pemilihan pakaian agar tidak berlebihan ketika tampil dalam mana-mana acara atau berada di tempat umum.

"Kalau fikirkan fesyen, rasanya mungkin sehari sahaja saya pakai tudung. Saya sendiri perlu peka dalam pemilihan pakaian.

"Saya yakin dengan pilihan ini. Saya sudah puas berfesyen sebelum berhijab dahulu.

Penampilan Isyariana mendapat pujian ramai. 

"Namun, saya nak cakap lebih pun tak berani sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan. Harap orang ramai terus mendoakan saya," luahnya.

Pelakon ini pada masa sama meluahkan rasa syukur apabila pihak produksi cukup memahami penampilannya itu selain tidak pernah berdepan masalah dalam tawaran kerja.

"Saya tidak berdepan sebarang masalah untuk tawaran kerja. Produksi tahu saya bertudung dan mereka akan memberikan watak yang sesuai," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain