suria

Isyariana pernah trauma sampai lupa lirik, kini rancang kembali aktif menyanyi

Isyariana bangkit selepas dapat sokongan peminat.

SETELAH sekian lama memberi tumpuan kepada dunia lakonan, pelakon Isyariana menyatakan hasratnya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

Isyariana atau Isyariana Che Azmi, 35, berkata trauma yang pernah dialami semakin pulih selepas mendapat sokongan daripada peminat sejak pelancaran lagu Andai Tiada Dia pada tahun lalu.

“Selepas menyertai Akademi Fantasia 2016 dan tersingkir pada minggu kelima, saya mengalami sedikit trauma. Rasa kekok untuk menyanyi, kadang-kala terlupa lirik. Disebabkan itu, saya lebih banyak sibukkan diri dengan lakonan.

Isyariana tekad mahu kembali menyanyi.

“Tetapi apabila saya kembali menyanyi tahun lalu, saya rasa seperti sudah sembuh daripada trauma itu. Ramai juga yang memberi sokongan dan meminta saya menyanyi semula,” katanya kepada mStar.

Malah dia turut menegaskan tidak pernah terfikir untuk berhenti dalam nyanyian kerana ia merupakan minatnya sejak kecil.

Mahu memberi fokus bergelar penyanyi, Isyariana juga mula menyusun semula perjalanan karier agar bakatnya tidak hilang begitu sahaja. 

ARTIKEL BERKAITAN: Segan buka tudung selepas pulang umrah, Isyariana bimbang gagal istiqamah

ARTIKEL BERKAITAN: Isyariana terjatuh semasa lakon babak aksi, tunjuk bukti tangan ‘patah’... “Saya kalau sakit memang tak beritahu sesiapa”

"Di rumah, saya yang paling suka menyanyi. Tak pernah berniat untuk berhenti menyanyi kerana sejak kecil memang itu yang saya minat. 

"“Walaupun menceburi bidang lakonan, saya sebenarnya tidak pernah tinggalkan dunia nyanyian sepenuhnya. Tahun ini dan tahun hadapan, saya sedang menyusun semula perjalanan karier nyanyian saya,” ujarnya.

Bercakap soal perjalanan kerjaya, dia juga tidak mahu terus meletakkan harapan mencari rezeki dalam bidang ini. 

Percaya pelbagai usaha boleh dilakukan, Isyariana juga aktif melibatkan diri melakukan kerja di luar bidang seni. 

Kadang-kala saya buat kerja sambilan memasak di kedai kawan.

ISYARIANA

PELAKON/PENYANYI

“Sebenarnya rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Bila tiada tawaran berlakon, saya akan buat perkara lain seperti memasak. Kadang-kala saya buat kerja sambilan memasak di kedai kawan. Ada juga masa terlibat dalam persembahan dinner show. 

"Saya perasan, penyanyi yang mungkin tidak begitu popular sekalipun masih mampu jana pendapatan yang lumayan melalui kerja seperti ini. Ada yang memperoleh pendapatan lebih besar berbanding mereka yang kerap muncul di televisyen,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Isyariana mengakui seronok melakonkan watak Wati di dalam filem Misteri Fraser 1910 yang bakal ditayangkan pada 26 Jun ini.

 Filem terbaharu Isyariana bakal temui penonton 26 Jun ini.

Katanya, cuaca sejuk tidak menjadi penghalang untuknya memberikan sehabis baik dalam lakonannya itu.

Selain Isyariana, Misteri Fraser 1910 turut dibintangi Josiah Hogan, Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Erry Putra dan ramai lagi.

"Cuaca sejuk bukan halangan untuk saya, sebab saya memang suka sejuk. Walaupun ramai kata sejuk tapi saya okay saya.

"Terutama saya dalam karakter lagi, saya rasa panas. Cuma sedikit cabaran untuk saya berbahasa baku dan ketika rasuk," kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain