PELAKON Nelissa Nizam menolak dakwaan yang mengaitkan dirinya sebagai ‘anak emas’ Dr Ahmad Idham hingga dikatakan sering diberi keutamaan dalam projek terbitan pengarah itu.
Nelissa atau nama sebenarnya Nelissa Edreena Nizam, 27, mengakui tidak mampu menghalang mulut orang luar, namun berpendapat keserasian di lokasi penggambaran menjadi sebab dia kerap diberi peluang bekerjasama.
“Kalau orang nak cakap macam itu (anak emas) saya tak boleh nak halang. Saya rasa ada sahaja projek Idham bersama orang lain.
Nelissa sangkal dakwaan kononnya dia anak emas Ahmad Idham.
“Kami selesa bersama dan saya suka cara dia mengarah. Mungkin sebab itulah kami boleh bekerja untuk beberapa projek tanpa sebarang masalah,” katanya kepada mStar.
Nelissa berkongsi perkara itu ketika ditemui semasa sesi fotografi bersama barisan pelakon Impak Maksima 2 di APD Crew Circuit, Seri Kembangan, Selangor pada Jumaat.
Jelas Nelissa, filem Impak Maksima 2 merupakan kerjasama yang keempat bersama Idham.
Bercakap mengenai filem terbabit, Nelissa memberitahu dia mengambil masa hampir dua bulan untuk mempelajari teknik memandu drift bagi menjayakan beberapa babak dalam naskhah berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Salah waktu minta bergambar, Nelissa Nizam dimarah pelakon senior
ARTIKEL BERKAITAN: “Kita ada adab dan budaya kena jaga” - Nelissa Nizam berhati-hati pilih watak, bimbang cetus kontroversi
Jelas Nelissa, dia hanya menjayakan babak aksi apabila tidak melibatkan orang awam dan sekiranya terdapat ada babak berisiko ia akan disempurnakan oleh pihak yang profesional.
“Dalam Impak Maksima 2 saya pandu sendiri dan mengambil masa selama sebulan lebih untuk pelajari teknik memandu drift.
“Namun jika ada babak yang bahaya sehingga melibatkan orang awam saya serahkan kepada mereka yang profesional untuk lakukan.
Nelissa dan Arfie menjadi teraju utama dalam Impak Maksima 2.
“Alhamdulillah tiada kecederaan serius sepanjang menghasilkan filem ini kerana semua orang daripada pelakon sehingga kru produksi sangat berhati-hati tentang keselamatan,” jelasnya.
Selain Nelissa, filem Impak Maksima 2 turut dibintangi pelakon lain seperti Arfie Shah, Zul Huzaimy, Datuk Seri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi, Opie Zamie, Fad Bocey dan ramai lagi.
Filem tersebut akan mula ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula 17 Julai ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube