MASALAH bayaran ‘ciput’ atau tidak setimpal yang sering menjadi keluhan penggiat filem veteran diberi perhatian serius apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tampil dengan inisiatif baharu demi membela nasib golongan berpengalaman ini.
Finas berhasrat bekerjasama dengan penerbit tempatan untuk membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja veteran dengan kadar bayaran mengikut kepakaran mereka.
Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac, berkata langkah ini antara usaha untuk menamatkan rungutan lama dalam kalangan veteran industri yang mendakwa tenaga dan pengalaman mereka sering dipandang remeh.
Finas prihatin terhadap nasib kru dan pelakon vateran.
“Hasil perbincangan antara Finas dan Kementerian Komunikasi, kami akan melaksanakan sebuah projek perintis berbentuk drama super telefilem yang sepenuhnya melibatkan tenaga kerja daripada kalangan penggiat seni veteran.
“Ini termasuk jurukamera, juruaudio, penyunting, penulis skrip, pengarah serta para pelakon.
“Projek ini akan menggunakan Dana Kandungan Kreatif (DKK) sepenuhnya dan jika percubaan ini berjaya serta berjalan lancar, ia akan diteruskan pada masa akan datang,” jelasnya.
Hans berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra Finas bersama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) di Setapak, Kuala Lumpur.
ARTIKEL BERKAITAN:Hans Isaac kembali dilantik sebagai Pengerusi Finas
ARTIKEL BERKAITAN:Finas salur bantuan wang tunai, cari rumah baharu buat Charlie Nu'man dan 6 orang anak
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, serta pengarang dan wartawan hiburan dari pelbagai organisasi media.
Hans menjelaskan, projek perintis ini akan menggunakan Dana Kandungan Kreatif (DKK) sepenuhnya untuk membayar tenaga kerja, bukan untuk mengaut keuntungan penerbit semata-mata.
“Sebagai contoh, kami akan salurkan dana sebanyak RM150,000 kepada penerbit bagi menghasilkan sebuah drama. Dana tersebut mesti digunakan sepenuhnya untuk membayar upah kru dan pelakon dengan kadar yang setimpal dengan pengalaman mereka.
“Jika pelakon veteran diberikan watak utama, mereka perlu dibayar mengikut kadar bayaran pelakon utama. Penerbit perlu faham, inisiatif ini bukan bertujuan untuk mereka kaut untung.
Projek ini akan menggunakan Dana Kandungan Kreatif (DKK) sepenuhnya
DATUK HANS ISAAC
PENGERUSI FINAS
“Sekiranya drama tersebut berjaya dijual kepada stesen penyiaran, 40 peratus daripada hasil jualan itu wajib dipulangkan kepada Finas supaya projek seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut menegaskan, Finas akan meneliti barisan pelakon dan kru bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dipilih untuk menjayakan projek tersebut.
“Saya yakin pihak penyiar tidak akan teragak-agak untuk mendapatkan produk ini kerana ramai pelakon veteran masih mempunyai peminat tersendiri. Namun begitu, tidak semua barisan pelakon terdiri daripada artis veteran semata-mata.
“Kita juga akan mengambil kira kesesuaian watak. Mana tahu jika drama ini berjaya mencuri perhatian penonton dan meraih jumlah tontonan yang tinggi, ia mungkin dapat mengubah persepsi pihak penyiar pada masa depan,” katanya.
Sebuah projek perintis bakal dilaksanakan Finas tidak lama lagi.
Untuk rekod Hans dilantik Pengerusi Finas berkuat kuasa 26 Mac lalu, menggantikan Datuk Kamil Othman yang mula menggalas jawatan itu pada 24 Februari 2023.
Sebelum ini, Hans pernah dilantik sebagai Pengerusi FINAS oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, ketika itu, pada 8 April 2019.
Tidak sampai setahun, Hans kemudian dilapor menerima surat penamatan kontrak sebagai Pengerusi Finas sebelum melepaskan jawatan itu pada 22 Mei 2020.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube