suria

Air mata menjelang Aidilfitri, drummer Success terpaksa keluar rumah pusaka segera, kini buntu cari tempat tinggal

Eddy bangkit dengan bantuan rakan-rakan.

SELEPAS usaha menyelamatkan rumah pusaka keluarga tidak berjaya, pemain dram kumpulan Success, Eddy, terpaksa berpindah keluar dari kediaman tersebut pada Aidilfitri nanti.

Eddy atau nama sebenarnya Rishamidi Halim, 51, berkata dia kini masih buntu memikirkan tempat tinggal baharu selepas meninggalkan rumah berkenaan bersama isteri dan anak-anak kelak.

“Buat masa ini masih belum ada apa-apa persiapan lagi. Saya pun macam buntu dan tak tahu nak duduk mana selepas ini bersama isteri dan anak-anak.

Eddy tak dapat selamatkan rumah pusaka keluarga.

“Memang tak ada hala tuju lagi buat masa ini,” katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut Eddy, dia bagaimanapun telah meminta budi bicara daripada pemilik baharu rumah tersebut agar memberi kelonggaran kepada keluarganya untuk keluar selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya ada buat surat dan mohon supaya kami dibenarkan tinggal sehingga selepas Aidilfitri kerana sudah hampir raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Drummer kumpulan Success buntu hilang tempat tinggal, rumah pusaka arwah ibu dilelong... Habis segala barang kemas sudah digadai

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tidak sempurna” – Hariz Hamdan tampil jelaskan foto menangis bersama al-Quran

“Tapi saya harap mereka beri kebenaran sekurang-kurangnya sampai habis Syawal,” ujarnya.

Dalam masa sama, Eddy tidak berputus asa dan kini menceburi bidang perniagaan dengan menjual minyak angin yang dinamakan Gel Air Mata dengan bantuan rakan-rakannya.

Menurutnya, nama produk tersebut dipilih berdasarkan pengalaman hidup yang dilalui kebelakangan ini.

Harap boleh tampung kehidupan saya sekeluarga.

EDDY

PEMAIN DRUM SUCCESS

“Saya baru berjinak-jinak dalam perniagaan ini selepas mendapat bantuan daripada rakan-rakan yang sudi menyuntik modal.

“Buat masa ini memang saya akan fokus kepada perniagaan secara dalam talian. Harap-harap dapat sambutan dan boleh tampung kehidupan saya sekeluarga nanti,” luahnya.

Tambah Eddy, Gel Air Mata diperbuat daripada bahan semula jadi dan dipercayai dapat membantu melegakan ketidakselesaan badan seperti lenguh otot, sakit kepala serta kebas tangan, selain membantu melegakan batuk.

Eddy bersama isteri dan anak-anak terpaksa berpindah keluar Aidilfitri ini.

Sebelum ini, Eddy memaklumkan rumah pusaka keluarganya di Kota Bharu, Kelantan dilelong pihak bank pada tahun lalu.

Meskipun cuba mempertahankan satu-satunya harta peninggalan arwah ibunya, usahanya tidak berhasil apabila pemilik baharu enggan memberi kerjasama sehingga dia terpaksa mengosongkan kediaman tersebut dalam tempoh terdekat.

Jelas Eddy, ketika itu dia tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk mendapatkan semula rumah berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain