suria

Izzue Islam tak kisah dikritik, harap lagu raya diraikan bukan dibanding

Izzue Islam harap orang ramai dapat menerima setiap karya yang dikeluarkan.

PENYANYI dan pelakon Izzue Islam berharap orang ramai tidak terlalu cepat mengkritik atau membandingkan lagu raya yang dilancarkan oleh mana-mana penggiat seni.

Menurut Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, trend di platform Threads yang mengkategorikan lagu raya sebagai terbaik atau tidak sedap didengar sepatutnya dilihat daripada sudut lebih positif.

Kata Izzue, setiap karya yang dihasilkan wajar diraikan kerana setiap penyanyi mempunyai pendekatan dan konsep tersendiri dalam menghasilkan lagu raya.

“Pada saya, kita patut raikan sahaja apa juga lagu raya yang dihasilkan. Setiap lagu ada keunikan tersendiri.

Izzue berkongsi perkara itu ketika ditemui media. 

"Untuk lagu raya kami iaitu Dulu Kini Raya, kami sebenarnya mengkategorikan lagu ini sebagai lagu yang boleh diterima kerana ada beberapa elemen yang kami terapkan seperti moden dan tradisional.

"Harap pendengar di Malaysia boleh menerima lagu ini. Kalau tahun ini mereka belum suka, mungkin tahun depan mereka akan suka," katanya kepada mStar.

Izzue berkongsi perkara itu ketika majlis pelancaran lagu duet rayanya bersama Dehaniff berjudul Dulu Kini Raya yang berlangsung di The St. Regis Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam masa sama, Izzue berkata lagu raya sepatutnya menjadi medium untuk menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan bukan dijadikan bahan perbandingan antara satu sama lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Izzue Islam ‘join’ komuniti Harley Davidson, sambar Street Glide cecah RM200,000

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman sehari berpuasa di Madinah, Izzue Islam pertama kali makan hati dan paru unta

Mengulas mengenai pengguna Threads yang kadangkala bersifat lantang, Izzue berkata dia tidak mempunyai masalah untuk menerima pandangan orang ramai.

Malah, Izzue mengakui sudah lali dengan pelbagai reaksi netizen sepanjang lebih sedekad bergelar anak seni.

“Saya okey sahaja dan terbuka menerima apa saja pandangan. Sebenarnya saya sudah bersedia dengan perkara seperti ini sejak lebih 10 tahun lalu kerana sudah terbiasa.

“Ada juga yang kata suara saya biasa tetapi masih sibuk mahu menyanyi. Namun kata-kata itu tidak pernah menjatuhkan semangat saya.

Izzue harap lagunya bersama Dehaniff turut diterima ramai. 

“Bagi saya, ia tidak menghalang untuk terus berkarya. Kalau tidak suka tidak mengapa, tetapi saya harap lama-kelamaan mereka boleh menerima,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Izzue turut berkongsi mengenai kolaborasinya bersama Dehaniff yang disifatkan memiliki keunikan tersendiri.

"Dia ini ada suara yang unik, kalau masuk dalam industri, industri akan jadi meriah dengan kehadiran dia.

"Sebab itu saya ajak dia untuk buat lagu raya bersama. Malah, dia juga akan ada beberapa rakaman lagu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain