suria

Ahmad Idham nafi cemburu, tegaskan isu trafik demi keselamatan anak istimewa

Ahmad Idham nafi iri hati dengan perniagaan diusahakan usahawan lain.

PENGARAH Dr Ahmad Idham menafikan dakwaan kononnya sengaja membangkitkan isu kesesakan lalu lintas kerana cemburu terhadap perniagaan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri.

Ahmad Idham atau Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 52, menjelaskan teguran yang dibuat sebelum ini adalah semata-mata kerana faktor keselamatan, khususnya melibatkan anak-anak istimewa di pusat pendidikan khas yang diusahakannya di kawasan berkenaan.

Kata Ahmad Idham, peningkatan trafik sejak beberapa bulan kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan kerana terdapat individu yang meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga menghalang laluan serta pagar sekolah.

"Apabila kita bercakap fasal anak istimewa bermaksud saya perlu menitik beratkan isu keselamatan. Jadi apabila saya melihat dua, tiga bulan ini trafik makin banyak di premis saya dan semakin hari semakin ramai orang tidak bertamadun suka parking menghalang laluan lalu lintas dan pagar sekolah saya, bayangkan kalau awak berada di tempat saya. 

Ahmad Idham (kiri) mengusahakan sekolah pendidikan khas buat kanak-kanak istimewa. 

"Kalau ada kecemasan anak-anak istimewa ini saya tidak boleh bawa mereka ke hospital disebabkan ada sikap orang tidak bertanggungjawab menghalang laluan, apa awak nak buat?

"Ini bukan isu dengki tak dengki, ini bukan isu sebab orang itu lebih kaya perniagaannya lebih bagus. Tak ada kena mengena," katanya. 

Ahmad Idham berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya. 

Dalam pada itu, Ahmad Idham berkata pusat pendidikan khas yang diusahakannya bukanlah semata-mata untuk keuntungan, sebaliknya bertujuan membantu kanak-kanak istimewa seperti anak-anak autism, ADHD dan sindrom down.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Idham minta maaf, nafi serang mana-mana peniaga isu trafik

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri hormat Ahmad Idham, sedia bersemuka bincang isu parkir... “Premis kami cuma 10 langkah”

"Perniagaan yang saya buat ini sebenarnya adalah untuk membantu orang. Saya cakap terus terang, semua orang dalam sekolah itu adalah orang berkemampuan tetapi ada juga yang tidak mampu saya ambil untuk belajar di situ. 

"Dalam masa saya tolong carikan penaja untuk mereka. Perniagaan saya memang tak besar mana pun. Ya perniagaan saya ni takkan mampu untuk beli bangunan harga berjuta ringgit. 

"Tapi kita kena ingat tak semua orang berniaga hanya untuk mengejar kekayaan. Ada orang berniaga demi mengejar keberkataan dan nak bantu orang lain," ujarnya.  

Mengulas dakwaan segelintir pihak yang berpendapat lokasi perniagannya di Kota Damansara, Petaling Jaya tidak sesuai untuk dijadikan sekolah, Ahmad Idham memaklumkan pusat pendidikan khas itu telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum beroperasi.

"Jadi harap anda semua faham premis yang saya ada itu bukanlah untuk menjalankan perniagaan secara komersial tetapi lebih kepada supaya ada ruang untuk saya bantu lebih ramai ibu bapa dan anak-anak istimewa. 

Ahmad Idham memberi teguran kepada pemandu tidak bertanggungjawab.

"Kalau itu pun di mata anda semua salah, saya minta maaf. Kalau tanya saya, kenapa buka di premis itu kerana lokasinya sesuai. 

"Ketika saya buka pun dah dapat kelulusan daripada bomba, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia. Jadi kalau dah diizinkan kenapa saya tak boleh buka di kawasan itu? Mestilah saya nak buat di tempat besar juga supaya lebih ramai orang saya boleh bantu," katanya. 

Sebelum ini, Ahmad Idham berkongsi gambar dan video keadaan di kawasan sekitar Kota Damansara, Selangor yang sesak sehingga terpaksa mendapatkan bantuan pihak berkuasa tempatan bagi mengawal lalu lintas. 

Hantaran tersebut mendapat respons usahawan Aliff yang merasakan tempias kerana wisma perniagaannya terletak di lokasi sama.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain