suria

Intan Maya terkejut penyanyi asal Cinta Tersimpul Rapi ‘follow’ Instagram... “Maksudnya saya diterima kak Anis”

Intan (kiri) menyanyi semula lagu Cinta Tersimpul Rapi nyanyian asal Anis.

PENYANYI baharu, Intan Maya mengakui terkejut apabila pelantun  asal lagu Cinta Tersimpul Rapi, Anis Suraya mengikuti akaun Instagram miliknya.

Intan Normayasari, 25, berkata tindakan itu seolah-olah menjadi satu tanda positif bahawa Anis menerima usahanya dalam menghidupkan semula lagu tersebut.

Kata Intan, dia berhasrat untuk bertemu dengan Anis bagi mendapatkan tunjuk ajar serta berkongsi pengalaman dalam industri muzik.

Intan mahu menimba ilmu nyanyian daripada Anis.

"Kalau ikutkan memang saya nak jumpa kak Anis. Saya masih baru dan dia (Anis) orang lama, banyak perkara saya nak belajar. 

"Saya tak pernah bertemu dengannya tetapi dia ada follow saya di Instagram. Saya terkejut, maksudnya saya pun diterima oleh penyanyi asal. 

"Kalau dapat peluang saya memang nak sangat berjumpa dengannya," katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Cinta Tersimpul Rapi versi AI diturunkan, Jane In Heaven akur isu hak cipta

ARTIKEL BERKAITAN: Anis Suraya enggan kembali ke dunia seni, impian peminat lihat sertai Gegar Vaganza tidak akan berlaku

Intan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama SRC yang diadakan di Kopi & Studio, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada Jumaat. 

Mengulas mengenai kritikan diterima selepas menyanyikan semula lagu Cinta Tersimpul Rapi, Intan mengakui dia berasa sedih kerana usahanya tidak diterima sepenuhnya oleh sesetengah pihak.

"Lagu baru keluar dua hari, tapi saya dah kena kecam. Saya senyap, menangis sebab saya dah cuba buat yang terbaik tetapi kena kecam teruk. 

Saya tak pernah bertemu dengannya tetapi dia (Anis) ada follow saya di Instagram.

INTAN MAYA

PENYANYI

"SRC panggil saya bagi semangat. Mereka kata tak mengapa buat saja, saya boleh. Mungkin ini jalan saya mana tahu orang lebih kenal. 

"Saya baca komen netizen, sedih tu memanglah tapi kita ambil positif saja. Ada yang cakap suara saya sengau. Saya pun terfikir sengau sangat ke sebab ramai orang cakap macam itu," ujarnya. 

Meskipun menerima kecaman hebat, Intan memberitahu masih ramai memberikan sokongan terhadapnya selain jumlah pengikut di media sosial semakin bertambah. 

"Dalam ramai yang mengecam tetapi pengikut di media sosial makin bertambah. Di ruangan komen memang ramai kecam tetapi di mesej peribadi (DM) masih ramai juga yang menyokong. 

Nyanyian Intan menerusi lagu Cinta Tersimpul Rapi menerima pelbagai reaksi netizen.

"Mereka (peminat) beri semangat minta saya tidak baca komen negatif. Alhamdulillah daripada situ beri semangat untuk saya buat lebih baik," katanya. 

Sebelum ini, versi 'groovy pop' lagu Cinta Tersimpul Rapi yang dimuat naik oleh individu dikenali sebagai Jane In Heaven terpaksa diturunkan kerana isu hak cipta. 

Lagu tersebut kemudiannya dinyanyikan semula oleh Intan, namun menerima pelbagai reaksi netizen yang membandingkan nyanyiannya dengan versi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain