suria

Muhammad semakin berselera makan, sebut huruf dengan jelas... Diana Danielle kongsi perkembangan kesihatan anak

Diana kongsi tahap kesihatan anaknya.

PELAKON Diana Danielle meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatan anak lelakinya, Muhammad, yang sebelum ini mengalami lumpuh muka, kini semakin menunjukkan perkembangan positif.

Diana, atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 35, berkata Muhammad sudah mampu tersenyum dan menyebut beberapa huruf dengan jelas selain selera makannya yang semakin bertambah baik.

“Kepada semua yang mengambil berat tentang keadaan Moe (panggilan Muhammad), saya ingin kongsikan perkembangan terbaharu. Dia sudah boleh senyum, cuma matanya masih belum boleh ditutup rapat sepenuhnya. Tidak mengapa, yang penting ada kemajuan.

Muhammad menjukkan perubahan yang baik.

“Moe juga turun banyak berat badan sepanjang tiga minggu dia demam. Sekarang, alhamdulillah, selera makannya sudah kembali dan dia mula makan dengan banyak.

“Sekarang dia sudah boleh sebut huruf-huruf yang sebelum ini susah untuk disebut. Bibirnya juga sudah boleh dirapatkan dan ekspresi wajahnya semakin jelas,” katanya menerusi Instastory miliknya.

Menurut Diana, perubahan tersebut sangat ketara jika dibandingkan dengan keadaan Muhammad ketika menerima rawatan di hospital minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Diana Danielle kongsi keadaan anak alami lumpuh muka secara tiba-tiba… “Terdapat beberapa perkataan Muhammad tidak dapat sebut”

ARTIKEL BERKAITAN: “Zaman saya ke KLCC pun dah seronok” - Diana Danielle terkedu lawatan sekolah anak ke Switzerland

Katanya, dia kini kerap menemani anaknya melakukan senaman wajah sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.

“Ini keadaan dia pada hari kami ke hospital. Saya minta dia gerakkan bibir, tetapi dia tidak boleh. Beza sangat dalam masa kurang daripada seminggu. Alhamdulillah.

“Bukan bibir sahaja yang terkesan, kening dan mata pun sama. Sekarang kami fokus buat senaman muka supaya dia boleh pulih sepenuhnya,” jelasnya.

Keadaan Muhammad semasa dihantar ke hospital.

Dalam pada itu, Diana turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa peka terhadap tahap kesihatan anak-anak kerana penyakit yang kelihatan ringan boleh menjadi serius jika tidak diberi perhatian awal.

“Apa yang bermula sebagai batuk dan selesema boleh bertukar menjadi perkara lain. Tolong jaga anak-anak anda. Demam virus ini boleh menjadi berbahaya dan memang perlu dilawan habis-habisan,” luahnya.

Pada Isnin lalu, Diana memaklumkan anaknya mengalami lumpuh muka atau facial paralysis selepas diserang demam virus.

Katanya, doktor yang merawat mengesyaki keadaan tersebut berpunca sama ada daripada Guillain-Barré Syndrome (GBS) atau Bell’s Palsy.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain