suria

Produksi berani ambil risiko, ‘Ustaz Irfan’ angkat nama Firdaus Karim... Titip nasihat buat pelakon baharu

Firdaus menzahirkan penghargaan atas kepercayaan diberikan pihak produksi.

PELAKON Firdaus Karim menyifatkan penglibatannya dalam drama Doa Yang Terlindung sebagai satu pengalaman berharga yang hadir bersama tanggungjawab besar.

Firdaus, 44, berkata peluang yang diberikan kepadanya merupakan satu kepercayaan daripada pihak produksi yang berani mengambil risiko dengan memberi ruang kepada bakat baharu dalam karya berkenaan.

“Ini kali pertama saya terlibat dalam dunia drama TV perdana. Saya menggalas tanggungjawab untuk membantu menjayakan naskhah bersama para pemain yang berpengalaman dalam drama perdana.

Watak Ustaz Irfan berjaya mencuri perhatian ramai.

Watak Ustaz Irfan berjaya mencuri perhatian ramai.

“Terima kasih kepada pihak produksi dan semua yang terlibat kerana berani mengambil risiko melibatkan saya untuk membawakan watak ini,” katanya.

Firdaus berkongsi perkara tersebut menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Mengulas sambutan penonton terhadap Doa Yang Terlindung, Firdaus menyifatkan penerimaan tersebut sebagai satu refleksi penting kepada industri hiburan agar lebih terbuka dalam memberi peluang kepada bakat-bakat baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hero diejek tak kacak, Fasha Sandha pertahankan Firdaus Karim - “Beri dia peluang”

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Dilabel wajah ‘berkerak’ dan tidak komersial, juara Hero Remaja 2021 Mierul Aiman anggap kacak itu subjektif!

Firdaus turut menitipkan kata-kata semangat buat rakan seperjuangan yang masih berusaha mendapatkan peluang dalam industri seni.

“Terima kasih atas sambutan luar biasa terhadap naskhah Doa Yang Terlindung. Semoga naskhah ini memberi manfaat, teladan dan sempadan buat kita semua.

“Sambutan ini juga merupakan satu refleksi positif buat stesen TV dan pihak produksi di luar sana agar lebih terbuka, yakin dan berani bekerjasama dengan pemain-pemain baharu yang ada.

Firdaus memberi semangat untuk pelakon baharu terus berkarya.

Firdaus memberi semangat untuk pelakon baharu terus berkarya.

“Pintu sudah diketuk dan dibuka, impaknya sudah terpampang di depan mata. Fenomena sedang terukir. Ayuh, teman-teman seperjuangan yang masih bergelut mencari peluang, kita teruskan perjalanan ini bersama,” ujarnya.

Sebelum ini, Firdaus menjadi bualan netizen apabila segelintir pihak menganggap dirinya kurang sesuai untuk memegang watak utama dalam drama Doa Yang Terlindung.

Bahkan, ada yang memperkecilkan rupa parasnya sehingga berpendapat watak Ustaz Irfan seharusnya dibawakan oleh pelakon yang berwajah lebih kacak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain