suria

[VIDEO] Dilabel wajah ‘berkerak’ dan tidak komersial, juara Hero Remaja 2021 Mierul Aiman anggap kacak itu subjektif!

PERNAH dilabel wajah berkerak dan tidak komersial, juara Hero Remaja 2021 Mierul Aiman berpendapat ketampanan seseorang individu bukan terletak hanya pada wajah semata-mata.

Mierul atau nama sebenarnya Muhammad Amirul Aiman Norazman berkata, ia sesuatu yang subjektif untuk dinilai, malah personaliti dan ilmu juga boleh dilihat sebagai kecantikan seseorang individu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hero Remaja 2021 dilabel wajah ‘berkerak’, Michael Ang tak syok peserta pakai face mask - “Orang nak tengok muka!”

“Cantik dan kacak ini subjektif, lain orang lain pendapat. Bagi saya, cantik ni datangnya daripada personaliti, attitude, skill dan ilmu yang kita bawa.

“Sebagai juara Hero Remaja, saya akan cuba dan berusaha menjadi teladan yang terbaik kepada masyarakat, bukan sahaja itu, malah mahu menjadi lebih baik untuk diri sendiri” ujarnya kepada mStar.

Barisan pemenang Hero Remaja 2021

Dari kiri Afiq Hamidon, Aqil Taqee, Mierul, Fazziq Muqris dan Syazani.

Jejaka berusia 23 tahun ini mengulas kritikan penerbit popular Micheal Ang yang sebelum ini menyifatkan peserta Hero Remaja 2021 gagal menepati standard yang diharapkan penggiat seni.

Menerusi laporan mStar sebelum ini dia mengharapkan para peserta yang dipilih mempunyai wajah dan perwatakan menarik untuk diketengahkan sebagai pelapis dunia hiburan.

Mierul ditemui pada sidang media penutup Hero Remaja 2021 yang diadakan di Karangkraf, Shah Alam pada Isnin.

Rancangan pencarian bakat itu melabuhkan tirai pada Sabtu dengan mengumumkan Mierul Aiman juara untuk musim ini dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Naib Juara dimenangi oleh Aqil Taqee, 22, dan Fazziq Muqris, 21, di tangga ketiga, manakala Syazani, 19, dipilih sebagai Hero Favourite.

Cantik dan kacak ini subjektif, lain orang lain pendapat. Bagi saya cantik ni datangnya daripada personaliti, attitude, skill dan ilmu yang kita bawa.

MIERUL

JUARA HERO REMAJA 2021

Dalam pada itu, ditanya mengenai kesediaannya berdepan asam garam industri seni, Mierul berkata dia sudah menyiapkan diri untuk dikritik jika melakukan sesuatu kesalahan.

Tambahnya, mungkin apa yang ditegur oleh netizen atau mana-mana pihak nanti mampu memberi kebaikan kepada dirinya pada masa akan datang.

"InsyaAllah, saya akan lebih berhati-hati tetapi kita hanya manusia biasa yang tak lari daripada kesilapan. Mereka yang melihat dan menilai juga ada akal fikiran, mungkin saya akan melakukan sesuatu perkara tanpa berfikir, jika ditegur saya perlu perbaiki,” ujarnya.

Sementara itu, pemenang tempat kedua Aqil Taqee yang berasal daripada Kuala Lumpur berkata, dia mempunyai perancangan untuk mengasah bakatnya dalam bidang lakonan.

Aqil Aqee, naib juara dan pemengang Hero Inspirasi Hero Remaja 2021

Aqil Taqee mahu asah bakat sebagai pelakon.

Aqil berkata, dia menjadikan pelakon Amirul Affendy sebagai idolanya untuk dijadikan contoh.

"Saya mahu menceburi bidang lakonan biarpun saya seorang pendiam tapi apabila dapat tugasan untuk berlakon saya yakin boleh melakukannya dengan baik.

"Saya menjadikan pelakon berbakat besar Amirul Affendy sebagai idola kerana saya lihat dia seorang yang versetail dan berjaya menyampaikan sesuatu watak dengan berkesan," ujarnya.

Sementara itu, pemenang tempat ketiga iaitu Fazziq Muqris berkata, dia melihat dirinya mempunyai potensi dalam bidang pengacaraan.

Kata Fazziq, kekurangan pengacara lelaki berbanding wanita memberi peluang besar kepadanya untuk menjadi pelapis.

Pemenang tempat ketiga, Fazziq.

Fazziq mahu cuba bidang pengacaraan.

Pelajar dalam bidang Komunikasi dan Multimedia di University of Wollongong (UOW) Malaysia KDU, Petaling Jaya ini berkata, dia juga terbuka untuk menerokai bidang lakonan jika berpeluang.

"Saya melihat kurang pengacara lelaki membuatkan saya ingin mencuba bidang ini bagi menjadi pelapis.

"Namun saya juga ingin mencuba pelbagai bidang seni lain seperti lakonan yang mana bagi saya agak mencabar," ujarnya.

Selain itu, Fazziq berharap perjalanan dalam bidang seni berjalan lancar dan tidak terpalit dengan mana-mana kontroversi yang menjejaskan namanya.

Jika ada sekalipun, katanya, biarlah kontroversi viral tersebut bersifat positif dan baik-baik sahaja.

Program pencarian bakat Hero Remaja 2021 bermula pada 11 September lalu yang menampilkan 12 peserta merebut gelaran juara bagi edisi ke-11.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain