suria

Naik pelamin selepas dua tahun kahwin, Safee Sali hargai pengorbanan isteri… Setia bersama lalui fasa terendah dalam hidup

Safee hargai pengorbanan isteri selama mereka bersama.

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Safee Sali memberikan penghargaan istimewa kepada isterinya, Intan Syafinaz sempena sambutan ulang tahun perkahwinan kedua mereka yang berlangsung di Glasshouse at Seputeh, Kuala Lumpur, pada malam Isnin.

Menerusi ucapan penuh romantis, Safee atau Mohd Safee Mohd Sali, 42, menyifatkan Intan sebagai individu yang setia meskipun melalui fasa paling sukar dalam kehidupan, termasuk saat terpaksa membina semula hidup daripada titik permulaan.

“Intan memilih untuk berjalan bersama saya ketika saya bermula daripada kosong. 

Safee ketika memberi ucapan penghargaan buat isterinya.

“Kami sama-sama membina langkah demi langkah untuk sebuah perjalanan seumur hidup,” katanya ketika berucap.

Lebih menyentuh perasaan, Safee mengakui Intan menerima dirinya dengan ikhlas termasuk segala kekurangan dan sisi yang tidak sempurna.  

Walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk pernah hampir berputus asa dalam hidup, kata Safee, dia kini membawa satu niat yang lebih besar iaitu ingin memberi manfaat kepada orang lain.

“Intan menerima saya bukan sebagai seseorang yang sudah sempurna, tetapi sebagai pelajar seumur hidup.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Terbuka berbincang dengan bekas isteri, Safee Sali lebih selesa bercakap depan hakim di mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bekas isteri ke kondominium gagal jumpa 2 anak tapi terserempak Safee Sali bersama bini baharu - “Saya merayu, mereka buat tak tahu”

“Sebagai seorang lelaki yang masih belajar, mencari nilai selain berusaha menjadi lebih baik hingga ke hari ini.

“Walaupun ada hari-hari saya hampir berputus asa, hari ini saya berdiri dengan satu niat yang tulus, iaitu untuk melakukan apa yang belum sempat saya lakukan. Bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk orang lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Safee turut menyifatkan hubungan mereka bukan sekadar ikatan suami isteri, sebaliknya terjalin atas dasar sokongan dan perjuangan bersama dalam membina kehidupan.

Menurutnya, apa yang dibina bersama Intan bukan hanya tertumpu kepada soal perniagaan, malah lebih besar daripada itu apabila mereka berusaha mewujudkan sebuah komuniti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Intan memilih untuk berjalan bersama saya ketika saya bermula daripada kosong. 

SAFEE SALI

BEKAS PEMAIN BOLA SEPAK KEBANGSAAN

“Dalam membina kehidupan ini, kami bukan hanya membangunkan sebuah bisnes, tetapi membina sebuah komuniti.

Safee dan Intan sudah dua tahun bergelar suami isteri.

“Sebuah tempat untuk anak-anak belajar tentang adab dan keyakinan diri, tempat ibu bapa menaruh harapan dan tempat semua pihak belajar untuk saling memberi dan menerima,” jelasnya.

Untuk rekod, Safee mendirikan rumah tangga dengan Intan Syafinaz pada 26 Januari 2024. 

Ini merupakan perkahwinan ketiga Safee selepas dua kali melalui episod perceraian.

Artikel Lain