suria

Lambang perjalanan kerjaya seni, menyanyi atas kren kenangan indah buat Siti Nurhaliza

Siti membuat kejutan memulakan persembahan menyanyi di atas kren.

PERSEMBAHAN menyanyi di atas kren ketika Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza menjadi satu momen ikonik bagi Biduanita Negara itu, termasuk peminat yang hadir.

Bagi Datuk Seri Siti Nurhaliza, 47, ia bukan sekadar kenangan indah buat dirinya, malah pemilihan konsep sebegitu memberi makna tersendiri dalam perjalanan kerjaya seni.

Setiap gerakan ketika berada di atas kren itu bagaikan gambaran cabaran serta kemanisan sepanjang perjuangannya dalam industri muzik.

"Kren itu adalah lambang perjalanan saya. Bermula di bawah, mendaki sedikit demi sedikit, mencabarnya kala ke kiri.

Siti berkongsi persiapan rapi sebelum konsert. 

"Beronaknya kala ke kanan dan menghela nafas di tengah persimpangan, lalu terus mencari tempat untuk merasakan damainya sebuah impian," katanya.

Siti berkongsi coretan itu dalam satu hantaran di Instagram sebagai kenangan menjayakan konsert yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Stadium Nasional Bukit Jalil jadi saksi 65,000 penonton bangun berjoget lambak di Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza 

ARTIKEL BERKAITAN: Lautan biru dan sorakan setia peminat dari seluruh rantau Asia, Siti Nurhaliza berdiri megah dengan tenaga luar biasa

Dia turut memuat naik beberapa keping gambar persediaan untuk segmen tersebut sebelum acara konsert berlangsung.

Berkongsi lanjut, Siti turut mengungkap kata-kata indah tentang bagaimana setiap cabaran yang dilalui memberi pengajaran besar buatnya untuk terus bertahan.

"Banyak yang saya belajar. Semakin kita berada di atas, semakin hebat dan kuatnya angin untuk terus bertahan.

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza jadi kenangan indah buat peminat. 

"Lalu kita tetap menginjak bumi, itulah yang paling selesa untuk terus berbakti dengan cara kita sendiri," luahnya.

Pada acara konsert tersebut, Siti memulakan persembahan dengan menyanyi di atas kren, menyampaikan lagu-lagu popular Purnama Merindu dan Dialah Di Hati.

Konsert itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila menghimpunkan lebih 65,000 penonton.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain