DIGANGGU kejadian mistik ketika menjalani penggambaran filem Banduan pada tengah malam memberi cabaran baharu buat pengarah Kroll Azry.
Menurut Kroll, kejadian itu berlaku ketika mereka menjalani penggambaran di Pulau Carey dan Kapar, Selangor apabila lori produksi yang digunakan tiba-tiba tidak berfungsi sekitar pukul 2 pagi.
“Kami biasanya mula penggambaran sekitar pukul lapan malam, tapi setiap kali masuk pukul dua pagi, lori yang digunakan 'meragam' atau enjin tiba-tiba mati.

Kroll kongsi detik mendebarkan apabila diganggu.
“Saya sampai terpaksa ‘pujuk’ lori itu untuk hidup semula, tapi tetap tak jalan,” katanya kepada mStar.
Tambah Kroll, lori berkenaan dibeli secara terpakai dari Kelantan dan telah diubah suai untuk kegunaan penggambaran, namun insiden yang berlaku berulang kali itu menyebabkan mereka mengalami kerugian kira-kira RM50,000.
“Dah tukar pelbagai komponen baru pun tetap jadi benda sama. Bila hantar bengkel semua okay, tapi bila sampai set penggambaran, meragam balik,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tular kelibat kru dalam filem Telaga Suriram, Ellie Suriaty anggap kesilapan manusia
ARTIKEL BERKAITAN: Ejen Ali The Movie 2 ke Jepun, jadi tumpuan dalam seminar ASEAN Animations
Disebabkan gangguan berterusan itu, Kroll turut memanggil beberapa pengamal perubatan Islam bagi membantu melancarkan urusan penggambaran, namun keadaan masih tidak berubah.
“Saya panggil ustaz tapi tetap berlaku lagi. Penduduk sekitar pula kasihan tengok kami, mereka sampai panggil bomoh India dan Orang Asli untuk bantu tapi semua tak berhasil.
“Kadang lori tak boleh hidup sampai dua hari, memang tergendala habis kerja,” katanya lagi.
Lebih menakutkan, Kroll mendedahkan salah seorang kru turut diganggu sehingga berkelakuan aneh dan kerap muntah sepanjang berada di lokasi penggambaran.

Aaron bawa watak sebagai Dali.
“Masa di Pulau Carey ada seorang kru duduk seorang diri, tiba-tiba dia senyap dan esoknya mula muntah-muntah. Bila lori dah elok, van pula rosak dan semuanya jadi sekitar pukul dua pagi. Memang misteri,” jelasnya.
Filem Banduan merupakan adaptasi daripada filem popular India Kaithi (2019) yang mengisahkan seorang bekas banduan, Dali berjuang demi kelangsungan hidup sambil cuba bertemu anak perempuannya buat kali pertama.
Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Rosyam Nor, Afdlin Shauki, Fadhli Masoot, Esma Daniel, Dayang Areeda dan ramai lagi.
Banduan bakal menemui penonton di seluruh pawagam bermula 6 November ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


