FILEM animasi Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila menerima jemputan ke Tokyo International Film Festival Content Market 2025 (TIFFCOM 2025) yang berlangsung dari 29 hingga 31 Oktober 2025 di Tokyo, Jepun.
Berada dalam senarai empat teratas filem tempatan paling laris, EATM2 turut dinobatkan sebagai animasi paling berjaya dalam sejarah Malaysia.
Lebih menarik lagi, filem ini bakal menjadi tumpuan utama dalam seminar Soaring Dreams in ASEAN Animations yang akan diadakan sempena festival tersebut.

Puan Nini ketika hadir di TIFFCOM 2025.
Kejayaan ini sekali gus membuktikan bahawa industri animasi Asia Tenggara kini semakin berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa, setanding dengan produksi dari negara lain.
Menurut Nini Yusof selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, dia antara individu yang melihat perjalanan Ejen Ali dari idea tempatan sehingga berkembang menjadi jenama mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.
Katanya, antara momen meresahkan hati adalah apabila tayangan EATM2 berlangsung serentak dengan filem Hollywood Mission Impossible: The Final Reckoning pada Mei lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Ejen Ali The Movie 2’ kutip RM40.6 juta dalam masa 13 hari tayangan, filem animasi nombor satu di Malaysia
ARTIKEL BERKAITAN: Kutip RM15.3 juta dalam 4 hari, ‘Ejen Ali The Movie 2’ bukti filem animasi tempatan semakin hebat
“Kami agak bimbang kerana Ejen Ali ditayangkan pada waktu sama dengan Mission Impossible. Kami fikir mungkin mustahil untuk bersaing kerana penonton perlu pilih sama ada Ejen Ali atau Ejen Ethan Hunt.
"Namun ternyata, Malaysia memilih Ejen Ali. Kami amat berterima kasih atas sokongan luar biasa semua peminat,” katanya.
Selain tiket habis terjual, lebih 30,000 barangan merchandise turut licin sekali gus membuktikan potensi komersial francais ini yang besar, seakan fenomena jualan barangan anime dan manga di Jepun.

Ejen Ali bakal berkembang ke pasaran antarabangsa.
Susulan itu, dia berharap agar selepas ini akan terjalin kolaborasi antara Malaysia dan Jepun untuk memperkaya mutu penceritaan serta pembangunan karakter animasi.
Dia juga percaya walaupun Ejen Ali dilahirkan di Malaysia namun mempunyai misi membawa animasi tempatan ke pasaran antarabangsa.
“Kami mahu belajar daripada Jepun yang terkenal dengan kekuatan storytelling mereka. Dengan pengalaman ini, kami berharap dapat terus menarik penonton baharu tanpa mengabaikan peminat sedia ada,” ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


