suria

Rahmat Ekamatra aktif menyanyi di Johor, sertai GV12 untuk lebih dikenali

Rahmat tidak pernah tinggalkan dunia seni.

LAMA tidak tampil membuat persembahan dalam acara besar atau program televisyen, penyanyi Rahmat Ekamatra memberitahu dia sebenarnya masih lagi aktif dalam duani seni. 

Bukan sekadar dijemput menyanyi dalam majlis makan malam, Rahmat atau Engku Rahmat Engku Ismail, 57, juga banyak terlibat dengan kerja di belakang tabir. 

Malah dia sendiri masih lagi menghasilkan lagu-lagu baharu untuk penyanyi muda selain sibuk dengan syarikat produksi yang beroperasi di Kota Tinggi, Johor. 

Rahmat mahu karyanya terus dikenali. 

"Saya banyak terlibat dengan kerja dalam studio. Saya buat lagu untuk penyanyi baru dan uruskan produksi sendiri. Jemputan untuk buat persembahan pada majlis makan malam masih ada, cuma tiada persembahan program televisyen. 

"Saya memang minat dengan kerja-kerja rakaman. Sekarang banyak terlibat di belakang tabir," katanya. 

Terbaharu Rahmat bakal bersaing sebagai salah seorang peserta program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang bakal memulakan siaran pada Ahad. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Nubhan perjelas dakwaan miliki rumah lain di Dengkil, ada sebab asingkan diri 

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan sertai GV12 di saat rumah tangga bergolak, Mark Adam dan Usop Wilcha antara peserta bertanding

Ditanya apa alasan utama dia menerima tawaran itu, Rahmat berkata, GV12 adalah platform terbaik untuk memperkenalkan karya-karya ciptaannya agar terus mendapat perhatian ramai. 

"GV12 ini boleh jadi platform untuk saya perkenalkan diri. Orang boleh tahu lagu-lagu saya dan artis yang pernah saya bekerjasama. 

"Kalau boleh tak mahu orang lupa dan mungkin selepas ini lebih banyak produk saya boleh diteruskan," ujarnya. 

Rahmat sedia bersaing di pentas GV12. 

Selain Rahmat penyanyi lain yang juga menyertai GV12 ialah Datuk Elaine Kang, Korie, Mell Sakura, Krisya, Mark Adam, Shy8, Nubhan dan kumpulan duo Freshies. 

Turut bersaing dari Indonesia, Shae, Ruri Repvlik dan kumpulan Duo selain Iskandar Ismail dari Singapura. 

Bercakap tentang saingan di pentas GV12, Rahmat akur dan sedia menerima sebarang kritikan daripada barisan juri untuk memperbaiki mutu persembahan. 

"Kita semua ada kelemahan. Kalau dikritik maknanya untuk beritahu kelemahan," jelasnya. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain