suria

Puteri Rafasya trauma insiden kerusi ditarik di set penggambaran, masih belum boleh angkat berat

Puteri sentiasa berjaga-jaga sekiranya berada di set penggambaran.

PELAKON remaja, Puteri Rafasya mengakui masih trauma selepas terbabit dalam kemalangan di set penggambaran dua tahun lalu.

Puteri, 14, berkata setiap kali kembali ke lokasi penggambaran, dia berasa bimbang dan sentiasa berhati-hati bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Saya masih trauma, terutama bila masuk set penggambaran semula. Sebelum kejadian saya langsung tak ada fikiran negatif.

Puteri memenangi pelakon kanak-kanak harapan di FFM34.

“Tapi sekarang setiap kali berada di set, saya akan lebih berjaga-jaga dan berhati-hati,” katanya kepada mStar.

Puteri ditemui ketika menghadiri Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang berlangsung di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Menurutnya, dia juga enggan mengenang kembali detik hitam yang pernah menjejaskan tahap kesihatannya itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Tahap kesihatan pelakon cilik Puteri Rafasya makin buruk, ibu kesan keluar cecair merah seperti darah

ARTIKEL BERKAITAN: Tulang pinggul pelakon cilik Puteri Rafasya retak jatuh di lokasi penggambaran, terpaksa pakai lampin

“Kejadian itu berlaku semasa penggambaran dan saya tak nak ingat lagi. Sekarang saya masih dalam proses penyembuhan.

"Tapi sekarang ini saya dah sihat dan bertenaga selepas dapatkan rawatan doktor. Cuma saya masih belum boleh angkat berat lagi,” ujarnya.

Tambah Puteri, dia kini lebih menitikberatkan soal keselamatan ketika bekerja dan menasihati orang ramai agar lebih peka terhadap persekitaran masing-masing.

Keadaan Puteri selepas kemalangan dua tahun lalu.

“Jangan bergurau atau bergaduh secara kasar, terutama bila bekerja di set.

"Kadang-kadang, kita tak sedar pun benda itu. Jadi, kita kena lawan diri sendiri sebab manusia memang tak lari daripada melakukan kesilapan.

"Benda-benda negatif itu, syaitan yang menghasut maka kita kena sama-sama lawan," katanya lagi.

Untuk rekod, pada 2023, Puteri cedera ketika menjalani latihan bagi salah satu adegan drama Jaga Aku Selamanya selepas kerusinya ditarik oleh seorang kanak-kanak tidak dikenali.

Akibat kejadian itu, Puteri jatuh terduduk dan tidak dapat bergerak selain kakinya tidak boleh diluruskan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain