suria

Tulang pinggul pelakon cilik Puteri Rafasya retak jatuh di lokasi penggambaran, terpaksa pakai lampin

Puteri Rafasya dikejar ke hospital gara-gara jatuh terduduk.

PELAKON cilik Puteri Rafasya ketika ini terpaksa menggunakan lampin pakai buang selepas mengalami kecederaan apabila bahagian tulang pinggulnya retak dalam kemalangan ketika penggambaran drama.

Ibunya Fatin Aliza Salmi, 33, berkata, dalam kejadian 22 Februari lalu itu, anaknya sedang berlatih salah satu adegan dalam drama Jaga Aku Selamanya sebelum kerusinya ditarik seorang kanak-kanak tidak dikenali.

"Puteri dan beberapa pelakon kanak-kanak lain serta pengarah sedang membuat latihan sambil duduk atas kerusi. Masa dia berdiri dan hendak duduk semula, tiba-tiba ada seorang budak tidak sepatutnya berada di lokasi penggambaran menarik kerusinya.

Puteri Rafasya menangis semasa dirawat di hospital.

"Anak saya jatuh terduduk sampai tidak boleh bergerak selain kakinya tidak boleh diluruskan," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Fatin berkata, pihak produksi ada membawa anaknya ke sebuah klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan namun selepas beberapa hari Puteri tidak mampu bergerak sehingga perlu dibawa ke hospital.

Cerita Fatin lagi, keadaan Puteri bertambah parah sehingga terpaksa memakai lampin pakai buang disebabkan sukar bergerak untuk ke tandas.

ARTIKEL BERKAITAN: “Lakonan dan disiplin lebih bagus daripada segelintir pelakon dewasa”- Beto Kusyairy puji bakat pelakon cilik

ARTIKEL BERKAITAN: “Artis Hollywood tengok pelakon Malaysia tabik spring”... Aida Aris tak sanggup tonton video Fasha Sandha cedera

"Selepas membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dia memberitahu tidak boleh buang air kecil sehingga terpaksa memakai tiub tetapi sekarang Alhamdulillah dia sudah pulang ke rumah.

"Bagaimanapun doktor berpesan sekiranya dia mengalami kebas kaki kena datang semula ke hospital," jelasnya.

Sementara itu, Fatin berkata, dia kecewa apabila ibu bapa kanak-kanak tersebut bersikap lepas tangan malah mengugut dirinya meskipun kejadian itu bukan berpunca daripada anaknya.

Keadaan Puteri Rafasya semasa terima rawatan di hospital.

"Kanak-kanak itu tidak sepatutnya berada di set dan ibu bapanya bersikap lepas tangan selepas kejadian malah ingin menyaman saya pula!

"Pihak produksi pula ada bertanya khabar tapi sekadar itu sahaja. Saya ada bertanya fasal insurans di lokasi tetapi tiada sebarang maklumat mengenainya.

"Pun begitu mereka ada memohon maaf atas kecuaian yang berlaku malah ada datang menziarahi Puteri di rumah," katanya.

Puteri sebelum ini pernah membintangi beberapa buah drama seperti Rindu Awak Separuh Nyawa, Derita Untuk Bahagia, 7 Hari Mencintaiku 2 dan Vila Ghazara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain