suria

“Lepaskan sahaja pada saya” - Azhan Rani lapang dada dituduh penyebab Fasha Sandha cedera, raikan kecaman dan tohmahan

Azhan Rani melawat Fasha Sandha di hospital untuk mengetahui keadaannya.

PELAKON Azhan Rani berlapang dada menerima kecaman daripada peminat apabila ada segelintir pihak menyalahkan dia sebagai penyebab aktres Fasha Sandha mengalami kecederaan pada bahagian mata kirinya.

Azhan atau Azhan Abdul Rani, 47, berkata, dia tidak kisah akan perkara itu asalkan mereka turut menyelitkan doa buat Fasha agar diberikan kesembuhan segera daripada kecederaan dialami ketika melakonkan salah satu babak bersamanya menerusi drama Anak Tuan.

"Maaf saya tidak berminat hendak mengulas apa-apa buat masa ini, biar Fasha sendiri yang melakukannya selepas dia sihat dan pulih seratus peratus.

"Buat masa ini saya raikan sahaja apa juga pandangan, kecaman atau tohmahan. Lepaskan sahaja pada saya andai itu boleh melegakan... cuma jangan lupa titipkan doa buat sparing partner saya Fasha agar dia kembali pulih macam selalu," katanya.

Azhan bersama kru produksi melawat Fasha di hospital.

Azhan berkongsi perkara itu menerusi Instagram miliknya pada petang Jumaat yang turut memaparkan gambar Fasha sedang berehat di atas katil hospital ketika melawatnya di hospital.

Aktor itu turut meluahkan penghargaan kepada suami Fasha iaitu Aidil Aziz yang memberi layanan baik kepadanya dan beberapa kru produksi ketika lawatan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit-sakit pun nak kerja... Azhan Rani terkejut Fasha nak sambung berlakon, takut susahkan kru - “Mujur produksi tangguhkan babak”

ARTIKEL BERKAITAN: Babak bersama Azhan Rani bertukar tragedi, tulang mata kiri Fasha Sandha patah terhentak bucu katil

Menerusi perkongsian sama, Azhan turut memuat naik rakaman suara Fasha yang memaklumkan keadaan terkini dirinya termasuk menjelaskan situasi sebenar yang berlaku.

Dalam rakaman berkenaan, Fasha memohon orang ramai agar tidak meletakkan kesalahan kepada Azhan kerana apa yang berlaku adalah kemalangan.

"Abang jangan risau, orang kata abang tolak kuat tapi tak pun... video-video itu semua ada. Tak kuat pun abang tolak, andaian orang sahaja.

Kecederaan dialami Fasha agak serius.

"Orang bukan dalam industri tak tahu yang bukannya tolak betul-betul, cuma berlakon sahaja. Saya tolak badan cuma landing tempat salah.

"Benda dah jadi nak buat macam mana, tak perlu nak jelaskan panjang-panjang. saya tidak mahu orang salahkan abang, Insya Allah saya akan beri kenyataan dalam dua tiga hari ini," katanya.

Sebelum ini, Fasha dilaporkan mengalami kecederaan patah tulang mata kiri dan bebola mata bengkak selepas kepalanya terhentak di bucu katil ketika melakonkan babak aksi bersama Azhan.

Disebabkan kecederaan itu, aktres berkenaan dikejarkan dihospital untuk mendapatkan rawatan namun Fasha tidak menyalahkan mana-mana pihak malah berharap dapat meneruskan penggambaran dengan segera agar tidak mengganggu jadual ditetapkan produksi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain