suria

Adam Lee kekok isteri bantu memasak di dapur… Belajar turunkan ego sejak jadi suami

Adam dan Sweet belajar lebih bertolak ansur.

RESAM hidup berumah tangga, pelakon Adam Lee mengakui dia dan isteri iaitu Sweet Qismina juga pernah bergaduh meskipun baru empat bulan berkahwin.

Kata Adam atau Muhammad Arif Adam Mohd Fadlee, 29, perkara itu juga berlaku ketika mereka sedang dalam fasa bercinta namun kini dia lebih matang dan sudah mampu mengawal keadaan itu dengan baik.

"Memanglah pernah gaduh walaupun baru kahwin. Tapi sekarang ini tidaklah seperti masa bercinta dan bertunang... kalau dahulu memang akan rasa nak marah bila perempuan sahaja yang menang. Mungkin disebabkan itu adalah ego lelaki.

adam 3

Adam kini lebih matang menguruskan rumah tangga.

"Sekarang ini saya belajar untuk turunkan ego. Dalam masa sama sebagai lelaki kenalah sentiasa memberi nasihat kepada isteri tentang apa yang patut dan tidak.

"Apabila ditegur pula, kenalah jadi 'air' dan menerima. Janganlah jadi minyak yang menambah kemarahan," katanya kepada mStar.

Adam ditemui ketika sidang media Anugerah Drama Sangat (ADS) 2023 yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Bercakap tentang kehidupan baharu bersama isteri, Adam berkata ada masanya dia berasa kekok kerana sebelum ini sudah terbiasa menguruskan diri sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Adam Lee pernah tolak tawaran berlakon babak romantik, sudah jaga batas sebelum kahwin dengan Sweet Qismina

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Adam Lee dan Sweet Qismina sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz

"Saya ini memang jenis yang suka memasak. Jadi sekarang ini apabila hendak masak ada rasa kekok sedikit apabila ada yang membantu di dapur. Rasanya macam ada sahaja tidak kena.

"Soal anak pula memang kami tidak merancang. Kalau 'lekat' awal kami amat bersyukur. Kita hanya merancang, tetapi Allah lebih tahu yang terbaik untuk kami.

Sebagai lelaki kenalah sentiasa memberi nasihat kepada isteri tentang apa yang sepatut dan tidak.

ADAM LEE

PELAKON

"Perkahwinan ini bukan untuk tempoh singkat. Kami berjanji untuk hidup selama-lamanya. Kalau dalam tempoh lima tahun belum ada rezeki anak pun saya akan kecewa.

"Kalau orang tanya kita hanya jawab jujur tanpa perlu berkecil hati. Kita perlu lihat pasangan lain di sekeliling. Ada yang sudah lama berkahwin tapi masih belum di beri rezeki ke arah itu. Siapa kita untuk tentukan hal tersebut? Itu semua kerja Allah," jelasnya.

Sementara itu bercakap tentang pencalonan dalam kategori Pelakon Lelaki Popular bagi ADS2023, Adam tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

adam 2

Adam bersyukur tercalon di ADS2023.

"Semua yang tercalon ada peminat mereka sendiri. Jadi tidaklah terlalu meletak harapan tinggi untuk menang. Apa pun saya berterima kasih kepada semua yang menyokong," ucapnya.

Adam yang tercalon untuk drama Budak Tebing 2 turut mendapat saingan dari Redza Rosli (Kekasih Hati Mr Bodyguard), Shukri Yahaya (7 Hari Mencintaiku 3), Meerqeen (Melur Untuk Firdaus), Alif Satar (Risik Pada Hati), Aniq Suhair (Sekali Lagi Cinta Kembali), Aedy Ashraf (Bila Hati Memilih Dia), Andi Bernadee (Perisik Cinta Tak Diundang), Fattah Amin (Khilaf Asmara) dan Syafiq Kyle (Cinta Buat Dara).

Malam kemuncak ADS2023 akan berlangsung pada 12 Mac depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan bersiaran secara langsung di saluran TV3.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain