suria

[V] Nubhan perjelas dakwaan miliki rumah lain di Dengkil, ada sebab asingkan diri

PENYANYI Nubhan tampil menjelaskan dakwaan mempunyai sebuah rumah di Southville, Dengkil, Selangor selepas dibangkitkan isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek baru-baru ini. 

Kata Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahamad, 39, kediaman tersebut disewa selepas mengambil keputusan menetap di sana apabila timbul masalah dalam perkahwinan mereka. 

Menurutnya keputusan tinggal berasingan dibuat sebagai langkah terbaik bagi mengelakkan pertengkaran diketahui oleh anak-anaknya. 

Dr Afifah (kanan) dakwa tidak tahu kewujudan rumah di Dengkil. 

"Rumah itu saya tak beli tetapi sewa. Disebabkan apa yang berlaku, saya perlu asingkan diri. 

"Saya tak mahu apabila kami bergaduh, ia dilihat oleh anak-anak. Saya juga tak sanggup melihat mereka bersedih kerana boleh tinggalkan perkara buruk dalam ingatan. 

"Saya nak jaga emosi anak-anak dengan baik. Jadi saya keluar dari rumah supaya keadaan dapat dikawal. Saya tak mahu anak-anak rasa tertekan," katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan ada rumah di Dengkil tanpa pengetahuan isteri, kes cerai tangguh ke 2 Disember 

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami keluar makan malam, tiba-tiba Nubhan lafaz cerai” - Dr Afifah terkejut diuji kali kedua

Dalam prosiding pengesahan lafaz cerai yang berlangsung pada 16 Oktober lalu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor menetapkan kes ditangguhkan ke 2 Disember ini. 

Prosiding berkenaan antara lain membincangkan permohonan dikemukakan oleh pihak defendan, Dr Afifah bagi mengesahkan terlebih dahulu lafaz cerai kali pertama yang berlaku lapan tahun lalu serta proses rujuk selepas itu.

Permohonan itu perlu diselesaikan sebelum mahkamah mendengar kes pengesahan lafaz talak kedua yang didakwa berlaku pada 26 Ogos lalu.

Jadi saya keluar dari rumah supaya keadaan dapat dikawal

NUBHAN 

PENYANYI 

Selain itu, prosiding yang berlangsung turut menjelaskan persoalan mengapa kes tersebut difailkan di Mahkamah Syariah Sepang dan bukan di Seremban yang merupakan lokasi kediaman pasangan berkenaan.

Menurut keterangan di mahkamah, Nubhan mempunyai sebuah rumah di Southville, Dengkil, Selangor yang terletak dalam mukim Sepang, sekali gus memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah Sepang untuk mendengar kes berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan Dr Afifah tidak mengetahui tentang kewujudan rumah tersebut kerana menyangka ia merupakan rumah milik sepupu suaminya. 

Nubhan tidak mahu anak-anak terkesan dengan kes perceraian. 

Malah, Dr Afifah juga mengesahkan tidak pernah menjejakkan kaki ke kediaman itu sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

Sementara itu Nubhan juga sedar isu rumah tangga ini telah menjadi bualan ramai dan dia tidak dapat lari dari kecaman sesetengah pihak yang sukar memahami situasi antara mereka. 

"Mereka tidak tahu apa yang berlaku kerana bukannya tinggal sebumbung. Apa sahaja kecaman yang dilemparkan saya telah maafkan. Saya tidak pernah simpan rasa marah kerana tahu media sosial tak boleh dikawal. 

"Tetapi untuk ceritakan apa sebenarnya yang berlaku... biarlah saya dan dia sahaja tahu," ujarnya. 

Nubhan tetap fokus bersaing di pentas GV12. 

Dalam masa sama, penyanyi ini juga enggan melihat isu yang berlaku itu sebagai penghalang untuk meneruskan kerjaya seni termasuk penyertaanya dalam program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12). 

Bagi Nubhan penglibatan dalam GV12 adalah peluang terbaik dan harus memberi fokus meskipun sedang berdepan kes perceraian di mahkamah. 

"Ini bukan perkara yang senang kerana berlaku secara serentak. Saya terpaksa fokus untuk GV12 dan kehidupan peribadi. 

"Saya harap perkara ini dapat dikawal dengan baik. Penyertaan dalam GV12 bukan perkara main-main dan apa yang berlaku dalam hidup saya juga serius. 

"Saya perlu kuat dan teruskan perjuangan," luahnya. 

Nubhan merupakan salah seorang antara 13 penyanyi yang bakal bertanding di pentas GV12 bermula 2 November ini. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain